Alangkah menariknya mendapat legasi automatik


Tentu menarik kalau kejayaan yang kita ingin bina diperoleh secara automatik. Apabila saya membayangkan saya ada 10 buah kereta, 8 daripadanya disumbangkan kepada badan-badan yang memerlukan. Tentu menarik. Apabila saya membayangkan saya ada 100 buah buku yang ditulis – memberi manfaat kepada seluruh dunia. Tentu menarik kalau saya dapat membaiki sistem kehidupan di peringkat ekonomi mahupun sosial agar ia dapat menyiapkan anak saya untuk menjadi soleh dalam persekitaran yang baik begitu. Automatik yang saya maksudkan ialah apabila ia tidak perlu mengikut ‘jalan jauh’ untuk mencapai kejayaan tersebut. Adakah formula ‘legasi automatik’?

Gear automatik

Pada sebuah kereta, ada gear manual dan gear automatik. Banyak perkara yang dimudahkan dengan gear automatik.

  • Kaki kiri kurang sakit.
  • Tangan kiri tidak perlu menukar-nukar gear
  • Tangan kiri boleh fokus memegang steering
  • Kurang ‘senak’ di kala jalan sesak

Banyak lagi manfaat gear automatik. Cuma ia memerlukan ilmu dan teknologi tinggi untuk menghasilkannya.

Begitu juga dalam mengenal potensi membina legasi atau kejayaan kita.

Kita perlu kenal kepada potensi. Kalau tidak kenal, ia akan menyebabkan usaha kita membina legasi masih di tahap manual.

Membina legasi kaedah manual.

Antara kaedah membina legasi kaedah manual ialah apabila kita masih menggunakan ‘formula-formula lama dan kurang efisien. Apakah formula tersebut? Formula di peringkat manusia. Kalau kita bergantung kepada usaha kita sahaja di peringkat manusia, ia lambat dan tinggi risiko untuk tidak berjaya.

Kalau kita bergantung kepada fizikal semata-mata, banyak legasi yang tidak dapat dilaksanakan. Kalau ingin membina gear automatik dengan apa yang ada di sekeliling sahaja, mungkin kita tidak mampu untuk mendapat kereta dengan gear automatik sekarang.

Jika kita menggunakan idea dan intelek, idea automatik boleh dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh. Kejayaan menghasilkan gear automatik adalah hasil banyak kali. Cubaan berkali-kali ini memerlukan kekuatan semangat. Di sini emosi yang stabil dan berpijak pada kejayaan kecil yang lalu amat diperlukan.

Namun adakah emosi itu sahaja yang diperlukan? Emosi di peringkat manusia ada hadnya. Tanpa matlamat yang jelas dan kekuatan yang diberikan oleh Tuhan, ia mungkin akan kecundang. Apabila seseorang sering bergantung kepada Tuhan, pertolongan itu akan makin kerap ‘datang’. Kalau emosi itu perlu di’push’ secara manual, pertolongan dari Tuhan adalah ‘legasi automatik’ yang akan dimudahkan oleh Allah.

Legasi automatik

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.”

(Muslim, Abu Daud, Turmizi dll)

Jika diperhatikan hadith di atas, apabila seseorang menuntut ilmu dengan niat yang betul, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga. Adakah syurga boleh dimasuki begitu sahaja? Tentu tidak. Ia hanya dibenarkan kepada individu yang sudah memberi manfaat kepada dunia. Jadi apabila Allah sudah mudahkan ke syurga, amat mudah individu ini untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau seorang penuntut ilmu itu makin menyusahkan dunia, ada sesuatu mesej yang perlu difikirkan.

Selain itu, dalam al-Quran Allah menerangkan,

 

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (47:7)

Apa yang akan berlaku kalau Allah menolong? Kejayaan itu akan dimudahkan. Legasi akan menjadi automatik dibina.

Syarat untuk mendapat legasi automatik

Dalam dua ayat yang diberikan serta pelbagai contoh lain, syarat untuk mendapat legasi automatik ialah dengan melaksanakan amalan-amalan yang meneguhkan matlamat seseorang secara ikhlas kepada Allah dan mengikut contoh Nabi Muhammad. Inilah syarat spiritual. Inilah potensi yang perlu dibina. Apabila ia dibina dengan baik, hasilnya ialah kebaikan dan kejayaan atau legasi di dunia serta akhirat. Inilah doa kita:

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. (2:201)

Jadi untuk mendapat legasi automatik, perlu diusahakan amalan harian berasaskan spiritual. Kejayaan itu pasti datang yang tidak akan mengecewakan kita sebagai pembina legasi. Legasi automatik bukan berlaku seperti lampu Aladin dan jin. Ia masih memerlukan usaha, namun dimudahkan oleh Maha Pencipta.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Pengenalan kepada MasterPIES Siri 1

Saya banyak mengkaji dan melakarkan idea dalam bentuk penulisan. Salah satunya yang baru sahaja terbit Dis 2011 yang lepas ialah...

Close