Bangga Apa Menjadi Melayu?

Saya juga Melayu.

Tulisan ini bukan bertujuan menyokong pandangan mana-mana parti politik. Walaupun isu kemelayuan ini selalu timbul lebih-lebih lagi bila pilihanraya menjelma. Disatu pihak ada yang memperjuangkan ketuanan Melayu, keistimewaannya dan kelebihan-kelebihan yang perlu ada pada orang Melayu. Dan ada pihak yang menyatakan tidak perlu berbangga menjadi Melayu, jangan menjadi nasionalis dan perjuangan Melayu adalah perjuangan yang sempit. Dan ada juga pihak yang tidak kisah pun dengan isu bangsa atas alasan liberalisasi dan kesamaan bangsa. Apapun harapnya tulisan dan pembacaan ini bebas dari pengaruh media massa yang kadang kala mempunyai agenda tersendiri.

Saya juga Melayu (baiklah, ada keturunan Jawa) yang mahu perkara ini diselesaikan dengan ruang ilmiah dan berhikmah. Maka pandangan ringkas saya dalam penulisan ini lebih kepada harapan saya untuk melihat bangsa saya ini (Melayu) dan bangsa-bangsa yang lain tidak keterlaluan membicarakan soal keistimewaan bangsa.

Bangga Atau Syukur?

Saya mengambil pendirian untuk tidak berbangga menjadi Melayu, tetapi berSYUKUR dengan anugerah Melayu yang Tuhan kurniakan ini. Saya bersyukur dilahirkan sebagai Melayu. Nikmat lahir kedunia itu sendiri sebenarnya lebih besar dari nikmat menjadi warga satu-satu kaum.

Tuhan tidak pernah bermain dadu dalam mentadbir alam ini. Kelahiran manusia dengan identiti bangsanya bukan Allah pilih secara rawak. 5 billion manusia diatas muka bumi ini setiap satunya mempunyai sebab khusus mengapa Allah menciptakannya dengan identiti kaumnya. Bersyukurlah Allah memilih dan meletak kita dalam kaum kita ini berdasarkan rahmatNya.

Maha Suci Allah daripada menjadikan saya Melayu untuk saya bermegah-megah. Segala Puji bagi Allah dilahirkan saya sebagai Melayu kerana inilah yang terbaik untuk saya. Maha Besar Allah yang menjadikan saya Melayu agar saya dapat mendidik kaum ini lebih dekat kepada Penciptanya.

Saya tidak malu menjadi Melayu, saya tidak rasa rendah diri dan saya tidak rasa kekurangan menjadi Melayu. Dalam masa sama saya tidak akan membuta tuli mengagungkan bangsa saya sehingga saya tidak berlaku adil dengan bangsa lain yang juga ciptaan Allah.

Apa Usaha Yang Kau Buat Untuk Menjadi Melayu?

Jika ada yang terlalu bangga menjadi Melayu, tanyalah kepada dia apa yang dia buat untuk menjadi Melayu? Menjadi Melayu bukan seperti menjadi johan atau juara dalam sesuatu pertandingan. Malahan menjadi Melayu bukan satu pencapaian pun.

Kita tidak langsung berusaha untuk menentukan bangsa kita. Ianya telah ditentukan Tuhan. Jika kita tak berusaha menjadi Melayu, jadi apa yang perlu dibanggakan? Lainlah kita berusaha dalam pertandingan Piala Dunia kemudian kita menjadi johan. Maka bolehlah kita berbangga dengan pencapaian yang kita usahakan itu.

Pernahkah orang yang amat berbangga dengan kemelayuannya terfikir “bagaimana agaknya jika aku dilahirkan dalam bangsa lain? Perlukah aku membanggakan bangsa aku itu?”

Apa-apa perkara yang telah ditentukan sejak kelahiran, kita tak perlu membanggakannya. Tak kiralah jika ianya tentang bangsa dan warna kulit, tarikh lahir, tahun lahir atau tempat lahir. Tarikh lahir misalnya, adakah yang lahir pada 1 Januari, 31 Ogos atau 16 September itu adalah kebanggaan berbanding lahir pada tarikh lain? Adakah ibu bapanya telah merancang dengan teliti untuk memilih tarikh lahir atau menahan bayi dari keluar perut sampai ke tarikh tersebut? Tidak bukan?

