Cara pandang ‘pembinaan pasukan’

Esok saya akan mengendalikan program teambuilding di Maran, Pahang, Insha-Allah. Alhamdulillah saya mendapat kerjasama beberapa orang fasilitator. Seperti biasa, kalau disebut ‘teambuilding’, yang terbayang di wajah peserta ialah meredah pelbagai cabaran fizikal, dimarah atau dicabar dalam bentuk yang kekadang ‘menyeksakan’. Wajarkah ? Atau ada pendekatan lain ?

Mazhab fizikal ala tentera

Apa yang terbayang tersebut disebabkan mazhab teambuilding atau apa jua latihan banyak berkisar sejarah pada peringkat awal yang mengambil kira modul dan model ketenteraan. Dalam program latihan begini, kawad, rendam dalam sungai atau angkat kayu balak adalah antara agenda. Saya pernah mengendalikan perkara ini suatu masa dahulu. Kini? Ia bergantung. Kalau kemahiran yang ingin dipindahkan ialah kemahiran mengangkat kayu balak atau belajar kawad, ia akan saya masukkan dalam senarai program.

Namun pada banyak masa, saya bukanlah dikenali sebagai jurulatih untuk menjadikan fizikal lebih kuat.

Mazhab teambuilding intelek dan emosi

Kini ramai yang mula sedar bahawa teambuilding amat penting dilaksanakan dengan mengambil hal sebenar di pejabat atau organisasi masing-masing. Nama ‘teambuilding’ adalah generic  kepada program untuk menjelekitkan ahli kumpulan. Bahagian sumber manusia inginkan program 2 atau 3 hari ini akan merapatkan ahli pasukan. Pada satu aspek, pemegang mazhab fizikal akan menyatakan jika diuji dan ditekan sesuatu pasukan, maka mereka akan berkerjasama. Kerjasama ini akan menjadi nostalgia untuk peserta apabila balik ke pejabat. Benarkah ?

Lantaran ‘trauma’ dengan pelbagai aktiviti fizikal yang mencabar ego tidak tentu hala, maka mazhab fizikal lebih berpaksikan kaedah outside in. Salah? Tidak semestinya. Namun ada cara yang lebih ‘direct’.

Mazhab intelek dan emosi dalam membina pasukan tidak terlepas daripada aktiviti fizikal. Cuma ia difokuskan dengan cuba membuat simulasi tempat kerja atau organisasi dalam program yang dianjurkan.

Sebagai contoh, jika di pejabat ada isu hormat antara satu sama lain, maka dalam program yang dilaksanakan menggunakan mazhab intelek + emosi ialah dengan memberi tugas bersifat jangka masa pendek untuk menjelaskan betapa pentingnya hormat dan berdiskusi antara sama lain. Ada yang mempersoalkan ia agak kurang thrill. Nostalgia tidak cukup kuat. Adakah cara lain untuk mewujudkan nostalgia lebih kuat ? Atau pentingkah nostalgia kuat ?

Yang dibawa pulang ialah kemahiran, bukan sekadar nostalgia

Ramai yang keluar cuti ingin membawa nostalgia serta gambar lawa. Ia memang menggamit perasaan. Cuma program teambuilding bukan sekadar gambar dan nostalgia. Jika itulah targetnya, jurulatih boleh menjadikan ia amat kreatif sehingga dipanggil penyanyi atau artis untuk berborak dan bergambar serta dilaksanakan modul amat tragik – dan di akhir program jurulatih menyatakan ‘saya mohon maaf. Ia adalah modul untuk mengajar kita erti kehidupan’.

Tujuan sesuatu latihan ialah untuk memindahkan kemahiran. Apabila balik seseorang dari sesi teambuilding, tujuan utama ialah ada kemahiran yang dipindahkan kepada peserta.

Adakah dengan marah-marah atau mencabar tanpa hujung pangkal akan memindahkan kemahiran ? Ia boleh dipindahkan. Namun pada banyak masa, marah pula yang dipulangkan kepada jurulatih. Persepsi pada latihan hanya dirasakan menyusahkan. Modul dari jurulatih tidak sama dengan modul dari Tuhan. Si jurulatih juga diuji oleh Tuhan, jadi tidak sesuai si jurulatih menguji si peserta itu sendiri. Siapalah jurulatih untuk mendabik kata dan dada menyatakan ‘saya layak menguji kamu ‘ kecuali kita sama-sama beraktiviti dan belajar bersama.

Mazhab fizikal merasakan jurulatih banyak ilmu dan ada otoriti. Mazhab fizikal + intelek + emosi + spiritual menampakkan kita belajar bersama. ‘Saya tanya, awak jawab. Saya tak tahu, awak tolong jawab’. Yang penting, kita tidak terpisah kasta antara jurulatih dan peserta.

Gembira dengan memberi 

Jika nilai spiritual itu meningkat adalah dengan memberi dan memberi, program teambuilding boleh dipenuhi dengan aktviti memberi dan memberi. Pemberian itu boleh dalam bentuk fizikal, intelek, emosi atau spiritual. Ia adalah medan untuk menjana sifat memberi. Agar kemahiran memberi itu terbangkit lebih segar – di samping apa sahaja potensi sedia ada. Si jurulatih tidak mampu membetulkan si peserta dalam masa 2 atau 3 hari. Tetapi kalau si jurulatih beri kemahiran kepada peserta, ia akan menimbulkan suasana muhibah.

Memberi itu juga akan menyebabkan semangat pasukan itu akan lebih terbina. Kesibukan di tempat kerja menyebabkan si peserta tidak sempat untuk berfikir ‘teknik baru untuk memberi’. Jadikan ruang teambuilding untuk belajar kemahiran baru. Belajar teknik baru memberi senyum, nasihat, kata, hormat, sumbangan, idea dan banyak lagi. Apabila sesuatu pasukan bergabung untuk memberi, ia akan dipenuhi berkat dari Yang Maha Pemberi.

Jika diberi pilihan antara ruang 3 hari untuk marah dan muhibah, kita sudah tentu tahu manakah yang kita inginkan. Biarlah yang kusut dan masai itu lahir dari modul Tuhan kerana kita hamba yang layak diuji. Bukan si jurulatih dengan misai kontot yang mencaca-merbakan pola berfikir dan sistem kepercayaan peserta yang meninggalkan anak bini serta urusan lain hanya untuk mendapat terjah dari penceramah ‘Saya minta maaf. Saya ingin tuan-tuan sedar’. 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
2 minggu di Madinah dan Mekah

Alhamdulillah saya berada 2 minggu di Madinah dan Mekah. Pengalaman yang amat menarik, ditemani 44 orang lain bagi mengerjakan umrah.

Close