Koleksi ST-GalleryPOTENSI

Kandungan Kalimah Syahadah

Perkara yang biasa kita dengar adalah, apa bila ditanya akan semula berkenaan dengan syahadah, mereka pasti dapat mengikrarkan nya semula dengan baik. Namun apakah implikasi yang lain yang terdapat di dalam kalimah suci ini? Banyak dikalangan kita kurang mengetahuinya dan inilah punca sebenar mengapa manusia yang memahami dan telah meyakini Islam itu selama beberapa tahun, namun yang demikian, mereka tidak tahu apakah perkara lain yang harus mereka kerjakan di dalam dunia ini sebenarnya.

Kekeliruan pasti berada di lingkaran pemikiran pada mereka yang tidak mendalami atau cuba untuk menghayati kalimah syahadah ini. Mengapa pada hari ini, ramai yang ‘berbondong-bondong’ keluar atau MURTAD dari Islam? Hal ini sangat serius sehinggakan perkara ini menunjukkan bahawa mereka yang keluar dari Islam itu sangat jauh dari memahami implikasi sebenar Islam itu setelah mereka bersyahadah. Tidakkah ini menunjukkan bahawa mereka yang murtad itu tadi jahil akan perkara yang terdapat di dalam syahadah mereka? Dan jika ditanya kepada mereka ini, sudah tentu mereka mengatakan bahawa Islam itu hanya satu ikrar sahaja dan bukan pada amal kehidupan seharian. Dakwaan ini sudah tentu menyeleweng jauh dari perkara yang benar. Malah terdapat banyak ayat-ayat Allah yang menyatakan bahawa kalimah tayyibah ini akan membawa mereka kepada kebahagiaan di  dunia dan di akhirat.

 

Menagapa para pengikut Rasulullah s.a.w. mempertahankan syahadah mereka walaupun batu, api, pedang dan berbagai-bagai lagi yang mereka rasai pada tubuh badan mereka, mereka tetap mempertahankannya? Inilah perkara yang harus kita kini kaji dan memahami, apakah kandungan sebenar di dalam syahadah ini.

 

Mari kita lihat satu senario pelajar sekolah yang mana setiap hari mereka beratur pada setiap pagi lalu mereka berikrar di hadapan guru-guru mereka. Mereka laungkan bahwa mereka akan rajin berusaha untuk berjaya di masa hadapan. Mereka (pelajar) tekun menunaikan apa yang di ikrarkan di hadapan guru mereka. Tetapi mari kita lihat, kalimat syahadah itu bukan hanya ikrar, tetapi mengandungi perkara sumpah dan janji taat setia kepada Allah. Kita lihat murid sekolah tadi bersungguh-sungguh menunaikan ikrar mereka untuk membuktikan kejayaan mereka kepada guru dan ibu bapa mereka. Maka hampir samalah keadaan itu dengan situasi kita bersyahadah dengan Allah.

 

Syahadah itu merupakan satu ikrar (Al-Iqrar)

 

Apabila kita bersyahadah, sebenarnya kita sedang berikrar di hadapan Allah dan para malaikat. Iqrar itu menjadi saksi bahawa seseorang itu telah meyakini akan apa yang telah mereka yakin untuk diikut. Iqrar yang dilafazkan itu tadi membuatkan seseorang itu hampir dengan kebahagiaan yang ada dihadapan matanya dengan cara ia meyakini sepenuh hati. Iqrar melalui syahadah ini juga membuatkan mereka ini dalam keadaan harus dan wajib menunaikan serta melaksanakan segala urusan, perintah dan larangan Allah s.w.t. Iqrar tersebut mengandungi dua perkara iaitu

 

a)      Meyakini bahawa Allah itu adalah illah (tuhan) dan tidak ada tuhan lain yang layak disembah. Tidak ada perkara atau sifat yang sama bagi Allah dengan makhluknya iaitu dengan cara tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Hal ini juga menyeru manusia supaya merobohkan atau meruntuhkan penyembahan berhala, manusia dan lain-lainnya kepada penyembahan yang sebenar iaitu Allah.

b)      Meyakini bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah. Di sini, mereka yang bersyahadah harus mengiktiraf bahawa Muhammad itu telah dipilih oleh Allah sebagai wakil kepada seluruh umat manusia yang diangkat sebagai nabi terakhir dan sebagai penyelamat kepada seluruh umat akhir zaman. Meyakini Rasulullah s.a.w. itu sebagai utusan adalah dengan cara mentaati, membenarkan serta mengikuti segala apa yang telah ditunjukkan serta perkara yang telah disampaikan oleh Rasulullah melalui wahyu yang disampaikan kepada baginda. Tidak harus bagi mereka yang bersyahadah itu, mereka menentang atau menolak segala apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Maka, jika mereka menolak dengan apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah kepada sekalian manusia maka mereka ini adalah golongan yang mengingkari ikrar mereka.

