Re-Engineering Insan

MUQADDIMAH

Perkataan al-insan merupakan istilah arab yang membawa maksud manusia. Konsep insan boleh dirujuk kepada artikel sebelum ini iaitu ‘Altruistic Leadership’ menerangkan tentang istilah insan أَحۡسَنِ تَقۡوِيم. Dalam Islam, insan ialah makhluk SWT yang istimewa yang memiliki dua unsur berbeza yang penting iaitu unsur material dan spiritual yang saling melengkapi. Dalam pada itu, kedua-dua unsur ini yang membolehkan insan menjalankan dua fungsi penting iaitu selaku hamba dan khalifah Allah di muka bumi.

 

PEMBANGUNAN MANUSIA

Konsep ‘umran bashari iaitu pembangunan manusia yang diutarakan oleh Ibn Khaldun menekankan bahawa pembangunan manusia adalah secara menyeluruh sehingga menghasilkan manusia yang seimbang.

Mahbub ul Haq iaitu pakar ekonomi dari Pakistan telah mempelopori konsep ini dan menjelaskan bahawa ‘pembangunan manusia’ ialah pembangunan yang memusatkan manusia itu sendiri, iaitu manusia menjadi ejen pembangunan, sekaligus menjadi matlamat akhir kepada pembangunan itu sendiri.

Dengan kata lain, pembangunan insan adalah membangunkan dalam dan luar diri manusia Dalam pada masa yang sama, pembangunan manusia hendaklah berteraskan agama bukannya berdasarkan akal semata-mata. Ini kerana jika berdasarkan akal sahaja, ianya hanya memberi manfaat di dunia sahaja. Sebaliknya, pembangunan berdasarkan agama, ia dapat memberi manfaat bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.

PERBANDINGAN WAKTU DUNIA DAN AKHIRAT

 

CABARAN REALITI SEMASA

Masyarakat Islam kini berdepan dengan dilemma dan kecelaruan budaya yang mempengaruhi pemikiran mereka dalam situasi untuk mempertahankan tradisi atau melakukan perubahan modenisasi.

Oleh itu, umat Islam perlu memahami perbezaan di antara moden dan barat. Pemodenan bukanlah dikaitkan dengan budaya dan gaya hidup yang diamalkan di barat tetapi penguasaan dari sudut kemajuan teknologi dan inovasi.

Kesan ketaksuban pada material akibat proses modenisasi pengaruh-pengaruh budaya dari negara barat telah merosakkan dan mempengaruhi cara hidup masyarakat.

Jelas menunjukkan, cabaran yang dihadapi umat Islam kini bukan sahaja berbentuk serangan fizikal malah turut melibatkan serangan pemikiran.

Sebagai contoh, perang psikologi oleh sarjana barat untuk memerangi Islam dengan membuat pelbagai alasan membenarkan serangan fizikal ke atas umat Islam. Tanpa disedari, pemikiran umat Islam telah dijajah oleh konspirasi barat dengan manifestasi kemajuan.

Menelusuri kembali sejarah, Islam dan umatnya telah menjadi sasaran ditentang oleh iblis sejak zaman Nabi Adam AS lag. Ianya berterusan sehinggalah zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang. Jika dahulu Rasullullah SAW dan umat Islam bertarung menghancurkan pemikiran orang-orang kafir, kini umat Islam berhadapan dengan kafir kapitalis-sekularis.

Gerakan intelektual dan budaya dari barat yang bersifat serangan dari dalam atau ‘al-ghazwul fikri (serangan pemikiran) tidak ubah seperti memasukkan racun ke dalam pembuluh darah jasad umat Islam di mana sedikit demi sedikit akan memakan diri sehingga sanggup meliberalkan Islam.

Hasil daripada manifestasi pemikiran barat inilah yang telah menggunakan petunjuk fizikal untuk mengukur kemajuan sesebuah tamadun. Tanpa pegangan akidah yang kukuh, serangan pemikiran ke astas umat Islam akan mudah diresapi.

