Menjadi tangan di atas

Saya sempat bertemu dengan individu yang mengasaskan Tangan Di Atas dari Indonesia – Pak Hertatnto Widodo. Kali ini, saya menjemput seorang lagi dari Indonesia – Pak Farizal untuk berkongsi tentang dunia bisnes dan keusahawanan. Saya harap pertemuan pada bulan Ramadhan ini membuka lebih luas perspektif saya dan rakan-rakan dalam dunia keusahawanan.

Menjadi tangan di atas adalah hasrat saya. Menjadi individu yang menulis cek dan menyampaikan banyak derma kepada yang memerlukan. Kalaupun rakan atau staf saya pernah menerima cek dari saya, ini tidak bermakna mereka perlu berhenti kerja. Mereka juga boleh membina syarikat lain agar mereka boleh juga menulis cek dan menyerahkan kepada individu yang layak.

Antara dunia latihan dan menjadi tangan di atas

Saya pernah menerima duit dari orang lain. Ayah saya juga sering menerima dari orang lain sebagai imbuhan gaji. Apabila saya hampir habis belajar, saya mahu menjadi orang yang mampu menghasilkan duit banyak agar dapat disalurkan kepada individu yang layak.

Namun ia bukan dapat dibina semalaman. Saya bekerja dengan gaji rendah untuk belajar dan membina pengalaman. Saya membuat pilihan samada untuk bekerja sebagai jurutera kimia yang gajinya mencecah lebih RM 4000 atau terlibat dengan dunia latihan yang hanya bergaji RM 500 sebulan pada awalnya. Ia bukan keputusan yang mudah tetapi saya tahu diri saya bukan boleh dipaksa dalam dunia kimia dan mesin – biarpun saya habis belajar dalam Kejuruteraan Kimia di US dalam masa yang ditetapkan.

Apabila saya berborak dengan emak atau ayah, mereka tidak berapa faham kecuali mereka mendoakan anaknya yang terbaik. Alhamdulillah. Mereka tidak terlampau kisah pasal RM kerana mereka bukan sekolah menengah pun. Allahyarham ayah dulu ialah seorang pekerja lombong bijih timah, pemandu lori dan pembuat arang. Balik sahaja dari kerja, sudah hitam bajunya. Ayah tahu mengira dengan baik, tetapi ketika saya berbincang pasal kerja, ayah mungkin melihat anaknya belajar amat tinggi hingga tidak kisah apa yang dipilih. Asalkan anaknya berbuat yang terbaik , dan pesannya pada emak “harapnya aku nanti akan diimamkan oleh anak sendiri.” Alhamdulillah, saya menjadi imam ketika solat jenazah untuk ayah.

Duit dan keperluan

Sememangnya pada 3 tahun saya bertugas di sebuah pusat latihan, gaji tidak seberapa. RM 500 untuk seorang yang berkelulusan ijazah dari US adalah satu penghinaan bagi sesetengah orang. Saya tidak kisah sangat jika ia adil dan benar. Saya sanggup membayar nilai pengalaman yang saya kecapi sekarang. Memang ada naik surut pengalaman dengan gaji sebesar itu. Azam saya ialah saya tidak akan membuat sedemikian kepada sesiapa yang membantu saya nanti jika saya mampu membayar lebih dari itu. Jika tidak, saya akan gunakan idea outsource sahaja. Alhamdulillah kini dalam syarikat sendiri, RM 500 bukan nombor untuk pembantu atau pekerja saya. Kalau saya tidak mampu membayar standard, saya akan ambil sebagai pekerja part time atau kontrak berasaskan projek.

Antara dunia latihan dan menjadi tangan di atas, saya lebih suka menjadi tangan di atas. Dunia latihan boleh disambut dengan wang begemerlapan dengan peluang yang ada. Namun saya suka ia diisi sekali dengan visi menjadi tangan di atas membentuk masyarakat yang berilmu.

Perjalanan 10 tahun

Tahun ini sudah sekitar satu kurun berlalu dalam naik turun dunia latihan. Saya yakin pengalaman dan ilmu yang dipelajari amat sedikit. Namun saya juga hargai kepada rakan taulan yang juga turut berada dalam lapangan bisnes. Dunia bisnes boleh dimulai dengan modal RM, tetapi saya suka ia dimulai dengan modal intelek, emosi dan spiritual.

Kalau dikatakan modal RM amat penting, memilih menjadi jurutera kimia lebih seronok. Tetapi saya juga melihat keperitan rakan yang ingin berada dalam dunia ini yang terpaksa juga berkhidmat sebagai jurutera di tempat masing-masing.

Tidak mudah untuk membuat pilihan antara RM 4000 dan RM 500. Namun dengan keyakinan bahawa Tuhan pasti membantu diri ini untuk menjadi tangan di atas, saya gagahi juga. Jika ada yang menceburi dunia latihan dengan niat menjadi tangan di atas, salah satu perlu dipilih dahulu dalam proses mencapainya. Kalau ingin menjadi tangan di bawah dahulu, tidak banyak syarikat yang mahu mengambil risiko pulangan bagi individu dalam dunia latihan.

Ada paradoks yang berlaku: setiap syarikat latihan inginkan individu terbaik, tetapi individu terbaik itu sudah pun membina syarikat sendiri untuk menjadi seorang ahli bisnes. Apa yang saya boleh buat: saya mahu latih individu yang mahu menjadi trainer baik kerana selepas ini saya tahu, yang hebat dan kreatif ini tetap ingin membuat syarikat sendiri. Tiada gunanya saya menghalang padahal seorang jurulatih yang baik itu amat inginkan kebebasan dan ruang kreatif.

Yang saya ingin bina ialah tangan di atas, bukan sekadar menjadi syarikat bisnes latihan. Kalau ada yang ingin saya bantu, saya amat suka kerana itu maksudnya saya akan menjadi tangan di atas. Kalau ingin menjadi terbaik dan dalam masa yang sama berada bersama syarikat saya makan gaji secara maksimum, itu adalah paradoks yang saya masih belum selesaikan dengan pengalaman secuit ini.

Buat adik-adik yang baru bergraduasi dan ingin masuk ke dunia latihan, ia bukanlah sekadar berceramah dan berfasilitator. Ia memerlukan set kemahiran bisnes atau usahawan. Ada yang ingin berbuat part time. Hasrat mereka murni tetapi hasilnya juga part time. Ia memerlukan anda mengira risiko dan bertanya pada diri “kuatkah saya?” Seorang trainer perlu sedia mengambil risiko terancang.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Singkat dalam memuji Pencipta, Panjang ketika bersama manusia

Singkat dalam memuji Pencipta, Panjang ketika bersama manusia   Pujian sesama manusia “Awak cantik.” “Awak pandai.” Ayat di atas ialah

Close