The Road to Allah

Kehidupan manusia diibaratkan seperti putaran roda. Kadang-kadang berada di atas dan ada kalanya di bawah. Kemudian di sepanjang perjalanan adanya pula halangan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi. Begitulah fitrah kehidupan manusia di muka bumi. Tidak sunyi dari ujian. Bahkan dengan ujian itu tandanya dia sedang diuji yang menentukan tahap keimanan dan kebergantungannya pada Allah Tuhan Semesta Alam.

Namun hakikatnya Allah itu tidak zalim. Dia sangat kasih kepada hamba-Nya. Dia tidak membiarkan manusia itu sendirian berhadapan dengan pancaroba dalam kehidupan. Cuma manusia itu kadang terlupa. Benar, lumrah sifat manusia itu mudah lupa. Mereka adanya Tuhan tempat memohon harapan. Ironinya, ingat dikala susah, lupa dikala senang.

Oleh itu, yang leka diingatkan. Yang sedar sentiasa mengingatkan.

Perjalanan Menuju Allah

road to Allah

Berdasarkan kepada hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith kedua berbicara tentang kerangka tauhid iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Ketiga-tiganya merupakan laluan ke arah Allah SWT.

Jalan pertama, Islam, dengan melakukan tindakan yang Allah suruh serta meninggalkan larangannya.

Kemudian, tahap kedua iaitu iman, mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan mula merasai kemanisan hubungan dengan-Nya. Iman itu mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkan dengan perbuatan. Tetapi sejauh mana kita membenarkan dengan hati? Merasai kewujudan Allah dengan pandangan mata hati?

Peringkat ketiga inilah iaitu tahap ihsan adalah perjalanan ke arah Ilahi. Peringkat ini agar hamba-Nya semakin dekat dengan-Nya. Berdasarkan hadith riwayat Umar bin al-Khattab RA, Nabi Muhammad SAW bersabda. Maksudnya;

       أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك

“Engkau beribadah kepada Allah, seolah-olah Allah melihat kamu. Dan bila engkau tidak mampu untuk melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu”.

           (Hadith Riwayat Muslim)

Menurut Al-Zindani, ihsan dari segi bahasa bermaksud kecekapan dan penguasaan amalan. Manakala dari segi syara‟ pula tahsin al-zahir (memperelokkan luaran) dengan ibadah dan al-batin (dalaman) dengan keikhlasan. Firman Allah SWT, maksudnya;

وَمَن يُسۡلِمۡ وَجۡهَهُ ۥۤ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ‌ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ( ٢٢ )

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah ke kesudahan segala urusan”.

(Surah Luqman, 31:22)

Menurut Mustafa Al-Bugha, ihsan adalah ikhlas dan tekun melakukan ibadah seolah-olah melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, ingatlah bahawa Allah melihat perbuatan manusia sama ada kecil atau besar. Ihsan dalam erti yang khusus disamakan dengan akhlak iaitu tingkah laku dan budi pekerti yang baik menurut Islam.

Hakikat ihsan itu ditamsilkan dengan melaksanakan ibadah seolah-olah melihat Allah. Jika tidak mampu, maka ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mengetahui apa yang ada dalam di dalam hati manusia.

Ibadah Kepada Allah

Metodologi Kerangka Tauhid (Ketuhanan)

Kerangka Metodologi Tauhid (Ketuhanan)

Menurut Al-Qardhawi, ibadah membawa maksud al-hub (kasih) dan al-khudu’ (tunduk dan patuh). Manakala, ibadah menurut Al-‘Uthaymin membawa erti kata al-tazallul.

Al-tazallul membawa maksud merasa rendah diri kepada Allah bersama perasaan al-mahabbah (kasih) dan al-ta’zim (memuliakan Allah) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Setiap perkara dari perasaan rendah diri kepada Allah membawa maksud membesarkan dan memuliakan Allah.

Al-mahabbah menghasilkan al-raghbah (keinginan) dan al-ta’zim membentuk rasa al-rahbah (ketakutan) atau al-khauf (ketakutan). Ibadah yang dilakukan sama ada berunsur awamir (perintah) atau nawahi (larangan).

Awamir terbina di atas perasaan al-mahabbah (kasih) dan al- raghbah (keinginan). Manakala, nawahi pula terbina atas ta’zim (memuliakan) dan al-rahbah (ketakutan) atau al-khauf (ketakutan) kepada Allah SWT.

Individu yang beribadah kepada Allah secara al-raghbah (al-mahabbah; kasih) dan al-rahbah al-ta’zim; al-khauf (memuliakan dengan perasaan takut) memberi kesan kepada akhlak mahmudah (yang dipuji) di dalam kehidupan. Justeru, manusia akan al- tahalli bi al-fadhail (menghiasi diri dengan perbuatan mulia) dan al-takholli an al-rozail (meninggalkan perbuatan tercela).

