Alahai Manusia… Hilangnya Adab Di Jalan Raya


Tanggapan dari warga asing tentang orang Malaysia dikenali dengan sikap sopan-santun dan lemah lembut. Benarkah tanggapan tersebut?

Hendak lihat ‘warna sebenar’ seseorang, lihat corak pemanduannya di atas jalan raya. Cuba perhatikan sikap para pemandu di Malaysia.

Nah, di situ terserlah ‘warna’ diri seseorang. Semuanya berubah kerana ada rasa tercabar. Ada yang apabila masuk ke dalam kenderaan hilang segala kelembutan, kesabaran dan  sifat sopan dalam dirinya. Tidak kira lelaki atau pun perempuan. Itulah hakikatnya.

*****

Jepun Negara Islam?

Pada hari ini boleh di kira bilangan orang yang beretika di jalan raya. Antara sikap pemandu yang paling kerap dilakukan, masuk atau keluar simpang dan memotong tanpa memberi lampu isyarat ‘signal’.  Membuatkan pemandu lain beremosi semasa memandu.

“Apa ini, keluar tidak buka ‘signal’!”.

Sudah buat orang marah. Buat orang lain sakit hati. Mulalah dimarah dan dimaki pemandu lain. Seharusnya doa yang diharapkan dari orang lain, tetapi cacian dan sumpahan yang dapat.

Alangkah ruginya!

Situasi lain. Pengguna yang hendak melintas atau membelok masuk ke simpang. Lama pengguna jalan raya tersebut menunggu untuk dapat laluan. Apa salahnya beri laluan andainya laluan jalan yang sesak. Angkat lampu tinggi sebanyak dua kali tanda memberi laluan. Pengguna itu pasti akan terdetik doa dalam hatinya. Itu juga dikira sedekah kerana memudahkan urusan orang lain. Hati jadi lapang. Gembira.

Dalam hal ini, kedua-duanya memainkan peranan. Ada toleransi. Memberi dan membalas. Siapa yang memudahkan akan dimudahkan. Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW, bersabda;

 “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)

Mudah sahaja mencari pahala. Hendak cari dosa pun senang juga.

 “Pahala ada di mana-mana. Dosa ada dimana-mana” – Fazrul Ismail

Sehingga kini, laporan statistik angka korban semakin meningkat saban tahun terutamanya ketika musim-musim cuti sekolah yang panjang. Apa puncanya? Sikap yang kurang berhemah ini antara punca berlakunya kemalangan. Kedua-dua situasi itu popular yang kerap dilakukan oleh segelintir pemandu di Malaysia.

Islam itu selamat. Tetapi siapa yang akan memainkan peranan penyelamat itu? Tepuk dada tanya hati.

Jom ‘terbang’ sebentar ke negara matahari terbit. Melihat bagaimana pemandu di Jepun berkomunikasi di atas jalan raya. Klik di pautan video tersebut.

Cara Orang Jepun Terima Kasih D.Jalan Raya

Awesome! Bijak! Baiknya orang Jepun.

Atas jalan raya juga boleh berinteraksi? Ya, itulah cara pemanduan mengucapkan tanda terima kasih di atas jalan raya. Lampu kecemasan di pasang dan berkedip sebanyak dua kali, sebagai tanda penghargaan kepada pemandu lain.

Betapa tertibnya dan penuh sopan. Bukankah Islam menganjurkan sikap sedemikian? Kita sepatutnya berasa malu. Negara bukan Islam tetapi amalannya dekat dengan Islam. Di’cop’ sebagai Muslim, tetapi cara hidup adakah benar-benar Islam?

Sistem Islam itu memang sudah cantik dan sempurna. Hanya sikap orang Muslim itu sendiri yang perlu berubah.  Kata, Islam is the way of life. Bukan sekadar luaran, tetapi sikap turut melambangkan diri seseorang itu benar-benar Muslim 100%.

 

Kesimpulan

Itulah realiti keadaan corak pemanduan di Malaysia. Sikap moral di atas jalan raya. Sifat mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan orang yang kita pandu dan juga pengguna jalan raya yang lain. Islam agama yang syumul. Praktikal diamalkan dimana sahaja termasuk di jalan raya. Bukankah itu yang diajar oleh Islam?

Islam sendiri telah mendidik Muslim dengan akhlak dalam al-Quran. Yang paling dekat sekali solat. Apa kaitannya dengan solat? Solat berjaya mendidik seseorang menjadi disiplin. Barisan saf tersusun secara auomatik. Tidak berebut-rebut.

Hikmah dari solat menunjukkan, impak dari melaksanakan solat gagal membentuk diri seseorang menjadi berdisiplin. Bukankah dalam solat berjaya membentuk manusia secara automatik terdisiplin? Mengapa di luar solat hilang semua prinsip itu? Cuba ‘check’ balik solat. Kelam kabut? Terburu-buru?

Jaga dan perbaiki hubungan dengan Allah,  moga menjadi insan yang lebih baik sesama manusia lain.

Jom hiasi peribadi dengan akhlak Al-Quran!

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Jejak Kembara Nabi Muhammad SAW : Hilang Semangat?

Sedih? Kecewa? Hilang semangat? Lumrah sifat manusia ada kadang-kalanya naik dan turun. Rasulullah turut bersedih di uji kewafatan isteri dan...

Close