Oleh hal yang demikian, proses modenisasi tidak seharusnya dihubungkan dengan proses modenisasi di negara maju. Ini kerana proses modenisasi di negara maju berjalan dengan pesatnya tanpa dicorakkan dengan nilai dalam kehidupan apatah lagi nilai agama.

 

FRAMEWORK BINA INSAN (Membangun Dalam Dan Luar Insan)

reengineering insan.emf

Re-Engineering Insan

Idea framework solusi kepada permasalahan dan cabaran mamusia pada hari ini adalah mengambil elemen pendidikan sebagai asas dalam membina insan. Berdasarkan pandangan Naquib Al-Attas, pendidikan adalah proses menerapkan sesuatu ke dalam manusia.

Berdasarkan rajah, ‘sesuatu’ merujuk kepada kandungan apa yang diterapkan ke dalam diri insan. ‘Proses’ di sini merujuk kepada kaedah dan sistem yang dipanggil ‘pendidikan’ yang disampaikan secara beransur-ansur.  Manakala ‘manusia’ pula adalah penerima ‘proses’ dan ‘kandungan’.

 

ASAS BINA INSAN (ILMU)

Perkara utama dalam penyediaan bina insan ialah sistem pendidikan kepada semua generasi yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu.

Islam menekankan pembinaan insan dalam ilmu pengetahuan seperti mana perintah dan wahyu pertama Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di dalam al-Quran, surah al-‘Alaq ayat 1;

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ( ١ )

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk”.

(Surah al-‘Alaq 30:1)

Kenapa wahyu pertama dimulakan dengan perintah iqra’ (bacalah)?

Bacalah!” merupakan perintah, seruan, dan tugas Ilahiah yang ditujukan kepada insan paling mulia, Nabi Muhammad SAW. Perintah itu kemudian ditujukan kepada seluruh manusia. Rasulullah SAW turut menekankan umatnya untuk mencari ilmu yang bermaksud;

Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Islam merupakan agama yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial. Islam tidak hanya menekankan kejayaan di akhirat sahaja tetapi kejayaan di dunia malah di akhirat.

Terdapat banyak dalil yang digariskan di dalam al-Quran dan hadith serta dikemukakan oleh para ulama’ dan sarjana Islam yang menyatakan tentang ketinggian ilmu dan kepentingan orang berilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kebahagiaan di dunia dan akhirat juga hendaklah dengan ilmu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Barangsiapa yang hendakkan dunia hendaklah ia berilmu; dan barangsiapa yang hendakkan akhirat hendaklah ia berilmu; dan barangsiapa yang hendakkan kedua-duanya hendaklah dia berilmu”

 (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ia jelas turut diperkatakan oleh Sayidina Ali RA kepada Kamil bin Ziyad iaitu;

“Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu akan menjagamu dan kamu akan menjaga harta. Ilmu semakin bertambah jika diinfakkan, Dan harta, sebaliknya semakin berkurang jika dibelanjakan. Ilmu pembimbing dan harta dibimbing”

 

KENAPA PENDIDIKAN?

Yusuf Qaradawi dalam hal ini menegaskan bahawa aspek pendidikan ini sebenarnya merupakan perkara yang perlu diutamakan. Ia termasuk agenda penting Islam dan harus difahami sebagai awlawiyat dan tanggungjawab untuk dilangsaikan.

Menurut Ibnu Sina, pendidikan rabbani yang berteraskan akidah Islam atau paradigm tauhid adalah sebagai landasan pembinaan rohani dan spiritual.

Meletakkan pendidikan sebagai perkara utama turut ditekankan oleh ilmuan Islam iaitu Sayyid Abul A’la Mawdudi sebagaimana hasil nukilannya “Tiada Islam Tanpa Ilmu Pengetahuan”.

Kejahilan itu perlu diubat dengan ilmu dan cara mendapat ilmu tersebut adalah melalui pendidikan seperti mana dalam karyanya juga “Knowledge, The First Step”. Pada pandangan beliau, Islam merangkumi dua perkara utama iaitu pertama ilmu dan keduanya ialah mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang tidak akan dapat memahami keadaan sekelilingnya tanpa ilmu.