 

Harus juga kita perhatikan di dalam firman Allah, di dalam surah Al-A’raaf, ayat 172 yang bermaksud;

 

Dan ingatlah bahawa ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam, dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman); “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami!), kami menjadi saksi”

 

Sedarkah kita sebelum ini , bahawa sebelum kita dilahirkan di dalam dunia ini, kita telah beriqrar di hadapan Allah dan mengakui bahawa Allah itu Satu? Itulah hakikat manusia, baik mereka ini orang Barat, Timur atau mana pelusuk pun, sebelum mereka lahir, roh-roh mereka sebenarnya sudah berikrar di hadapan Allah dengan mengakui bahawa tidak ada illah selain dariNya. Jika kita lihat di dalam perbahasan penulisan Ibnu Qayyim berkenaan dengan roh. Dinyatakan di dalam Sahih Al-Hakim juga terdapat riwayat dari Abu Ja’afar Ar-Razi, katanya telah ada satu perbicaraan di antara ku dengan Ar-Rabik bin Anas, daripada Abul Aliyah, daripada Ubai bin Ka’ab dalam maksud firman Allah Taala; Dan ketika Allah menjadikan keturunan anak-anak Adam dari sulbi…katanya : Allah telah mengumpulkan semua keturunan Adam yang akan keluar hingga ke hari kiamat, dijadikanNya dalam bentuk ruh-ruh kemudian dirupakanNya, dijadikannya mereka berkata-kata dan ditanyakan mereka, lalu mereka berkata-kata dan diambil daripada mereka pengakuan, penyaksian atau iqrar seperti di dalam firman Allah di surah al-A’araf, 172.

 

Inilah bukti awal yang kebanyakkan manusia sudah lupa akan iqrar mereka sebelum mereka keluar dari tulang sulbi. Adakah kita ingat akan iqrar kita kepada Allah? Maka inilah dalilnya yang mana ia mengingatkan kembali iqrar kita semasa di Luh manfuz lagi.

 

Persoalan yang perlu difikirkan. Mengapa Allah mengambil iqrar
atau kesaksian seluruh anak-anak Adam?

 

Jika kita lihat di dalam penulisan M. Quraish Shihab, kesasksian atau iqrar yang terlebih dahulu di ambil kesaksiannya di luh Manfuz lagi adalah kerana

 

a)      Agar manusia di hari kiamat nanti tidak berkata; “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lengah terhadap ini”, iaitu jika kami tidak melakukan hal tersebut, maka pasti mereka akan berkata; “Kami tidak tahu atau kami lengah kerana tidak ada petunjuk yang kami perolehi berkenaan dengan kewujudan Allah”. Sudah pasti ini merupakan satu iqrar yang disimpan akan ikrarnya dan akan dipertanggungjawabkan semula di akhirat kelak. Sudah tentu di sana (akhirat) nanti akan banyak alasan-alasan dan akhirnya Allah akan membentangkan semula kesaksian kita semua.

b)      Agar manusia di hari pembalasan nanti tidak akan menagatakan bahawa “kami hanya lah anak-anak yang dilahirkan oleh satu keturunan iaini keturunan mereka (tidak Islam). Dan kami hanya mampu turut mengikutinya sahaja” Maka sudah tentu ini satu dalih atau alasan yang cukup relevan dan pasti akan terkeluar dibibir- bibir mereka yang dalam keadaan cukup terseksa di akhirat kelak.

 

Semuanya itu akan menjadi bukti bahawa kesaksian di alam ruuh itu akan menjadi satu bukti bahawa semamangnya kita sudah mempersaksikan Allah itu sebagai illah  dan ini akan dipertanggungjawabkan.

 

Siapakah yang akan berdiri teguh di atas iqrarnya tadi?

 

Di dalam hadith, yang diriwayatkan oleh Al-Hafizh Abu Ya’la Mushili dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah berkata “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan ‘Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendiriannya’ sungguh telah banyak diucapkan oleh ramai orang, tetapi kemudiannya ramai juga yang kafir. Maka barangsiapa yang mengatakannya dan mempertahankan sehingga mati maka sesungguhnya orang itu telah beristiqamah di atasnya”

 

Maka mereka yang beristiqamah sahajalah yang akan menetapkan dan mempertahankan syahadahnya sehingga mendapat kebahgian yang sebenar.

