Jangan Biarkan Peristiwa Gerhana Berlalu Tanpa Bersedia 3 Perkara Ini


 

Saya yang pening atau pasal jam di atas dinding bergoyang? Itulah peristiwa berlaku pada satu malam di Los Angeles pada 2010.

Rupa-rupanya gempa bumi skala rendah berlaku. Pengalaman pertama itu – disikapi berlainan oleh rakan-rakan saya di sana. Di luar, mereka kata ‘dah biasa…’. Namun di masjid, Imam Muhammad Faqih berkongsi bagaimana zaman Nabi beramal bila ada fenomena alam berlaku.

Syeikh Muhammad Faqih memberi penerangan tentang gempa tersebut. Beliau menerangkan ayat-ayat Quran berhubung peristiwa tersebut. Selebihnya, beliau menerangkan juga bagaimana Nabi beramal kalau berlaku gerhana.

Saya tahu ada solat, solat gerhana dan pelbagai zikir. Namun itulah pertama kali saya mendengar dengan jelas MENGAPA dan BAGAIMANA Nabi memberi respon. Malah Nabi akan berjalan cepat dan bimbang kalau lalu di kawasan yang pernah diazab Allah. Bukannya menunjukkan tanda ‘peace’ atau senyum. Sampai sekarang, apabila berlaku fenomena alam yang unik, saya akan teringat peristiwa di Orange County tersebut.

Dengan gerhana yang berlaku, apakah yang boleh kita laksanakan? Minimum 3 perkara:

1) Tahu MENGAPA penting?

Ia penting bukan pasal ia akan menyebabkan musibah (siapa yang percaya gerhana ada kaitan dengan musibah – ini adalah khurafat). Ia penting bukan kerana ia sudah lama tidak berlaku atau kerana namanya supermoon atau blood moon atau blue moon.

Ia penting kerana semua kejadian ini ada perkiraannya oleh Allah – bukan dicipta sia-sia atau tanpa penjagaan. Kalau Allah mengira dengan tepat bulan dan matahari yang besar tersebut tanpa bertembung (bayangkan kalau bertembung malam ini?!!) , sudah tentu Allah mudah mengira urusan kita dan akan ditanyakan semula nanti adakah kita sudah selalu berkira-kira apa yang kita buat.

“Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu.” (Surah ar-Rahmaan 55:5)

Ia juga penting kerana ia petanda Allah yang Maha Besar yang perlu kita bersujud, bukan sujud pada hambaNya yang bernama bulan atau matahari.

”Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kaliann sujud (menyembah) matahari maupun bulan, tapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika memang kalian beribadah hanya kepada-Nya.” (Fushshilat 41:37)

2) APA faktanya?

Mana tahu ada yang kongsi fakta-fakta pelik, paling kurang kita tahu betapa Allah ini Maha Hebat. Jangan pula lebih-lebih menunjukkan kehebatan Allah sampai ada fakta tak betul.

Berikut ialah beberapa fakta ringkas:

–Supermoon kerana ia lebih besar dan cerah.
–Blue moon kerana berlaku bulan purnama 2 kali dalam masa sebulan.
–Blood moon kerana warnanya nanti amat merah
–Gerhana bulan kerana matahari, bumi dan bulan dalam keadaan selari.

Semua ini menandakan ada ukuran bagi bulan seperti mana yang Allah sampaikan dalam Surah ar-Rahman.

3) APA nak buat masa gerhana?

–Rasa takut sebagaimana zaman Nabi, baginda amat bimbang kerana ia datang dari Yang Maha Perkasa

–Solat jemaah solat fardhu kemudian solat sunat gerhana

–Solat ini kalau sesetengah masjid memang panjang. Sunnahnya sampai habis gerhana.

–Jangan mudah rasa bosan menunggu gerhana habis. Boleh isikan dengan doa dan istighfar memohon ampun dari Allah.

–Boleh kaji ayat-ayat berkaitan bulan dan matahari dan hari kiamat agar kita tadabbur dan mendapat peringatan

Selama ini Allah beri kita bulan serta matahari dan terang, namun malam ini ada masa gelap.

Apa rasa kalau kita ada mata dan tetiba gelap? Apa rasa kalau terang di dunia ini dan apabila sampai di kubur nanti gelap? Apa jadi kalau hidup di sini bahagia dan terang, sampai di sana nanti gelap dalam bakaran api? Nauzubillah.

Malam ini adalah ayat Allah untuk kita sedar kita hamba seperti bulan. Kita perlu mohon ampun banyak-banyak pada Allah sebagai pengajaran peristiwa gerhana ini.

Moga minimum 3 perkara di atas kita amalkan dapat kongsikan dengan ahli keluarga serta rakan agar fenomena ini memberi kesan besar dan mendekatkan diri padaNya.

P/S Di Malaysia, gerhana 3 serangkai ini (gerhana, bluemoon dan supermoon) bermula 31 Jan 2018 dari 7:48 malam hingga 11:11 malam. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 8:51 malam, kemuncak gerhana pada jam 9:29 malam dan tamat pada jam 10.07 malam. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia. (FalakOnline)

#tadabburtazakkur
#binakejayaankesyurga

Alamat Email:

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Perlukah kita berehat? Kajian ini di US dan Eropah

Perlukah kita berehat? Kajian ini di US dan Eropah Ada orang yang saya lihat akan kerja dan kerja - seperti...

Close