Realiti kebenaran – antara hujah ilmiah dan perubahan sosial
Saya meneliti gaya perbahasan ISMA di laman sesawang ini membidas Ustaz Anhas Opir tentang bolehkah mengundi non-Muslim dalam pilihanraya nanti. Perbahasan yang diberikan amat ilmiah, apatah sekarang ini saya membaca buku Kiritik terhadap Studi al-Quran Kaum Liberal oleh Fahmi Salim. Ia membuka kembali ilmu usul fiqh dan pelbagai ilmu lain yang berkaitan dengan cara memahami wahyu.
Saya bukan yang layak memberi komentar dari segi teknikal usul fiqh. Cuma saya ingin bawakan realiti kebenaran – bagaimana ia bergerak dalam arus sosial.
Secara ringkas, ada sekitar 3 minggu lagi untuk pilihanraya. Ada beberapa perspektif yang saya ingin coretkan bagaimana saya melihat perubahan kepada kebenaran akan berlaku.
Berapa harga bola
Dalam program baru ini, saya memberi soalan berikut:
Harga pemukul dan bola ialah RM 1.10. Harga pemukul lebih mahal RM 1.00 daripada harga bola. Berapa harga bola?
Ramai yang menjawab 10 sen. Hanya satu kumpulan yang menjawab 5 sen. Kumpulan dengan 5 sen ini bertungkus lumus untuk mempengaruhi 5 sen adalah jawapan.
Apa yang perhatikan, yang menjawab 10 sen sukar berganjak walaupun kumpulan 5 sen berusaha keras membawakan hujah. Di akhir program, ada lagi yang tidak terpengaruh dengan 5 sen walaupun pelbagai bukti sudah dibawakan.
Antara konflik intelektual dan konflik sosial
Bagi yang mempunyai idealisme atau intelektual yang tinggi dalam memahami sesuatu, ada kecenderungan untuk ‘menembak’ sahaja sesiapa yang tidak kena. Zaman sekarang boleh guna SMS atau Facebook untuk menyatakan isi hati jika ada konflik yang berlaku.
Konflik intelektual berlaku kerana berbeza fakta atau ilmu. Ia perlu ditangani – samada secara umum atau tertutup. Kalau kerosakan sudah sampai kepada umum dan usaha di peringkat personal untuk menegur tidak diendahkan, teguran umum amat diperlukan untuk konflik intelektual.
Namun konflik ini tidak sepatutnya membawa kepada konflik sosial. Usaha bertemu dan berbincang perlu ada. Apabila seseorang ada kebenaran dan kapasiti intelektual yang tinggi, kecenderungan untuk tidak menyelesaikan dengan sosial yang baik mudah berlaku.
Siapa yang mudah menyelesaikan isu dengan sosial yang baik? Secara umumnya mereka yang ‘tidak faham’ atau yang mempunyai kekuatan spiritual berdasarkan panduan yang ada Surah al-Hujurah untuk etika sosial.
Antara kemahiran konsep, kemanusiaan dan teknikal
Aspek intelek banyak jatuh pada kemahiran konsep. Antara seorang dengan seorang yang lain, amat berbeza. Untuk mempengaruhi orang lain harga 5 sen memang bukan mudah. Ada yang akan dengar dan percaya. Ada yang dengar tetapi tidak percaya. Ada yang langsung tidak mahu dengar dan tidak percaya.
Bab intelek dan konsep adalah satu perkara yang perlu diteruskan lagi dan lagi. Kaedahnya? Kemahiran kemanusiaan melatari sosial kita. Jumpa. Senyum. Salam. Borak. Tanya khabar. Dengar. Tanya. Tanyakan pilihan demi pilihan.
Ada yang menerima senyum fizikal. Ada yang suka senyum intelektual. Ada yang suka senyum emosi. Yang pastinya, dengan izin-Nya, akan ada senyum spiritual. Itu yang akan melahirkan perubahan. Izin kemenangan dari-Nya itu diatur dengan usaha fizikal, intelek mahupun emosi/sosial. Untuk mendapat kemenangan spiritual di atas muka bumi ini, kita optimis. Namun jangan terlampau overconfident. Itu sebab perlu melihat pilihan yang kita ada dan kaji dengan saksama.
Sosial akan berubah apabila kita sendiri yang bersosial dengan baik. Bukan sekadar di medan intelektual menunjuk sana dan sini sahaja dari meja sendiri. Itu boleh dielakkan apabila medan intelektual digarap dengan usaha sosial yang luas.
Ilmu dan intelektual kita ada had. Dengarkan dari ruang sosial sekeliling agar kita dapat membuat keputusan yang baik (mematuhi kaedah WRAP).