Geramnya Saya Ketika Solat Hingga Satu Ayat Menusuk Kalbu Dibaca


Para jemaah sudah merapatkan saf untuk solat. Suasana selesa menjadikan saya bersemangat solat di surau ini. Ingatkan sinar akan ke petang, namun hujan di siang hari.
 
Bermula sahaja kami bersolat, terdengar suara tangisan seorang anak lelaki. Saya cuba fokuskan kepada solat, namun tangisan si anak makin keras. Ia serba sedikit mengganggu saya. Dalam hati berkata ‘Manalah emak atau ayah si anak ni. Jagalah sikit kalau bawa anak ke surau”
 
Saya bertambah tidak selesa. Suara si anak melangkau suara imam di depan – walaupun pakai mikrofon.
 
Pada rakaat kedua, imam membaca Surah asy-Syams. Sempena gerhana bulan, ayat surah ini menusuk kalbu. Apatah lagi bila sampai ayat berikut:
 
“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (Surah asy-Syams 91:8)
 
Oh mesej ini untuk saya dan semua manusia. Allah bersumpah dengan bulan dan matahari yang menjadi fenomena besar pada 31 Jan 2018. Dalam ayat ini, mesejnya jelas: saya akan selalu bertembung antara 2 nilai: buruk dan baik.
 
Si penjaga itu pasti bertembung juga – antara ingin teruskan solat atau berhenti mendiamkan anak lantas bawa balik. Ayat 91:8 ini menjirus air kepada kemarahan saya tadi.
 
Inilah yang perlu ingatkan pada diri ketika berlaku konflik begini:
 
1. Si ayah atau ibu anak itu pasti ingin buat baik dengan membawa si anak ke surau. Memang fitrah anak menangis atau bermain. Melawan fitrahnya bermakna saya yang tidak membersihkan diri dengan taqwa.
 
2. Daripada si anak itu senyap dibawa pulang si ayah atau ibu, lebih baik ia menangis dan dalam masa yang sama mendekati surau atau masjid. Taqwa itu penting. Ia sering bertembung dengan keburukan.
 
3. Moga orang lain juga memahami serta mendoakan saya jika bawa anak yang menjerit atau meraung. Saya ingin mendidik, walaupun ia mungkin boleh dipertikaikan orang lain dari segi umur kalau terlampau awal. Hatta Nabi bersama cucunya yang memanjat beliau – sebagai panduan untuk si anak perlu dibawa keluar sekali-sekala.
 
Pengajarannya: jangan cepat menghukum – kerana itu tanda jiwa yang kotor. Untuk membersihkan diri (tazkiyah), saya akan sentiasa membersihkan perkataan dan sering berkata positif.
 
Kita ingin anak-anak kecil ini meneruskan legasi kita beragama. Kita ingin lebih ramai orang-orang ke surau atau masjid memahami perkara ini. Juga untuk ibu ayah di rumah untuk terus sabar mendidik anak.
 
Katakan tidak kepada ‘geram sambil solat’. Masih boleh kotor jiwa sambil menghadap Yang Esa,pelikkan? Bantu kami ya Allah untuk sentiasa ingat kepadaMu!
 
#tadabburtazakkur
#savingfamilies
#binakejayaankesyurga

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Ramai ke Ingin Jadi Ayah Seperti Pokya Cong Codei?

. Baru-baru ini saya mengikuti temuramah akhbar Sinar bersama seorang pelawak yang amat dekat dengan diri saya masa kecil. Beliau...

Close