Bila bukti diberi, tunaikan janji…

“Hidup aku bosan. Tak macam orang lain. Orang lain semua berjaya.”

“Betulkah begitu? Cuba kau perhatikan betul-betul apa yang kau ada.” balas si kawan.

Hidup ini perlukan kejayaan demi kejayaan agar hidup ada ‘life’. Hidup rasa bermakna. Apabila gagal dan gagal melanda diikuti kegagalan memahami semua sebab kegagalan itu, ia akan menyebabkan jiwa jadi tidak keruan.

Siapa yang mudah mengenalpasti kejayaan?

Orang yang bersyukur mampu menghargai kejayaan walaupun sikit. Memang kalau ingin dikira betul-betul nikmat Allah, tidak terkira. Banyak perkara Allah sudah beri.

Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (14:34)

Apabila seseorang sudah mampu mengenal kejayaan kecil, ia akan membawa kepada kejayaan demi kejayaan seterusnya.

Apabila sudah dapat bukti kejayaan, tunaikan janji

Ahmad rasa projek untuk syarikatnya tidak banyak pada bulan Ramadhan. Ada beberapa projek lepas yang berjaya masih belum berbayar. Kejayaan lepas tidak menjadi ‘semangat’ untuk Ahmad. Dia sugul, memikirkan apa yang ada pada Ramadhan ini. Kata orang Blackout Month.

Esoknya Ahmad login ke Maybank2u. Masha-Allah, salah satu klien bayar RM 15,000. Ahmad girang kembali. Yakin naik kembali. Inilah bukti dari Allah. Bukti ini menuntut untuk terus menunaikan janji dan amanah selepas ini dengan baik – kerana Allah pasti akan memberi bantuan demi bantuan, sebagaimana RM 15,000 itu masuk ke akaun banknya. Cuba bayangkan kalau Allah tidak bantu, maka RM 15,000 itu tidak kunjung tiba. Sunnatullah perlu dilaksanakan, maka syariatullah itu akan memastikan semuanya seperti mana yang telah dibuktikan. Percaya Allah maha Pemberi Rezeki, dan tanggungjawab diri ialah untuk melaksanakan usaha.

Sebab mudah down atau hilang arah

Salah satu sebab mudah putus asa atau mudah hilang arah kerana gelabah dalam kehidupan. Orang yang solat akan terhindar daripada perkara ini – dengan syarat memenuhi syarat dalam Surah al-Ma’arij.

Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. (21)Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (22) Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (23) Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. (24) Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (25) Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya). (26) Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. (27) Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya. (28) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (29) Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (30) Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (31)Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (32) Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). (33) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (34) Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan. (35)

Moga kita terus menunaikan janji selepas bukti diberi oleh Allah dengan pelbagai kejayaan yang diberikan. Kalau urusan sendiri amat banyak dan memeningkan sehingga tidak mahu menunaikan amanah, khuatir bukti serta nikmat itu nanti akan ditarik oleh Allah. Jangan sebab amat banyak urusan dunia difikirkan dengan memberatkan sunnatullah sampai aspek syariatullah diambil ringan, akhirnya nikmat Allah ditarik. Dalam Surah al-Ma’arij, titik temu untuk mengembalikan seseorang daripada terlampau sibuk dengan sunnatullah, ialah dengan syariatullah – solat. Dalam solat dawam itu terkumpul rahsia untuk mampu menunaikan amanah dan janji selepas mendapat nikmat, bukti dan pelbagai kelebihan.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Baca buku, mengharapkan sinar…Baca Quran?

"Eh buku ini ada kaitan dengan masalah aku. Kena beli nie..." Mentaliti kalau baca satu tajuk buku yang berkaitan dengan

Close