Mungkin ianya sesuatu yang istimewa dan berlainan, dan tidak salah untuk meraikannya. Tetapi kita perlu menerimanya dengan rasional iman dan bersyukur dengan pemberian itu. Bukan berbangga sampai membeza-bezakan keistimewaan tersebut seolah-olah individu lain kurang bertuah dengan dirinya. Ianya adalah pemberian Tuhan, bersyukurlah kepada Tuhan. Kita tidak ada hak untuk terlalu berbangga dengan perkara seperti tersebut.

Inilah Kebanggaan Kita

Jadi nikmat Tuhan yang mana yang kita ingin banggakan dalam hidup kita ini? Jawapan yang sudah pasti tentulah nikmat Islam, Islamlah kebanggaan kita. Kita akan membanggakan sesuatu yang teristimewa, yang amat berharga dan tidak ada tukar gantinya. Islam telah dijamin oleh Allah sebagai yang terbaik, dan tidak akan ada yang dapat menandingi jaminan Tuhannya.

“Dialah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkan diatas segala agama-agama meskipun dibenci orang-orang musyrik” (al-Saff, 61: 9)

Islam itu boleh mencakup berbagai bangsa, tetapi bangsa itu mungkin bukan Islam. Islam mencakup Melayu, tetapi bukan semua Melayu itu Islam. Islam itu mulia kerana ia telah dimuliakan oleh Maha Pencipta. Kemuliaan hidup kita bergantung kepada cara hidup yang kita pegang. Ianya mulia kerana diajarkan oleh Rasul yang mulia.

“Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” (Riwayat Baihaqi & Darul Quthni)

Islam itu mulia atas dasar taqwa dan bukannya atas dasar bangsa. Malahan kedatangan Islam itu sendiri untuk memecahkan tabir assobiyyah / perkauman jahiliyyah. Islam memuliakan sesiapa sahaja yang menyahut seruanNya dan meninggikan kalimahNya. Dengan rahmat Islam yang besar ini maka inilah yang kita perlu banggakan.

Bersederhanalah Semua, Nabi Dah Tunjukkan Caranya.

Nabi itu amat dekat dan amat kuat cintanya kepada Allah melebihi daripada kita semua. Dan dalam masa sama Nabi amat sayangkan bangsanya, juga amat rindukan tanah airnya Mekah. Tiada yang dapat menandingi tinggi cinta Nabi kepada Allah. Dan jika ada yang menyatakan cintanya kepada bangsanya lebih dari cinta Nabi kepada bangsa Arab, maka dia salah.

Cinta nabi adalah cinta yang terpimpin, tidak lari dari apa yang dikehendaki Allah. Jika sudah begitu, wajarkah kita meninggikan cinta kepada bangsa kita melebihi dari tunjuk ajar Nabi? Pernahkah Nabi bersikap diskriminasi kepada kaum selain Muhajirin dan Ansar atau selain bangsa Arab?

Nabi membimbing kaumnya memilih Islam dan tidak pernah menyuruh meninggalkan identiti Arab mereka. Nabi mahukan mereka mengakui keesaan Allah dan meninggalkan tatacara kehidupan jahiliyyah. Nabi mempersaudarakan dua individu yang sebelumnya saling bermusuhan. Nabi menghargai setiap insan sehingga tiada yang rasa terpinggir atau terpulau. Inilah cara Nabi, ikutlah jalan Nabi kita.

Berbanggalah dengan Islam. Dan beruntunglah mana-mana kaum yang bertaqwa kerana dijanjikan kemulian diatas muka bumi sebagai pemimpin manusia.
“Kami bangsa Arab kuat kerana Islam semata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan hina” (Amirul Mukminin Umar al-Khattab)

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2011-02-27

manusia suka selesa tetapi untuk berjaya, ia penuh dengan jalan cabaran dan ujian....tepuk dada tanya iman # amat seronok melihat

Close