 

MODAL INSAN ATAU BINA INSAN?

Kebanyakan negara membangun berlumba-lumba untuk membentuk modul dan strategi bagi menjayakan pembentukan modal insan dengan memberikan latihan dan pembangunan kemahiran insaniah (Wan Suhaimi, 2008). Malaysia turut tidak terkecuali dengan menjadikan pembangunan modal insan sebagai satu strategi pembangunan.

Pembangunan modal insan dari perspektif Islam adalah pembangunan yang melihat insan sebagai watak terpenting dalam sesebuah pembangunan negara.

Modal insan yang seimbang tidak akan mampu tercapai jika strategi dibuat hanya menumpukan kepada latihan, kemahiran dan penyediaan fasiliti mengikut kehendak pekerjaan semasa.

Definisi pembangunan insan berlainan pula dengan modal insan. Pembangunan insan adalah membangunkan dalam dan luar diri manusia.

Ini kerana pembangunan Islam adalah pembangunan yang bersepadu dan menyeluruh meliputi rohani dan jasmani untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Mengesampingkan salah satu dari duanya akan menyebabkan kepincangan kepada pembangunan.

Oleh itu, membina insan haruslah bergerak seiring dengan kemajuan pembangunan dan tidak boleh diasingkan dalam rangka kerja yang lain. Dengan kata yang lain, tiada istilah insan selaku modal yang memberi keuntungan material kerana material hanya satu bahagian dari matlamat yang ingin dicapai di dunia. Tetapi jika kedua-duanya diseimbangkan maka pulangan dan ganjaran dapat dicapai di dunia dan di akhirat.

 

KESIMPULAN

Konsep membina insan menurut Islam perlu diukur dari sudut pembangunan fizikal (P – physical), ilmu (I-intellectual), emosi (E-emotional) dan kerohanian (S-spiritual). Ianya haruslah mencakupi kesejahteraan kehidupan di dunia dan akhirat.

Bina Insan

Model dan teori yang dikemukakan oleh Islam tidak terdapat dalam kerangka pemikiran Barat yang mementingkan pembangunan material dan fizikal sema-mata. Justeru, dari persamaan di atas, ia boleh diaplikasikan ke dalam pendidikan bagi membina insan yang berkualiti. Bukan hanya dari sudut fizikal, malah secara keseluruhan dalaman dan luaran insan.

Harta itu tidak salah, tetapi belum tentu ia akan membawa sakinah dan kebahagiaan.

Dari sudut fizikal (P), angkubah dalam membina insan adalah kemajuan penggunaan teknologi dan peningkatan sistem inovasi. Ianya bukan semata-mata memburu kemajuan dan pengumpulan harta.

Ilmu pula (I), angkubah yang menunjukkan perubahan dari aspek pemikiran,  pembangunan pendidikan dan peningkatan pengetahuan yang seimbang dunia dan akhirat.

Yang paling penting perlu dibina dalam diri insan adalah dari sudut kerohanian (S). Angkubah pembinaan insan adalah peningkatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Kesan dari kekukuhan iman (S) yang tinggi, akan terpancar pada emosi (E) dari dalam ke luar diri insan dengan tergambarnya pemantapan dari aspek nilai dan akhlak.

 

***********************************************************************************************

Sumber

Al-Mawdudi (1991). Let Us Be Muslims. Terjemahan; Khurram Muraf. Kuala Lumpur: A.S Noordeen.

Mahbub ul Haq (1995). Reflection On Human Development. New York: Oxford University Press.

Naquib al-Attas (1980). The Concept of Islamic Education. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).

Yusuf al-Qaradawi (2005). Priorities of the Islamic Movement in the Coming Phase. UK: Awakening Publications.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
The Road to Allah

Kehidupan manusia diibaratkan seperti putaran roda. Kadang-kadang berada di atas dan ada kalanya di bawah. Kemudian di sepanjang perjalanan adanya

Close