Mbak hidup berpandukan apa?


“Saya bertemu dengan seorang makcik. Beliau tanya saya boleh atau tidak membaca al-Quran. Saya menjawab tidak. Makcik tersebut membalas, ‘Loh, setiap hari tidak baca Quran. Macam mana ibu hidup seharian? Berpandukan apa?” Inilah yang dikongsikan oleh seorang puan yang hadir ke bumi Mekah dan bertemu dengan seorang makcik dari Indonesia. Saya senyum mendengar kisah itu. Ia membawa maksud mendalam.

Inner speech – kata hati

Hati sentiasa berkata-kata. Setiap saat hati ini akan memberi arahan – seperti raja – kepada semua anggota tubuh. Tindakan kita dalam hidup seharian datang dari hati. Hidup ini boleh berteraskan hati yang mendapat sinar dari Ilahi atau dari diri sendiri yang mengutamakan nafsu.

Dalam hadis Nabi, dijelaskan juga salah satu peranan hati – iaitu untuk memberi panduan kepada diri.

عَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانِ اْلأََنْصَارِيِّ ، قَالَ : سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللّٰـهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْبِرِّ وَاْلإِثْمِ ، فَقَالَ : اَلْبِرُّ حُسْنُ الْـخُلُقِ ، وَاْلإِثْمُ مَا حَاكَ فِـيْ صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ. (رَوَاهُ مُسْلِمٌ) وَعَنْ ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ، أَخْبِرْنِـيْ بِمَـا يَـحِلُّ لِـيْ وَ يَـحْرُمُ عَلَيَّ ؟ قَالَ : فَصَعَّدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَوَّبَ فِيَّ النَّظَرَ ، فَقَالَ : اَلْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ ، وَاْلإِثْمُ مَا لَـمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلاَ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ ، وَإِنْ أَفْتَاكَ الْـمُفْتُوْنَ

Dari an-Nawwâs bin Sam’ân Radhiyallahu anhu, ia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang kebajikan dan dosa, maka beliau menjawab, “Kebajikan adalah akhlak yang baik dan dosa adalah apa yang membuat bimbang (ragu) hatimu dan engkau tidak suka dilihat (diketahui) oleh manusia.” [HR. Muslim]

Dan dari Abu Tsa’labah al-Khusyani, ia berkata: Aku berkata, “Wahai Rasulullâh! Jelaskan apa saja yang halal dan haram bagiku.” Beliau bersabda, “Kebajikan ialah apa saja yang apa saja yang menjadikan jiwa tenang dan hati menjadi tenteram. Dan dosa ialah apa saja yang menjadikan jiwa tidak tenang dan hati tidak tenteram kendati para pemberi fatwa berfatwa kepadamu.” [HR. Ahmad]

Sumber: https://almanhaj.or.id/3407-kebaikan-dan-dosa.html

Hidup tanpa Quran – inner speech bukan dari sumber Tuhan

Lantas, merujuk kepada kata makcik Indonesia itu tadi, amat tepat sekali jika seseorang tidak membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, inner speech atau kata hati yang memberi arahan kepada tubuh badan tidak bersifat rabbani. Ia jauh dari menuju Tuhan dengan panduan yang tepat. Fitrah yang ada dalam diri manusia untuk melakukan kebaikan memang ada – namun ia jauh dari nilai ketuhanan. Cuba bayangkan seorang pekerja membersihkan tandas, membancuh simen untuk menambah tandas baru dan dibersihkan semua pinggan mangkuk di dapur- akhirnya tidak dibayar gaji. Rupa-rupanya tugas beliau dalam surat lantikan: Pegawai Kewangan!

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ – 43:36

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Dalam ayat di atas dijelaskan sesiapa yang tidak mengindahkan atau rabun daripada pengajaran al-Quran, ada penasihat lain yang akan menjadi teman kepada diri. Diri ini akan sentiasa berkata-kata sesuatu yang tidak tepat.

Berjalan seperti zombie

Salah satu ciri orang bertaqwa ialah membaca Quran. Kesan taqwa ini ialah mendapat cahaya dalam kehidupan di sini dan di akhirat.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ – 57:28

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya, serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kalau tidak berasaskan Quran, tiada cahaya. Berjalan seperti mayat atau zombie. Cuma tidak ramai yang tahu bahawa ramai zombie dalam hidup ini. Tidak ramai tahu ada banyak robot dalam dunia ini – bangun, kerja, makan, tandas, balik, tidur – dan roda hidup ini terus bergerak hingga saat ia habis masa.

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ – 6:122

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).

Masa untuk membaiki OS dalam diri

Kini masanya untuk membaiki operating system (OS) dalam diri manusia berdasarkan program yang baik dari Pencipta. Apabila ia di-install dengan baik, ia tentu akan melahirkan insan yang jelas hala tuju seperti zaman sahabat yang mendapat cahaya selepas jahiliyah. Cahaya dari Tuhan ini menerangi insan seawal 19 tahun yang menjadi panglima pada zaman Nabi dalam Perang Melawan Romawi: Usamah Bin Zaid bin Haritsah.

Tanpa OS yang mantap dalam Quran, ia akan menyebabkan inner speech akan menjadi kotor atau berhabuk. Nampak cemerlang tetapi zombie yang bertebaran.

“Awak zombie atau manusia?” Satu pertanyaan yang keras
“Mbak hidup berpandukan apa?” Satu pertanyaan di bumi Mekah.
“Awak ini ikut Tuhan atau ikut syaitan” Satu pertanyaan yang difahami dari Surah az-Zukhruf (43:36)

 

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Mak tak mahu bedah

‘Mak tak mahu bedah. Tengok arwah makcik, dulu dah bedah, bukan makin baik, tapi makin teruk. Sampai dia meninggal dunia....

Close