Teresak-esak, demi esakan

Ramadhan kali ini bermula dengan peluang yang Allah berikan untuk saya solat teraweh di belakang Syeikh Mishari al-Afasi. Selama ini saya mendengar dari internet atau kaset. Namun kali ini live. Namun itu tidaklah begitu penting. Yang penting, beliau teresak-esak ketika membaca ayat Surah al-Baqarah ayat 186. Bukan sekali esakan. Malah 3 kali. Ketika solat, saya bertanya diri saya….

Selepas solat zuhur tadi, saya berbincang dengan rakan Jordan bernama Dawud. Kalau saya pergi lagi, dia mahu join. Dia berkata , “When the imaam cries, he has something in his mind.” Saya memang setuju. Minda saya?

Sememangnya solat di belakangnya mengalirkan air mata. Dan ayat esakannya ialah ayat 186 dari Surah al-Baqarah:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.


Selepas balik solat teraweh malam itu, kami sampai lewat ke rumah. Sekitar 12.30 malam. Besok pagi, ketika ingin ke solat subuh, saya melalui van Dodge. Saya tersentak. Nampak kaca berderai di tepinya. Rupanya cermin tingkap dipecah.

Pecah yang parah

Dalam pemikiran, saya tidak tenang. Terpacul pertanyaan: apakah silap aku? Tapi cepat-cepat saya beristighfar. Bukan soalan itu yang saya patut tanya dulu. Saya perlu istighfar dulu. Kerana memang saya penuh dengan kesilapan. Bertanya ‘apa silap saya’ menunjukkan kesombongan kepada Allah – macamlah diri ini tiada silap. Astaghfirullah.

Saya kira-kira semula, semalam ada seseorang minta tolong. Tapi saya hanya tolong sedikit sahaja. Dan lebih dari itu, esakan ayat 186 itu kembali kepada fikiran saya. Kalau Syeikh Mishari boleh menangis, keras sangatkah hati saya untuk menghargai ayat tersebut?

Saya bimbang lagi. Kali ini bukan pasal cermin kereta yang pecah. Tapi hati sendiri yang tidak ‘pecah’ mendengar ayat Allah. Astaghfirullah. Ini sudah parah!

Mencari ganti

Petang itu, saya mencari ganti cermin. Saya berdoa moga tak sampailah USD 300. Saya bertanya seorang mekanik pagi itu, USD 100. Alhamdulillah. Doa memang tidak boleh dikecilkan kerana Allah dekat. Qareeb.

Saya berbincang dengan isteri yang disayangi. ‘Mungkin boleh dapat murah lagi…’. Saya doa agar dapat ebih murah. Saya borak-borak dengan kawan di masjid, dan dia kata, boleh dapat lebih murah kalau cari di junkyard. Dia memberi arah jalannya.

Saya memandu van tanpa cermin. Sepatutnya saya sampai sekitar 30 minit,tetapi selepas 1.5 masih tidak sampai-sampai kerana arah tuju diberikan tidak tepat. Saya sudah mula letih dalam Ramadhan yang membahang. Saya telefon rakan saya ‘it is okay, I think I will give last try before I go back home‘. Sudah rasa amat penat, saya doa lagi.

Tak sampai 2 minit kemudian, saya sampai ke lokasi yang dicari – yang sudah dicari lebih 1 jam! Subhanallah. Dan berapa saya dapat? Bukan USD 100. Bukan USD 80. Tetapi USD 70 sahaja.

Memang benarlah Syeikh Mishari teresak-esak. Pasti banyak perkara berlaku dalam hidupnya untuk rasa Allah itu dekat. Dan saya makin yakin. Doa itu amat penting. Kerana Allah amat dekat. Tidak wajar untuk dikecil-kecilkan kecuali oleh iman yang tipis. Selayaknya, kesungguhan doa perlu lebih berbanding usaha kita yang amat terhad dalam hidup ini.

Ya Allah, berilah kami keimanan yang besar untuk merasakan kedekatan denganMu di bulan Ramadhan dan seterusnya. Usaha kami tidak seberapa. Namun berilah kesungguhan kami menghargai kepentingan doa dalam kehidupan. Kerana Engkau amat dekat.

Facebook Comments:

One thought on “Teresak-esak, demi esakan

  • August 24, 2009 at 11:16 pm
    Permalink

    waaa..banyak kejadian pecah cermin berlaku di bulan ramadhan ni ye. Ana kena $300+..Ya Allah, sesungguhnya pertolonganMu sentiasa dekat.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2009-08-23

bersedia untuk ramadhan dengan amalan mlm #

Close