Konsep untuk diri, konsep untuk orang lain


Ada 3 kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin, menurut kajian R.L. Katz dalam Harvard Business Review tahun 1974: kemahiran konsep, kemahiran kemanusiaan dan kemahiran teknikal. Kemahiran konsep amat diperlukan oleh pemimpin peringkat atasan. Makin kita perlu memimpin, makin kemahiran konsep ini perlu diluaskan. Sebagai contoh, saya perlu jaga hati untuk terus mampu beribadah. Namun konsep yang sama, tidak semestinya boleh disampaikan begitu sahaja kepada rakan atau ayah ibu di tepi yang sedang menonton TV. Kemahiran kemanusiaan ini diperlukan.

Saya menyemak buku Forty Hadeeth on the Call to Islam and the Caller  oleh Sheikh Alee Hassan Alee Abdul Hameed. 40 hadith yang dibawakan – saya pecahkan kepada kata-kata Nabi dalam bentuk penyataan dan kata-kata Nabi dalam bentuk kisah atau cerita bersama sahabat. Dua-dua kategori ini perlu difahami dan disikapi dengan saksama. Kalau ia diambil secara semborono dalam memahami dan mengaplikasikan, jadilah pejuang sunnah yang tidak mengikut sunnah. Banyak berlaku.

“Tuan, jangan guna hadith dhaif. Tak baik tipu untuk Nabi,” tegur seorang anak muda kepada seorang rakan saya ketika di US dahulu. Anak muda ini menegur kerana rakan saya membaca satu petikan dari Kitab Fadhail ‘Amal. Dicakapnya terang-terang. Beliau ingin menjadi pejuang sunnah dengan menegur di khalayak ramai – tidak mengikut sunnah. Malah kawan saya yang ditegur itu tidak lagi kelihatan baca kitab Fadhail ‘Amal itu lagi menggunakan mikrofon. Dibaca dalam kumpulan kecil. Tidak lama selepas itu, tidak nampak lagi mukanya kecuali di bulan Ramadhan – ketika beratur mengambil pizza atau nasi Arab di Islamic Center of Greater Lafayette.

Konsep untuk diri, konsep untuk orang lain

Ramai yang inginkan apa yang sudah difahami ingin ditujah ke dalam minda kawan atau orang di sekeliling. Apatah lagi kalau ia melibatkan hal dosa dan pahala. Sudah tentu kita akan melenting kalau ia dilanggar oleh rakan sahabat kita. Memang benar, ia naluri individu yang ingin menjaga iman masing-masing. Ingin membina kekuatan agar jangan tidak bertoleransi dengan kebatilan.

Ketika bersama diri sendiri, kita memang perlu utamakan ilmu yang ada mampu membawa kepada keimanan yang jitu.

Hadith Rasulullah

“Orang beriman tidak akan disengat dua kali pada lubang yang sama” (Bukhari dan Muslim)

Kata-kata Nabi ini disampaikan dalam bentuk penyataan. Ia bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara spesifik. Apabila Nabi menyatakan secara umum, maka ia laksana dalam majlis ilmu. Tiada siapa yang berinteraksi dengan Nabi secara langsung. Ini majlis ilmu. Majlis untuk membina kesedaran. Kalau pun rasa pedas, namun bukan maksud untuk mengajar-ajar.

Cuba bayangkan kalau kata-kata ini diucapkan kepada seseorang yang baru sahaja sakit kali kedua – demam selepas bermain hujan. Sambil melawatnya, dibacakan hadith “Orang beriman tidak akan disengat dua kali pada lubang yang sama”. Apakah perasaan si sakit? Sudah tentu kecewa dan ‘berambus’ kepada si pelawat. Perkataan yang dipilih memang baik dari segi intelek, tetapi ia mencederakan emosi si sakit. Banyak perkara yang boleh diteka jika perkataan itu ditujukan kepadanya. ‘Aku tidak beriman ke hingga aku demam dua kali?”

Bagaimana menyampaikan konsep kepada orang lain

Apa konsep yang difahami perlu dilihat masa dan sesuainya untuk disampaikan. Kalau tidak pasti, senyap dahulu. Kata baik atau senyap adalah ciri yang dipuji dalam hadith Nabi. Biarpun banyak ilmu, tetapi perkataan tidak boleh dilepas murah kepada kawan-kawan kecuali dimohon nasihat atau ditanya pendapat.

Apabila berinteraksi dengan insan lain, perlu ada seni. Seni melibatkan beberapa prinsip digabungkan sekali agar ia matang dan tidak mencederakan. Orang yang kurang seni tidak mampu menghasilkan sesuatu yang indah. Keindahan diperlukan untuk individu lain melihat konsep baik yang kita ada.

Apabila ingin menyampaikan konsep kepada orang lain, tunjukkan dulu akhlak yang mulia. Orang lain akan tertarik untuk mendengar dan memberi perhatian kepada kita hanya apabila dia sudah percaya. Nabi digelar al-Amin – yang dipercayai kerana inilah ‘deposit emosi’ yang diletakkan Nabi di kala hayatnya. Selepas deposit itu sudah ‘cukup’, beliau menggunakannya sebagai modal menyampaikan konsep kebenaran. Itupun ditentang oleh insan yang tidak rasa selesa dengan ‘gangguan ruang privacy’ mereka. Namun Rasul membalasnya dengan baik. Tidak ditujah dan ditujah tanpa asas. Akhlak Rasul tetap mulia. Akhlak ini ialah deposit mahal untuk diletakkan pada individu yang perlu ‘tahu’ konsep yang kita ingin sampaikan.

Sampai bila ?

Dengan nada kasih sayang, deposit yang cukup itu boleh dikeluarkan bagi bertanya dan berborak ke arah topik konsep yang ingin disampaikan. Kalau rakan itu tidak bersedia, biarkan dulu. Kita doakan agar diberi hidayah. Jika keburukan atau kezaliman itu berleluasa hingga menggangu hak manusia lain, ia perlu diambil tindakan segera. Namun kalau ia melibatkan hak Allah, kita perlu bermain ‘aikido emosi’ agar si rakan kalah pada emosi atau akhlak yang baik – mengingatkannya kepada Tuhan – apabila apa yang dilaksanakannya bersalahan dengan apa yang sepatutnya.

Kalau masa sudah sesuai, aikido terbaik ialah menyatakan yang hak pada konsep yang difahami secara langsung – jangan berpusing-pusing lagi atau kita tidak mahu ‘berentap’ dengan kebatilan. Kalau tidak, diri kita yang terpusing dan terjatuh di tengah jalan.

Alamat Email:

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Antara keperluan dan tujuan

Ketika berborak-borak dengan rakan saya, tuan Ariff, beliau menyatakan tentang idea 'keperluan' dan 'tujuan'. Manakah yang perlu diberi perhatian ?...

Close