Bina Insan (S): Jiwa Rasa Kosong?

MUQADDIMAH

Renung dan tanya ke dalam diri. Jiwa kosong? Rata- rata bila ditanya pada semua orang pasti akan merasainya. Mengapa masih lagi terasa kosong? Sedangkan ada keluarga, sahabat, orang sekeliling dan cukup segala keperluan. Namun masih lagi kurang kepuasan dalam hati. Apa lagi yang kurang? “Something missing”.

Cuba fikir dan renung sejenak, imbas kembali rutin kehidupan seharian. Awal pagi bersiap untuk bekerja atau belajar. Kemudian jalankan rutin pekerjaan seperti biasa. Balik dari kerja letih kemudian rehat dan tidur. Keesokannya harinya ulang kembali rutin yang sama. Sehinggakan ada yang berkata;

“ Bosanlah buat perkara yang sama hari-hari. Adakah ini yang hendak dalam hidup?Tidak tahu apa yang hendak dalam hidup ini”.

Bilamana melihat lautan manusia bersesak dan sibuk  bergegas terkejar ke sana sini, seolah-olah dunia adalah segalanya dan tiada penghujungnya. Seakan merasa diri akan hidup selama-lamanya tidak akan mati. Namun hakikatnya hidup ini adalah singkat dan bila-bila masa ajal akan menjemput. Kerana mati itu pasti.

Pernah tidak terdetik dihati dan tertanya-tanya;

“Sebenarnya, apa yang dibuat dalam hidup ini?

Apa tujuan hidup ini?

Apa yang hendak dalam hidup ini?”

 

FOKUS KEHIDUPAN

Ramai manusia kini dilihat seakan hilang arah dan matlamat dalam hidup.  Sehinggakan ada yang tersasar dari landasan kehidupan. Manusia ini ada kalanya lupa bahawa kehidupan ini adalah menuju akhirat. Dan hanya kehidupan di sana yang kekal abadi selepas hidup di dunia.

Satu ilmu perkongsian dari Trainer Tuan Fazrul Ismail berkaitan gambaran lakaran kehidupan agar terus fokus dalam hidup. Ianya boleh diambil untuk dijadikan sebagai panduan matlamat kehidupan.

 

fokus kehidupan

 

Berdasarkan gambar tersebut, kehidupan ini perlu difokuskan. Fokus ini adalah apa yang hendak dicapai dalam jangka masa panjang (long term).

  1. Dalam tempoh 100 tahun akan datang, tetapkan matlamat yang hendak dibina.
  1. 100 tahun akan datang ada kaitan dengan 30 tahun dari sekarang. Dalam tempoh 30 tahun itu, sebagai contohnya apakah kejayaan yang ingin dicapai agar 100 tahun akan datang dapat meninggalkan legasi dalam bentuk fizikal (sadaqatul jariah), ilmu bermanfaat dan sistem anak soleh.
  1. 100 tahun akan datang itu juga ada kaitan dengan lima tahun, tiga tahun, setahun dan sebulan dari sekarang. Apa yang perlu dibuat untuk mencapai 100 tahun akan datang.
  1. Akhir sekali iaitu 0 – akhirat iaitu matlamat ke kesyurga perlu dibina sumber-sumber tadi secara bersungguh-sungguh.

Dengan adanya master plan dalam kehidupan, moga hidup lebih fokus.

 

MEMBANGUN DALAM DIRI INSAN (Mengenali Maha Pencipta)

 

Satu kata-kata dipetik dari penulis Steve Maraboli dalam bukunya bertajuk “Life, the Truth and Being Free” , beliau menyatakan;

“I find the best way to love someone is not to change them but instead, to help them reveal the greatest version of himself”.

Pernyataan yang dibuat oleh beliau menggambarkan manusia itu tidak perlu di ubah tetapi perlu dibantu untuk dibangunkan dalaman dirinya.

Apa yang perlu dibangunkan?

Cuba tanya pada diri. Siapa dan dimana keberadaan Allah dalam diri?

Ibnu Qaiyyim mengatakan, “Allah menurunkan Al-Quran adalah untuk renungkan, ambil sebagai petunjuk, ingat sebagai penghibur, tafsirkan dengan bentuk dan pengertian yang terbaik, percayai dan yakini, serta tegakkan perintah-perintah dan larangan-larangannya semaksima mungkin. Dari hasil tuaian buah ilmu yang bermanfaat akan mendekatkan diri kepada Allah, dari pepohonan dan taman hikmahnya, baik dari tanaman-tanaman mahupun bunga-bunganya.  Kerana, al-Quran adalah kitab Allah yang akan menunjukkan segala hal mengenai Allah bagi sesiapa sahaja yang ingin mengenali-Nya.

