Mengecas Hati, Mengecas Telefon


 

“Kau cari apa?”

“Nyawa.”

Saya masih teringat ketika bermusafir di Turki pada 2013, ramai ahli rombongan dari Malaysia mencari saya. Mengapa? Saya ada pembanyak soket untuk mereka mengecas telefon. Saya bawa khas dari Malaysia. Ada 6 soket – bermaksud ada 6 telefon boleh dicas pada satu-satu masa.

Apa jadi kalau tidak ada charger? Bateri telefon terbaik tidak dapat dicas. Signal dari Celcom atau Maxis atau Digi tidak mampu menembusi telefon tanpa cas pada bateri. Bateri masih ada, namun tidak berfungsi dengan sebaiknya.

Analogi Hati Tanpa Cas

Dalam kehidupan seharian, hati ini perlu dicas daripada sumber power agar ia tetap berfungsi dengan baik. Apabila Tuhan mengirim signal pada setiap masa kepada seorang manusia, respon itu bergantung kepada sejauh mana hati ini sudah dicas.

Apakah sumber power itu? The power of Quran. Kekuatan al-Quran sudah tentu akan memberi kehidupan kepada si hati. Ia akan melonjakkan dan menghidupkan si hati dengan panduan dari Allah.

Tanpa cas dari al-Quran dan zikir kepada Allah, hati tidak mampu bertindak apabila signal sudah dihantarkan. Banyak mesej dari Allah tidak mampu diperoleh. Kejayaan dengan bantuan Tuhan tidak mampu diperoleh – kerana syaratnya ialah sabar dan solat. Sabar itu dengan mengoptimumkan potensi fizikal, intelek dan emosi yang sejajar dengan apa yang Allah inginkan. Doa dalam solat akan menyimpulkan kesungguhan untuk mendapat bantuan dari Allah.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (2:45)

Satu Kabel atau Dua Kabel?

Untuk mengecas telefon, perlukan 1 kabel sahaja. Untuk mengecas hati dengan the power of al-Quran ialah dengan 2 kabel:

  1. tadabbur – memahami secara mendalami isi kandungan al-Quran
  2. tazakkur – mengambil pelajaran dari Quran

Inilah yang dinyatakan kaedahnya dalam Surah Shad:

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya (tadabbur) dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar (tazakkur). (38:29)

2 kabel ini amat penting digunakan setiap hari ketika membaca al-Quran dari mushaf atau bacaan. Tadabbur memerlukan kedalaman dan fokus pada pemikiran. Tazakkur memerlukan hati untuk mengambil pelajaran untuk diambil tindakan selepas membaca mana-mana ayat dalam al-Quran. Proses tadabbur tazakkur ini akan menatijahkan diri yang sentiasa berkomunikasi dengan Allah. Apabila al-Quran berbicara, kita tidak lagi diam – apabila tadabbur tazakkur dilaksanakan dengan baik.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Taksonomi Bloom, SOLO dan Ulul Albab

Artikel ini ditulis ketika program kedua membina modul Ulul Albab bersama pensyarah-pensyarah di Kuala Lumpur. Antara pendekatan penting dalam program...

Close