Mak tak mahu bedah


‘Mak tak mahu bedah. Tengok arwah makcik, dulu dah bedah, bukan makin baik, tapi makin teruk. Sampai dia meninggal dunia. Lepas tu tiap-tiap minggu kena pergi hospital’, tegas mak yang memang tak mahu dibedah kerana masalah paru-paru berair dan buah pinggang. Kata-kata mak itu memang masuk akal. Teringat pada arwah makcik dan beberapa saudara mara lain yang meninggal dunia selepas dibedah.


‘Mak nak cuba ubat kampung saja. Biarlah apa nak jadi, yang penting jangan ditebuk sana, ditebuk sini. Mak tak nak susahkan anak-anak kena bawa mak ke hospital setiap minggu’, tegas mak lagi. Saya hanya diam membisu. Kelu lidah tanpa sebarang bicara. Puas adik-beradik lain memujuk, namun mak masih berkeras.


Saya mengerti, ini bukan dilema mak sahaja, bahkan ia dilema ramai orang dalam berubat. Ada yang hanya percaya dengan perubatan moden, ada yang hanya percaya dengan perubatan tradisional, dan ada yang percaya keduanya. Hakikatnya, semua orang mengharapkan agar dengan cara yang tertentu itu, akan beroleh kesembuhan.

Teringat perbualan dengan Dr. Nora beberapa hari sebelum itu. Katanya dengan pembedahan untuk membuang air di paru-paru, itu mungkin solusi sementara. Untuk jangka masa panjang, kena dilakukan dialisis.

‘Mak dah makan ubat hospital berapa lama. Tengok sekarang apa kesannya’? sambung mak memecah keheningan petang. Saya tahu mak meluahkan kekecewaannya dengan perubatan moden. Dan itu menambah keyakinannya untuk tidak meneruskan dengan perubatan moden, apalagi sehingga perlu dibedah.

Teringat saya pada buku 1001 oleh Prof. Hamka. Ada yang bertanya tentang perubatan dengan menggunakan kaedah tradisional. Kesimpulan dari bacaan itu, hipotesis saya ada orang yang sembuh dengan perubatan moden samada mengambil ubatan atau pembedahan fizikal, ada orang yang sembuh dengan perubatan tradisional dan ada yang sembuh dengan cara mempertingkatkan kualiti solat, memperbanyakkan sedekah dan memperbaiki bacaan Al-Quran. Apapun caranya, itu semua adalah alat yang boleh memberi kesembuhan, namun penyembuh yang hakiki adalah Allah swt.


Saya tahu sudah beberapa orang memberi nasihat kepada mak agar melakukan pembedahan atau mengikut sahaja kepada nasihat doktor. Namun itu bukanlah satu perkara yang mudah, apalagi untuk menembusi tembok kepercayaan mak dengan pengalaman-pengalaman hidup yang telah mak lalui. Saya sendiri berfikir, bagaimana kalau saya di tempat mak, kerana saya juga pernah ada kekecawaan pada doktor yang gagal mendiagnosis penyakit saya dengan tepat. Dalam masa yang sama, saya juga ada kekecewaan pada perubatan tradisional yang tidak memberi kesan baik. Benarkah sekiranya dengan proses pembedahan, mak akan sembuh atau kesihatan mak akan semakin teruk?

Saya sendiri sedang mencari jawapan. Bagaimana untuk berbincang dengan mak dan seterusnya memilih solusi yang terbaik dalam persoalan ini. Yang pasti hanya Allah yang berhak diyakini berbanding manusia yang hanya mampu membantu sebatas sunnatullah. Kita semua pasti akan bertemu denganNya kelak. Buat masa ini, hanya solat istikharah yang mampu dicadangkan kepada mak dan harapnya dengan usaha ini akan menjemput sebanyak istisyarah agar kami semua dapat melakukan keputusan yang tepat.
Firman Allah swt:
dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
At-Talaq (65:2-3)

Petang ini sambil melihat rakan-rakan menulis dengan kaedah CASIC, teringat keadaan mak yang sedang berada di kampung sekarang. Mohon doakan kesembuhan mak saya dan diberikan jalan keluar terbaik. Moga kita dapat meningkatkan kualiti taqwa bersama.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
GET dalam perundingan

Greg Neal, seorang jurujual cemerlang bertaraf antarabangsa mengkategorikan gejala angkuh kepada tiga elemen yang digelar GET (lihat jadual). Elemen Penerangan...

Close