Maaliki Yaum ad-Deen dan Legasi

Apabila mebaca Maaliki Yaum ad-Deen, yang terpanggil ialah bayangan ke akhirat nanti. Namun sebelum kita menjejak kaki ke sana, ada petanda pasti berlakunya hari kiamat ini. Antara tanda-tandanya ialah hilangnya ilmu dan orang jahil menjadi rujukan serta banyak pertelagahan berlaku. Adakah ia perlu dipandang secara optimis atau pesimis apabila mengetahui hadith ini ?

Dalam satu hadith diriwaytkan Abdullah bim Amr bin Ash, Rasul berkata

Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan cara mencabutnya, tetapi dengan cara mewafatkan para ulama. Sehingga apabila Dia tidak menyisakan satu orang alim pun. Maka orang akan menjadikan para tokoh yang tidak berilmu, mereka ditanya, lalu memberikan fatwa tanpa ilmu. Dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan (HR Bukhari)

 

Dalam hadith ini, dikaitkan dengan ‘kepala’ atau ketua-ketua yang jahil dalam memberi fatwa sebagai satu tanda akhir zaman. Ia adalah satu malapetaka kerana individu yang memberi fatwa juga membaca Maaliki Yaumid deen tetapi tidak segan silu memberi fatwa yang boleh menyesatkan.

Optimis atau pesimis selepas membaca Maaliki yaum ad-deen?

Atas dasar itu, apabila kita membaca ayat ini dalam al-Fatihah dan mengetahui senario akhir zaman, kita sepatutnya rasa ingin berbuat sesuatu sebagai usaha dan bukti bahawa kita ingin bertemu Allah dengan cara yang paling baik – membawa amal yang sudah dibina di dunia.

Inilah warisan yang kekal – sebagai legasi sampai ke syurga. Kita menuntut ilmu dan membina sistem ilmu. Kita mencari duit untuk disedekahkan dan mengusahakan sistem soleh kepada anak-anak pada masa akan datang.

Jika zaman dahulu, pembinaan ulama bermula dengan usaha si ibu atau ayah memastikan anak menghafaz Quran ketika berusia antara 5-12 tahun sebelum diberi ilmu-ilmu lain yang akan berpijak atas dasar yang kuat dalam Quran. Inilah usaha untuk mewujudkan generasi dekat dengan Al-Quran agar persediaan ke hari akhir nanti ini dilaksanakan dengan baik.

Banyak buat baik, kurang kemunkaran

Apabila membaca Maaliki Yaum ad-Deen, seseorang itu akan terpanggil untuk melihat kelemahan pada diri untuk ditutupi dengan amalan baik agar tidak muflis di akhirat nanti.

Dari Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apakah kamu tahu siapakah itu muflis? Para sahabat menjawab: “Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta” Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang muflis dari ummatku itu ialah orang yang datang pada hari Kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat. Dalam masa yang sama dia juga telah mencela (orang) ini, menuduh (orang) ini, memakan harta (orang) ini, menumpahkan darah (orang) ini dan memukul (orang) ini. Kemudian diberikan kepada orang ini kebaikannya, kepada orang ini kebaikannya. Apabila habis kebaikannya sebelum selesai penghakimannya diambil dari kesalahan orang-orang tersebut lalu dilemparkan kepadanya dan dihumban ke dalam neraka” Riwayat Muslim.


Bagaimana untuk tidak muflis ? Buat amal yang banyak pahalanya. Ia perlu dirancang dan dibina sistem kemas agar pahala itu mengalir tidak putus-putus. Inilah idea legasi yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Kalau ini dipahatkan dalam diri setiap individu, sudah tentu apa yang dibuat sekarang akan dibaiki lagi kualiti dan kuantiti agar persediaan kita ke negeri akhirat ini lebih bersedia.

Antara angan-angan dan pelaksanaan

Untuk bahagia di akhirat, ia tiak boleh hadir dengan angan-angan. Ia perlu dilaksanakan dengan baik. Peringatan berkesan untuk tidak berangan-angan sahaja ini ialah kematian.

Apabila seseorang membaca Maaliki Yaumid deen, perlu timbul saat kematian – sudah bersedia atau belum ? Orang lain pergi satu persatu dan adakah kita masih mahu bertangguh untuk membina manfaat di atas muka bumi ini ? Atau perlu tunggu bila saya besar nanti atau bila saya banyak duit ?

Realiti kematian dan angan-angan ini diterangkan oleh Nabi dengan melukis satu diagram seperti berikut:

Selepas Nabi melukis sedemikian, beliau berkata:

“Garis di tengah kotak itu adalah manusia. Sedangkan kotak persegi itu adalah ajal yang selalu mengepungnya.Sedangkan garis yang keluar adalah angan-angannya. Sedangkan garis -garis kecil adalah segala macam rintangan yang menghadang manusia. Jika dia selamat satu penghadang, dia akan diintai oleh penghadang yang lain. (HR Bukhari)

Banyak cabaran dan halangan yang mengintai kita untuk menghembuskan nafas terakhir. Sudah tentu Maaliki yaumid deen yang dibaca saban waktu akan mengingatkan kita bahawa sesuatu perlu dilaksanakan dengan serius untuk manfaat orang ramai dan diri. Legasi yang akan kekal sampai ke syurga.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Antara zikir dan menggunakan akal

"Saya suka berzikir" "Saya suka berfikir" Kedua-duanya diperlukan. Namun sering berlaku dalam diri kita akan berlaku dominan dalam mana-mana aspek

Close