Renungkan (tadabbur tazakkur) kalam-kalam Allah Maha Pencipta manusia.

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُون

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.”

(Surah al-Baqarah 2:21)

 

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن طِينٍ۬ ثُمَّ قَضَىٰٓ أَجَلاً۬‌ۖ وَأَجَلٌ۬ مُّسَمًّى عِندَهُ ۥ‌ۖ ثُمَّ أَنتُمۡ تَمۡتَرُونَ

“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)”.

(Surah al-An’am 6:2)

 وَلَقَدۡ جِئۡتُمُونَا فُرَٲدَىٰ كَمَا خَلَقۡنَـٰكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬ وَتَرَكۡتُم مَّا خَوَّلۡنَـٰكُمۡ وَرَآءَ ظُهُورِڪُمۡ‌ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمۡ شُفَعَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ زَعَمۡتُمۡ أَنَّہُمۡ فِيكُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ‌ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيۡنَكُمۡ وَضَلَّ عَنڪُم مَّا كُنتُمۡ تَزۡعُمُونَ

“Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka) dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat)”.

(Surah al-An’am 6:94)

 

Sebagai analoginya, sebuah robot mempunyai “manual book” yang di buat oleh penciptanya. Hanya penciptanya lebih mengetahui perihal robot tersebut.  Jika ada masalah, hanya dia sahaja mengetahui solusinya.

 

Begitu juga insan, Allah sengaja meninggalkan Al-Quran kepada manusia. Kerana Dia tahu manusia pasti akan memerlukannya. Ianya ibarat cahaya menerangi kegelapan. Tanpa manual tersebut, mana mungkin manusia di muka bumi akan hidup terarah bersandarkan peraturan dari-Nya.

 

Peristiwa Saidina Umar AS masuk Islam sangat menarik. Hanya kerana terdengar bacaan ayat Al-Quran yang diperdengarkan oleh adiknya telah berjaya menyentuh dan melembutkan hati dan sifatnya yang kasar. Terketar hatinya tatkala surah Taha ayat 1 hingga lapan dibaca sehingga beliau melafazkan kalimah syahadah tanda keIslamannya.

 

طه ( ١ ) مَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡقُرۡءَانَ لِتَشۡقَىٰٓ ( ٢ ) إِلَّا تَذۡڪِرَةً۬ لِّمَن يَخۡشَىٰ ( ٣ ) تَنزِيلاً۬ مِّمَّنۡ خَلَقَ ٱلۡأَرۡضَ وَٱلسَّمَـٰوَٲتِ ٱلۡعُلَى ( ٤ ) ٱلرَّحۡمَـٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَىٰ ( ٥ ) لَهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَيۡنَہُمَا وَمَا تَحۡتَ ٱلثَّرَىٰ ( ٦ ) وَإِن تَجۡهَرۡ بِٱلۡقَوۡلِ فَإِنَّهُ ۥ يَعۡلَمُ ٱلسِّرَّ وَأَخۡفَى ( ٧ ) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ ( ٨ ) وَهَلۡ أَتَٮٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ ( ٩ )

“Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik”.

(Surah Taha 20: 1-8)

Lihatlah betapa agung dan ajaibnya kuasa dari kalam Allah. Itulah Nur (cahaya) Al-Quran dari Allah. Boleh membuka hati seseorang, agar tunduk kepada-Nya.

 

 ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ

“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya”.

(Surah al-Baqarah 2:257)

 

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ۬ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ۗ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬

“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

(Surah an-Nuur 24:35)

 

Rumusan

 

“Bila insan mencari diri, dia akan jumpa Allah.

Bila kenal Allah, akan tahu erti tujuan hidup ini.

Bila tahu tujuan hidup, akan tahu ke mana penyudahnya”.

 

Adakah hati sudah terisi dan sudah ada fokus dalam hidup?

Sekiranya sudah, ucapkan Alhamdulillah. Allah SWT masih menyayangi untuk terus berada di landasannya yang lurus.

Jika belum dan andainya tergelincir kembali, rujuklah “manual book” iaitu Al-Quran yang diberi oleh Maha Pencipta agar terus sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

Pasakkan Allah sedalamnya ke dalam hati sebagai matlamat menuju kehidupan akhirat dan jadikan Al-Quran manual hidup sebagai sahabat kehidupan.

 

Moga hidup terus FOKUS!

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Sikap Altruistik

ALTRUISME DALAM AGAMA ISLAM Dalam Islam altruisme memberi maksud yang sama dengan "al-Itsar". Al-itsar merupakan istilah arab yang membawa maksud

Close