Belajar Dari Alam

Namun bagaimana lahirkan rasa kasih (al-mahabbah) dan memuliakan Allah (al-ta’zim) secara praktikalnya dalam kehidupan?

Banyak kaedah atau cara boleh diambil. Cuba renungi satu bait-bait nasihat yang dipetik dari karangan syair Imam Asy-Syafi’i yang bertajuk ‘Merantaulah’;

ﻣﺎَﻓِﻲ المَقَامِ وَذِيﺃَدَبٍ مِنْ ﺭَاحَةِ

…فَــدَعِ ﺍﻷَ وْطَانَ ﻭَاغْتَرَب

“Orang pandai dan beradab tidak akan tenang diam di kampung halaman, tinggalkan negerimu dan merantaulah…”

Dari mutiara kata tersebut, merantau dalam erti kata adalah untuk mencari kemuliaan. Dalam perjalanan itu ada empat kegunaan akan ditemui iaitu menghilangkan kesedihan, mendapatkan ilmu, mengagungkan jiwa, dan dapat bergaul dengan ramai orang.

Tetapi bagaimana perasaan rendah diri dapat lahirkan perasaan membesarkan dan memuliakan Allah SWT?

Sekiranya kita menghayati dan merenung alam persekitaran, ia akan membawa kita menelusuri kalam-kalam Allah SWT dalam al-Quran. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan tentang alam yang mendorong untuk berfikir tentang kejadiannya. Tidak dapat dinafikan dengan merenung dan berfikir alam semesta, jiwa akan tenang dan mengingatkan siapa kita di alam alam ciptaan ini, betapa kerdilnya di hadapan Allah SWT Tuhan Pencipta Alam.

Kuasa Allah SWT adalah meliputi langit dan bumi. Inilah cara Allah SWT dalam ‘surat’ cinta-Nya iaitu Kalam al-Quran pada manusia untuk lebih mengenali dan mendekatkan diri pada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 164;

 إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِى تَجۡرِى فِى ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍ۬ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِہَا وَبَثَّ فِيہَا مِن ڪُلِّ دَآبَّةٍ۬ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَعۡقِلُونَ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran”.

(Surah al-Baqarah 2:164)

Dalam surah al-Furqan ayat 62 pula Allah SWT berfirman;

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّهَارَ خِلۡفَةً۬ لِّمَنۡ أَرَادَ أَن يَذَّڪَّرَ أَوۡ أَرَادَ شُڪُورً۬ا ( ٦٢ )

“Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu)”.

(Surah al-Furqan ayat 25:62)

Dari perasaan kasih itu akan melahirkan keinginan (al-raghbah) iaitu pengharapan (tawakkal) hanya pada-Nya sehingga takut (al-rahbah) melakukan kesalahan dan perbuatan tercela. Kesannya pada hati akan melahirkan peribadi yang luhur. Ia jelas terbukti dengan kehebatan dan kecantikan akhlak Rasulullah SAW adalah hasil tarbiyah keimanan dari Allah SWT.

 

Rumusan

Hadis Qudsi riwayat Imam al-Bukhari dari Abdurrahman bin as-Sakhr r.a. Firman Allah SWT;

 “Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya tatkala ia mengingatiKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya, aku akan ingat kepadanya dalam diriKu. Jika ia menyebut namaKu di hadapan orang ramai, Aku akan menyebut namanya di depan makhluk yang lebih baik dari mereka. Jika ia mendekatiKu sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika ia mendekatiku sehasta, aku mendekatinya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan, akan datang kepadanya berlari”.

Allah dekat di’mata’ dengan membaca dan mentaddabbur Al-Quran.

Dekat di’hati’ dengan ‘merenung’ alam semesta ciptaan-Nya.

 

Zikir – fikir – zikir

“Practice make perfect!”

 

————————————————————————————————————————

Sumber

  1. Al-Quran Al-Karim dan terjemahan.
  2. Hadith 40 Imam Nawawi.
  3. Diwan al-Imam asy-Syafi’i. 
  4. Al-Qardhawi, 1422H/2001. Haqiqah Al-Tauhid. Beirut: Muassasah Al-Risalah.
  5. Al-‘Utahymin, Muhammad bin Saalih. 1998. Syarh Al-Aqidah Al-Wasithiah. 1419H/ 1998. Dar Al-Thuraya Li Al-Nasyr.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Altruistic Leadership أَحۡسَنِ تَقۡوِيم

Teori Motivation  (Leader) Ada tiga jenis motivation yang di amalkan oleh ketua terhadap pekerja atau stafnya. Ketua ditempat kerja anda

Close