Momentum di waktu pagi

Ali sering bangun pagi dan mengelakkan tidur kembali selepas subuh.

“Kau bolehlah, tidur awal,” kata kawan serumahnya.

“Haah. Kami susah tidur awal,” kata kawan yang lain.

“Tapi dia kadang-kadang aku tengok tidur lewat juga. Kita bukan morning people rasanya.”

Sabda Nabi,

Dari sahabat Shokhr Al Ghomidiy, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
“Ya Allah, berkahilah umatku di waktu paginya.”

Daripada hadith riwayat Abu Daud nombor 2606 yang dishohihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shohih wa Dho’if Sunan Abi Daud ini, ia menjelaskan keutamaan pagi. Keberkatan ini bukan sahaja untuk diri, malah ia memberi kesan kepada sesuatu kumpulan, organisasi atau keluarga. Banyak sudut boleh dilihat tentang konsep berkat ini. Ia boleh dianalisis dari segi fizikal, intelektual, emosi dan spiritual.

Kesan bangun pagi pada diri 

Apabila bangun pagi awal dan tidak tidur selepas subuh, ia akan memberi momentum kuat kepada diri untuk melaksanakan kebaikan dengan lebih lama dan berdaya saing. Tubuh badan akan lebih bertenaga dan diri akan bermotivasi kerana bangkit dengan segar dan banyak idea baru yang boleh disemak semula samada sebagai seorang pelajar, pekerja atau pengurus.

Apabila banyak masa digunakan tidur selepas subuh, jam 10.00 pagi akan membuatkan diri tergocoh-gocoh untuk melakukan sesuatu perkara. Jika zohor masuk jam 1.15 petang, hanya ada 3 jam 15 sahaja untuk melaksanakan sesuatu kerja. Itu pun kalau melibatkan diri sendiri seperti menulis, membasuh atau belajar. Jika Ahmadi, rakan kepada Ali ingin meminta sebarang bantuan dari orang lain, ia mungkin sudah terlambat atau dianjakkan kepada esok harinya kerana masa 3 jam sebelum Zohor atau selepas Zohor tidak cukup memberi ruang membantu perkara baru.

Kesan bangun pagi pada keluarga

Encik Albab bangun pagi. Dilihat Puan Fatimah, isterinya kembali ke katil bersama anak-anak kecil yang masih tidur selepas solat subuh. Encik Albab ke meja komputer membuat kerja. Dibiarkan isterinya tidur. Sekitar 8.00 pagi, barulah semua bangun untuk bersiap. Bagi Encik Albab, momentum berada depan komputer akan menyebabkan beliau terus leka dan meneruskan kerja beliau. Ia amat payah untuk berubah bagi membuat kerja lain kerana fokus beliau sudah dimulakan pada kerja depan komputer.

Suatu hari, Puan Fatimah bangun awal kerana ada hal yang perlu diuruskan pagi tersebut. Dikejut semua anaknya untuk bangun awal – selepas tidur awal malam sebelumnya. Encik Albab yang berniat ke meja komputer membatalkan hasrat tersebut kerana anaknya sudah bangun. Dicium dan dipeluk si anak, lantas dibawakan si anak mandi dan bersedia untuk ke sekolah. Aktiviti fizikal di pagi itu lebih mudah kerana beliau memulakan harinya dengan aktiviti fizikal memandikan anak, membuang sampah dan pelbagai aktiviti lain. Selesai semua urusan itu, beliau mengambil masa untuk bersiap untuk ke pejabat.

Inilah perbezaan besar dan ketara dalam sesuatu kumpulan yang ingin melaksanakan tugas secara efisien. Jika semua individu merebut keberkatan pagi, maka ia akan menyebabkan organisasi itu akan menjadi lebih efisien. Namun kalau selepas subuh disambung lagi urusan tidur dan rehat, maka ia akan menyebabkan banyak keberkatan hilang – samada nampak atau tidak nampak – seperti dapat rezeki, dapat ilmu, dapat semangat dan keyakinan kepada Yang Esa.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Syukurnya ada kaki

Sejak beberapa minggu yang lepas, saya sering rasa sakit pada kaki kiri ketika bangun pagi. Pada awalnya saya rasakan ia

Close