 

Syahadah itu merupakan satu sumpah (Al-Qasam)

 

Bagaimana syahadah itu dilihat sebagai satu sumpah? Dan bagaimana mereka yang terdahulu telah bersumpah melalui syahadah? Ini lah perkara yang harus kita fahami melalui seerah Rasulullah s.a.w dan akhirnya kita akan melihat bahawa sumpah itu tadi merupakan satu perlaksanaan tugas atau amanah yang sudah tertanggung di bahu manusia itu.

 

Dikatakan syahadah itu mengandungi kalimah sumpah atau Al-Qasam. Seseorang yang sudah bersyahadah iaitu ketika mana seseorang itu menyebut asyhadu, maka ia sudah bersiap sedia untuk menanggungjawabkan segala perintah serta suruhan Allah di muka bumi ini. Segala bentuk suruhan dan larangan wajib diikuti serta akur akannya. Tidak ada pengecualian di dalam sumpah kerana ia sudah mengambil langkah bahwa akan sanggup dan rela dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

 

Bagi mereka yang melanggar dan tidak sanggup untuk membawa amanah ini, maka sebenarnya kondisi mereka adalah di dalam keadaan yang melanggar sumpahnya dengan Allah.

 

Bagaimana orang-orang terdahulu menjadikan syahadah ini sebagai sumpah janji mereka terhadap Islam?

 

Disebutkan di dalam firman Allah di dalam surah Al-Munafiqun. Perkataan sumpah itu di tulis sebagai satu perisai bagi kaum munafik di Madinah. Firman Allah di dalam surah tersebut, ayat 1 hingga 2 yang bermaksud;

 

Apabila dating kepadamu kaum munafik, mereka berkata; ‘Kami bersaksi sesungguhnya engkau adalah benar-benar utusan Allah’ dan Allah mengetahui sesunguhnya engkau adalah utusanNya. Dan Allah bersaksi bahwa orang-orang munafik benar-benar pembohong. Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai lalu mereka menghalangi dari jalan Allah.

 

Inilah yang berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w. Golongan munafik ini menjadikan sumpah mereka, iaitu dengan memberikan kesaksian kepada Rasulullah s.a.w. melalui syahadah tadi. Mereka bersumpah bahawa mereka mengakui bahawa Allah sebagai illah  dan Muhammad itu sebagai Rasul. Tetapi mereka menjadikan sumpah (syahadah) mereka itu sebagai satu perisai yang membolehkan mereka ini supaya tidak diperangi oleh golongan muslimin. Lihat bagaimana ia bertindak bijak dalam mengatur strategi agar tidak diperangi oleh Rasulullah s.a.w. dengan hanya menjadikan syahadah itu sebagai pelindung bagi mereka? Tetapi Allah dan Rasul lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.

 

Jika kita lihat pada hari ini, ada atau tidak situasi yang hampir sama di zaman Rasulullah s.a.w. dengan zaman kini? Sudah tentu ramai yang ada bersifat munafik ini dikalangan masyarakat kita. Ada kalanya mereka besembunyi disebalik kad pengenalan yang tertera Islam tetapi hati mereka memberontak dan tidak mahu mengikut Allah dan RasulNya.

 

Inilah yang dikatakan sebagai perisai. Golongan munafikun menggunakan sumpah mereka melalui syahadah agar mereka mendapat tempat dikalangan orang-orang Islam dan sebenarnya mereka itu adalah musuh dalam selimut. Mereka sebenarnya mempunyai niat yang jahat untuk meruntuhkan Islam dengan cara melindungi diri mereka disebalik syahadah palsu mereka.

 

Kita juga harus memperhatikan di dalam diri kita. Adakah syahadah kita ini palsu seperti mana golongan munafik di Madinah? Jika ada, maka kita sebenarnya sedang bersumpah palsu dan golongan inilah yang akan menerima azab siksa yang pedih. Cuba kita bandingkan dengan mereka yang bersyahadah ikhlas dan jujur. Sudah tentu terdapat perbezaan yang besar di antara orang yang ikhlas dan tidak jujur. Buktinya adalah apabila golongan munafik ini disuruh ke medan perang bagi membuktikan iman dan taqwa mereka kepada Allah, maka merekalah orang yang pertama memberi seribu satu alasan yang tidak berasas dan kadangkala tidak releven langsung! Tetapi mereka yang yakin dengan syahadah mereka, mereka akur akan apa yang disuruh oleh Rasulullah di medan jihad, kerana mereka yakin dengan janji-janji Allah. Ini tidak berlaku di kalangan puak munafiqun.

 

Syahadah itu merupakan satu perjanjian (Al-Miitsaaq)

 

Bagaimana pula syahdah itu dikatakan sebagai satu perjanjian? Lihat di dalam aspek kisah nabi Musa dengan kaumnya, iaitu kaum Bani Israel. Perspektif ini mengambil kira bagaimana perjanjian taudhid itu berlaku di antara Bani Israel dengan nabi Musa.

