Mengapa perlu beriman pada akhirat?


Jika kita menyelusuri Hadith Jibril yang menerangkan Islam, Iman dan Ihsan serta as-Sa’ah, kita akan bertemu dengan ciri kepercayaan kepada hari akhirat. Mengapa percaya pada hari akhirat itu penting? Apakah hikmah dan kesan pada diri manusia yang tidak percaya pada hari akhirat?

Contoh Iktikaf di Masjid

Amalan iktikaf amat bagus diamalkan dan mendatangkan ganjaran yang amat besar, terutama apabila kita mengaitkan dengan 7 golongan yang Allah akan naungi di masa tiada naungan kecuali naungan Allah. Ia memberi ganjaran pahala yang besar. Namun sedarkah kita bahawa ia berkaitan dengan ganjaran di akhirat dan bukan di dunia? Dalam banyak hadith fadhail, ganjaran yang dinyatakan Allah berbentuk ganjaran di akhirat.

Percaya ganjaran di akhirat, ganjaran dunia pun akan diperoleh

Jika diperhatikan semasa beriktikaf, banyak kebaikan dan kelebihan yang akan diperoleh. Pernahkah anda beriktikaf? Anda pasti akan merasai ketenangan dan kedekatan dengan Allah. Ada sesuatu yang manis – tidak dapat diterangkan dengan perkataan biasa – apabila kita mengerjakan iktikaf. Dengan solat, bacaan al-Quran atau duduk tafakur, ia akan menguatkan jiwa setelah penat berkerja atau belajar di kelas.  Inilah kelebihan di dunia yang akan diperoleh.

Kurang mampu pun dapat kebahagiaan di dunia

Jelas kita perhatikan, apabila seseorang itu beramal dengan apa yang Allah serukan, ia akan memberi kesan yang banyak. Mungkin seseorang itu tidak mampu untuk menjaga kesihatannya secara langsung (kerana kurang ilmu atau masa) atau kurang bermotivasi (kerana kurang ilmu atau tidak berduit untuk pergi program motivasi). Namun jika mengikut pakej yang Allah tawarkan, kos amat minimum malah mencecah sifar namun kesannya amat besar – bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Namun ini semua hanya memberi kesan kepada yang percaya pada hari akhirat.

Hanya yang percaya hari akhirat percaya pada fadhail itu

Bukan semua akan percaya pada ganjaran tersebut. Ganjaran huurun iin hanya dipercayai bagi mereka yang percaya pada hari akhirat. Pelbagai ganjaran baik dalam syurga dan neraka hanya dipercayai oleh individu yang percaya hari akhirat.  Balasan nanah serta darah yang menjadi minuman penduduk neraka hanya dapat dipercayai dengan benar bagi mereka yang meletakkan akhirat sebagai rukun iman mereka.

Inilah salah satu hikmah kita beriman kepada hari akhirat. Hidup kita akan menjadi lebih terarah dalam hidup yang penuh cabaran. Perkara ini perlu diperhatikan secara mendalam untuk mendapat basirah ini sebenar-benarnya.

Kesimpulannya, dengan beriman dengan hari akhirat, kita akan menjadi lebih cemerlang bukan sahaja di akhirat tetapi akan nampak kesannya di dunia lagi. Jadi mengapa mesti pertikaikan akhirat dengan mengambil ringan maklumat berkaitan dengannya?

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Rukun-rukun Iman di Masjid al-Hasnah BBB 24 Sept ’06

Satu program ceramah Rukun-rukun Iman akan diadakan di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada 24 September 2006. Kali ini, rukun-rukun...

Close