Bosan setelah mendapat kaya dan selesa

Apabila kita sibuk dengan kerja dan tugas, kita sering inginkan masa luang. Kalau boleh ingin di’buang’ semua kerja atau berhenti dari kerja kerana inginkan ‘kebebasan’. Namun sering berlaku kepada orang yang sudah ‘bebas’ kerana duit banyak, banyak masa di rumah dan akhirnya terpacul ‘bosannya selesa dan banyak masa sehingga bosan’. Kalau ini pernah berlaku, ada sesuatu yang perlu difahami.

Ada kawan yang saya perhatikan berkerja sangat keras. Apabila ditanya ‘nanti senang. Ada rumah, kereta besar.’

Ada kawan yang menjawab ketika ingin berhenti kerja ‘nanti saya boleh kawal masa sendiri. Saya boleh buat apa sahaja.’

Memang ramai yang suka masa relaks, lapang dan kaya.

Semua itu biasa.

Namun bagi orang yang kaya, akhirnya mereka mencari ‘sibuk’ untuk bersama masyarakat. Mereka mencari untuk memberi duit yang mereka kejar selama ini.

Ada yang berhenti kerja, amat relaks. Namun setelah itu disedari amat bosan – apatah lagi projek yang ingin dibuat sendiri tidak menjadi. Beliau cari semula kerja.

Ada yang tidak mahu kerja dengan kumpulan kerana ia menyusahkan. Banyak yang perlu difikirkan. Jika kerja seorang berbuat bisnes, nanti untung dapat semua.

Jadi apakah sebenar hakikat kehidupan manusia ? Apa yang dicari? Mencari kaya dan lapang untuk diberikan kekayaan dan kelapangan itu setelah mendapatnya ? Seperti sepak bola ?

Dunia bukan tempat berehat lama dan panjang

Sebenarnya dunia ini bukan tempat rehat yang berjela-jela dan bersenang lenang. Ia tempat kita perlu bersungguh-sungguh membina syurga di akhirat nanti. Kalau target kita kaya dan lapang agar dapat membantu dan menambah amal, ia target sesuai untuk ke syurga.

Namun kalau target untuk rumah besar, suami/isteri besar dan semuanya besar padahal sekarang belum buat apa perkara yang sepatutnya untuk ke syurga, itu perlu disemak. Reality check!

Mengapa perlu disemak ? Kerana itu semua menipu. Tidak salah inginkan kereta besar, tetapi jangan ia jadi tujuan. Bagaimana mahu tahu ia tujuan atau tidak ? Kalau usaha untuk mendapatkan kereta besar itu lebih utama untuk mendapatkan syurga besar. Solat, zikir, ilmu dan semuanya tidak diutamakan – simptom cinta kereta besar.

Push-lah diri sendiri untuk beramal

Kita perlu rehat. Namun ambillah masa untuk push diri membina legasi. Orang yang sibuk sahaja mampu menyusun dan menghargai masa. Kalau disiplin diri tinggi, kerja berseorangan adalah bagus. Namun kalau ingin menulis artikel atau baca buku tidak habis-habis selepas 6 bulan, ada petanda diri memerlukan rakan untuk push. Dapatkannya di mana-mana yang sesuai.

Allah menyatakan perumpamaan hak batil dalam kehidupan dengan air sungai. Dengan gerak dan tujahan, maka tersisalah buih dan kotoran ke tepian.

Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan” (Ar-Ra’d ayat 17)

 

Apakah rahsia hak akan terus bangkit dan akan bersih dari kebatilan ? Gerak. Apabila air itu bergerak, buih dan kotoran akan tersisa. Yang terhasil ialah air yang bersih. Malah bagi logam, ia akan berpisah dari buih,  dan akan dibakar sekali lagi untuk membersihkan kotoran. ‘Gerak’ dan ‘bakar’ ini melambangkan kesukaran untuk melahirkan sesuatu yang amat bernilai.

Lantas, rancanglah kejayaan dan berikan tujahan kepada diri untuk ‘gerak’ dan ‘bakar’. Kekadang ‘last minute’ berjaya memberi tujahan, tetapi ia ada risiko tersendiri. Moga kita membawa amal yang bersih di akhirat nanti.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Muat Turun ‘Pemikiran Sistemik: Kewajaran dalam Pendidikan Malaysia’

Kertas kerja ini dibentangkan pada 2005 di USM Pulau Pinang. Dapatkan kertas kerja ini dengan memasukkan nama dan email anda

Close