Umum

Masih malas membaca?

Harga buku menjadi ‘kambing hitam’? Oleh Azman Ismail (Utusan Online)

 

SALAH satu ciri negara maju adalah jumlah penerbitan yang mereka miliki. Jepun, negara yang musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua misalnya berusaha memulihkan dirinya dengan menerbitkan buku sebanyak mungkin dan dijual semurah mungkin. Buku-buku dari luar negeri juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Objektif utama tindakan tersebut adalah untuk memastikan rakyat negara itu membaca dan memperoleh ilmu-ilmu baru tanpa had. setiap rakyat negara itu berpeluang untuk membaca buku apa sahaja. Kesan daripada tindakan dan kebijaksanaan tersebut, Jepun muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan dan akhirnya mampu menandingi keupayaan Barat.

Oleh pemikir, Francis Fukuyama dalam
bukunya Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity,
kejayaan masyarakat Jepun termasuk dalam perniagaan dikaitkan dengan
budaya membaca mereka. Kini penerbitan buku di Jepun menjadi suatu
industri yang memberi pulangan besar. Malah, penerbit-penerbit asing
turut berlumba-lumba menerbit karya-karya sama ada fiksyen atau
nonfiksyen oleh pengarang negara Matahari Terbit tersebut.

 

Namun,
kedudukan itu jauh berbeza dengan dengan perkembangannya di Malaysia.
Buku masih dianggap bukan keperluan berbanding dengan hiburan dan
barangan lain. Sebahagian masyarakat Malaysia belum memahami apa itu
buku dalam erti sesungguhnya. Sedangkan secara fungsional, ia dapat
didefinisikan sebagai suatu kumpulan bentuk komunikasi grafik yang
cukup berkesan untuk pembinaan peradaban. “Masyarakat kita berada dalam
suatu fenomena yang ‘unik’ jika dibandingkan dengan negara-negara maju
seperti Jepun apabila mereka tidak meletakkan ilmu pengetahuan sebagai
tempat tertinggi jika dibandingkan dengan bidang-bidang lain.

 

“Mungkin di Malaysia buku berada ditempat
ketiga selepas barangan mewah dan hiburan lain . Alasan klasik yang
sering diberikan ialah harganya yang terlalu tinggi (sama ada buku
terbitan tempatan atau import) dan tidak mampu dibeli,” kata peminat
buku, Jaafar Abdul Rahim. Ironisnya, beliau berkata, harga buku masih
jauh lebih rendah berbanding barangan mewah atau kos yang diperlukan
untuk hiburan yang mampu dibeli oleh masyarakat Malaysia hari ini.
Namun, segelintir masyarakat tetap menjadikan harga buku sebagai alasan
mereka tidak suka membaca. Jaafar berkata, sudah menjadi kewajaran jika
buku-buku ilmiah dijual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun ia
masih terjangkau oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.

 

Apa yang
menjadi persoalan di Malaysia sekarang ialah harga buku telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh golongan berkenaan sedang
pada masa yang sama mereka sanggup menghabiskan wang untuk hiburan atau
membeli barangan berjenama. “Orang kita mungkin bukan malas membaca
tetapi kurang membaca dan belum sedar sepenuhnya erti pentingnya ilmu
pengetahuan yang bakal diperoleh daripada buku-buku atau bahan bacaan
tersebut . “Kalau kita sekadar membaca karya-karya atau tulisan
picisan, tidak mungkin kita dapat idea besar. Hanya buku yang
benar-benar bermutu sahaja mampu melontarkan idealisme yang hebat,”
tambahnya.

 

Di sisi lain beliau melihat rakyat negara ini mempunyai
kuasa beli yang kukuh. Cuma buku bukan keutamaan seperti yang wujud di
negara-negara maju seperti Jepun atau Amerika Syarikat. “Cukup pelik
jika ada kelompok masyarakat kita yang mampu bercuti di luar negara atau menonton perlumbaan Formula 1 dengan
tiket mencecah ribuan ringgit tetapi tidak mampu membeli buku yang
harganya tidak sampai RM100,” ujarnya. Sementara itu, Jaafar berkata,
masyarakat perlu didedahkan dengan pendekatan- pendekatan baru dalam
pembacaan supaya proses membaca menjadi sesuatu yang menyeronokkan.
Antaranya, pihak yang bertanggungjawab perlu melaksanakan kursus
membaca pantas (speed reading course) untuk membolehkan pembaca
memahami isi sesebuah buku dalam tempoh yang singkat.

 

Begitu juga
dengan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohamad
Zakir Syed Othman (SM Zakir) melihat harga buku hanyalah ‘kambing
hitam’ oleh sebahagian masyarakat di negara ini. Katanya, harga buku
yang terlalu tinggi digunakan sebagai alasan kenapa masyarakat di
negara ini kurang membaca atau dengan kata lain faktor harga tersebut
menjejaskan minat masyarakat. Sedangkan beliau berkata, masyarakat di negara ini masih belum terbuka secara
keseluruhan kepada budaya keilmuan. Mereka cenderung meletakkan budaya
membaca sebagai sesuatu yang tidak penting. “Saya melihat fenomena
masyarakat Malaysia hari ini sangat membimbangkan. Apa lagi ketika
hedonisme televisyen dan hiburan bertapak dengan kukuh. Ada yang
sanggup menghabiskan wang untuk terlibat dalam realiti TV .

 

“Mahu atau
tidak, kerajaan perlu `memaksa’ dalam konteks menggalakkan masyarakat
untuk membaca misalnya mengecualikan cukai kerana ini salah satu
daripada proses untuk membentuk budaya membaca,” katanya. Katanya,
hedonisme televisyen dan hiburan tersebut telah mewujudkan satu
persepsi budaya baru iaitu masyarakat yang suka berhibur, tidak
mementingkan ilmu pengetahuan dan tidak mahu membaca ,” katanya. Oleh
itu, SM Zakir berkata, peranan kerajaan untuk mewujudkan struktur dasar
pembacaan khususnya mengurangkan harga buku dan pengecualian cukai
sangat penting. Beliau berkata, jika fenomena tidak suka membaca dan
enggan mendekati pengetahuan berterusan, ia akan memberi impak yang
sangat besar kepada peradaban bangsa Malaysia.

 

“Menstruktur kembali
dasar pembacaan sangat penting sama seperti tindakan kerajaan
menstrukturkan ekonomi. Kedua-duanya sama penting. “Dasar pembacaan
misalnya terlalu penting untuk mengukuhkan modal insan. Jika kita
melahirkan tenaga yang tidak berpengetahuan, bayangkan apa yang terjadi
kepada masa depan negara ini,” tambah beliau. Berdasarkan pandangan
Jaafar dan SM Zakir tersebut, kita sesekali perlu kembali kepada
sejarah. Tradisi keilmuan Melayu telah berusia lebih 600 tahun dan jauh
lebih lama berbanding dengan perkembangannya di negara-negara maju.
Namun, benarkah begitu?

 

Seperti kata Jaafar dan SM Zakir, masyarakat Malaysia hari ini tidak gemar membaca dan enggan
mendekati ilmu dan salah satu ‘kambing hitam’ adalah harga buku yang
dikatakan tinggi. Hasilnya, tradisi keilmuan Melayu yang digali oleh
tokoh-tokoh Kerajaan Islam Aceh, Kesultanan Melaka dan lain-lain itu
seolah-olah hampir menemui noktahnya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Men’degree’kan daurah?

Dua hujung minggu yang lepas, saya tidak berada di Los Angeles. Saya sekeluarga ke California State University, Long Beach, California...

Close