 

 Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 93 yang bermaksud;

 

Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman); ‘Ambillah (dan amalkan ajaran Kitab taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)’. Mereka menjawab ‘Kami dengar dan kami menderhaka’ Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah sebati di dalam hati merek, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah wahai Muhammad, Amat jahatlah apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalau kamu orang-orang yang beriman.

 

Bagaimana perjanjian itu berlaku di kalangan bani Israil dan Nabi Musa?

 

Perkataan miisaaqakum ini menunjukkan perjanjian diantara kaum Bani Israel dan Nabi Musa dan menurut Ibnu Kathir, kaum Yahudi ini gemar menerima banyak perjanjian, tetapi tidak suka menerima dengan cara yang baik malah suka memaksa dan apabila diberi tekanan paksaan, mereka terima dengan hanya mendengar semata-mata, tetapi tidak untuk mentaatinya dan jiwa yang sedemikian terhadap ajaran Allah, adalah jiwa yang menentang dan tidak kepada Allah. Ini adalah kerana mereka meletakkan illah mereka kepada anak sapi tadi, dan bukan kepada Allah s.w.t.

 

Peristiwa Nabi Musa dan Bani Israel

 

Mnegikut pengajaran di dalam Quran, nabi Musa telah menyelamatkan kaum Israel dari kekejaman Firaun lalu dibawa ke laut Merah dan akhirnya mereka diselamatkan dari kekejaman Firaun. Setelah mereka selamat di seberang laut merah, Nabi Musa telah mendapat perintah dari Allah agar mendapatkan wahyu di Bukit Tursina. Maka dengan hal itu, Nabi Musa menagadakan perjanjian di antara kaumnya semenjak sepeninggalannya.

 

Namun akhirnya, seketika Nabi Musa pulang dari mendapatkan taurat di bukit tursina, maka akhirnya nabi Musa melihat bahwa kaumnya telah mensyirikkan Allah dengan patung sapi betina. Mereka telah menyembah patung tersebut dan tidak mahu lagi mendengar serta taat kepada Nabi Musa. (Surah Al-Baqarah, 93).

 

Disinilah menunjukkan bahawa perjanjian yang dilaksanakan di antara Nabi Musa dan kaumnya itu adalah satu perjanjian tauhid kepada Allah dan mereka tidak mahu mengiktiraf perjanjian akidah itu kerana mereka telah tenggelam dengan illah selain Allah.

 

Perjanjian Rasulullah serta kesaksian umatnya

 

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 285; Rasul telah beiman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. Mereka mengatakan “Kami tidak membeda-bedakan antara seorangpun dari rasul-rasulNya” dan mereka menagatakan “Kami dengar dan kami taat” (mereka berdoa) “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah kami kembali”

 

Apakah implikasi perjanjian di dalam ayat ini dengan khabar berita yang ada di dalam firman Allah ini?

 

Melihat di dalam tafsir Ibnu Kathir lagi, ayat ini Allah memuji dan mengagumi akan iman Rasulullah dan orang yang taat kepada Allah dan Rasul. Perkataan atau kalimah janji itu termetrai apabila umat Nabi Muhammad s.a.w. ini mengatakan bahawa “Kami dengar dan kami taat”. Perjanjian yang dibuat oleh umat ini ialah melalui syahadah yang di lafazkan lalu menjadi satu lafaz janji kepada Rasul dan wala’ nya juga adalah kepada Allah dan Rasul.

 

Syahadah itu menjadi satu lafaz janji di antara umat kepada Allah dan Rasul dengan cara mentaati segala suruhan dan menjauhi larangannya. Semuanya adalah datang dari lafaz syahadah yang dikrarkan dan di sumpahkan. Persoalan yang timbul, mengapa pada hari ini, terdapat segolongan manusia yang ingkar atau tidak taat kepada perintah Allah dan Rasul? Bukankah ini manifestasi dari gambaran yang menunjukkan bahawa mereka tidak memahami dan mendalami akan syahadah mereka? Apakah yang akan terjadi jika terdapat satu golongan yang tidak taat ini berada di dalam  sistem kehidupan Islam? Sudah tentu segala bentuk kemungkaran b
ermaharajalela di muka bumi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Bagaimanakah kaitan antara kebahagiaan di dunia akhirat dengan kalimah utama syahadah?

Melihat kepada scenario hari ini, manusia sangat sibuk menguruskan dan menjalani kehidupan seharian tanpa ada beberapa batasan. Kadangkala mereka bekerja

Close