Vertigo

“Asyik saya sahaja yang mengalah, mentang-mentanglah saya ini isteri, cakap apapun bukan awak tidak mahu dengar. Malas saya nak cakap apa-apa lagi dengan awak.” Begitulah keadaan Halimah ketika bercakap dengan suaminya. Ini membuatkan Halimah akhirnya lebih cenderung untuk memendam perasaaan.

Halimah adalah contoh individu yang terperangkap dalam emosi dan akhirnya memilih untuk memendam perasaannya. Jika keadaan ini berterusan, hubungan antara Halimah dan suaminya mungkin akan semakin renggang. Sikap ini sering melanda masyarakat. Jika sudah terperangkap dengan emosi ini, perundingan mungkin tidak akan berlaku atau sekiranya berlaku perundingan, ia hanya mendatangkan natijah yang membimbangkan.

Situasi di atas dikenali sebagai ‘vertigo’ iaitu keadaan di mana seseorang atau sesuatu kumpulan terperangkap dalam emosi negatif. Ini boleh berlaku bila cara pandang atau nilai seseorang itu telah dicerobohi pada pengalaman yang lepas dan akhirnya membentuk sikap yang sering mengundang konflik. Dalam bahasa latin, ‘vertigo’ disebut dengan ‘vertere’ yang bermaksud ‘kembali’.

Antara perkara yang membentuk ‘vertigo’ adalah kerana terperangkap oleh pengalaman negatif.  Dalam psikologi, trauma dari pengalaman lepas biasanya memberi kesan yang sama kepada masa hadapan. Contohnya, Halimah yang sudah ada pengalaman di mana suaminya akan menolak cadangannya, maka beliau akan merasakan peristiwa itu akan berulang pada masa-masa mendatang. Atau keadaan di mana Ali yang pernah ditipu oleh Ah Chong dalam urusan perniagaan pada masa dahulu, Ali akan amat berhati-hati sekiranya mahu berurusan dengan Ah Chong kelak.

Perkara lain yang membentuk ‘vertigo’ adalah terperangkap dalam persepsi masa dan tempat. Contohnya, seekor gajah kecil yang ditambat dengan tali pada sebatang pokok kecil, akan terperangkap dalam persepsi di mana dirinya tidak dapat melepaskan diri bila ditambat sekalipun ia sudah dewasa. Begitu dengan Halimah, beliau rasa terperangkap dalam persepsi ketika masa bersama suaminya, akan memberikan tekanan pada dirinya untuk meluahkan perasaan kerana sering dinafikan oleh suaminya.

Hal ini sering menghantui ramai orang dan akhirnya membuat keputusan untuk bersikap mengalah atau melawan untuk menang. Justeru, ‘vertigo’ perlu dikenalpasti segera untuk mengelakkan konflik yang lebih besar. Sekiranya Halimah mengetahui bahawa ia berada dalam situasi ‘vertigo’, ia perlu segera keluar dari situasi tersebut dan mencari jalan terbaik bersama suaminya. Ia memerlukan stamina yang tinggi untuk keluar dari ‘vertigo’.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.

Surah Al-Bayyinah, 98 (6)

Hamka memberikan contoh kalimah ‘hunafa’ pada ayat keenam surah Al-Bayyinah seperti kompas yang akan selalu menunjukkan jarumnya ke arah utara. Walau ditujukan ke arah mana sekalipun, ia tetap akan berbalik kepada arah yang sama iaitu utara. Merujuk situasi ‘vertigo’, ia akan sentiasa mengembalikan seseorang terhadap situasi negatif. Dan ini akan mengakibatkan terjelmanya sikap yang negatif juga. Maka seruan ayat di atas adalah untuk manusia sentiasa kembali ke arah yang sama iaitu kebenaran. Stamina untuk kembali kepada kebenaran adalah dengan sentiasa mendirikan solat dengan sentiasa menghambakan diri kepada Allah swt dan memberikan zakat harta dalam keadaan ikhlas. Berikut merupakan jadual ringkas yang menerangkan ‘vertigo’ dan ‘hunafa’.

Vertigo Hunafa’
Terperangkap dalam emosi negatif Melihat dunia dalam keadaan yang lebih luas dan sentiasa bersikap positif. Bagi mereka yang mempercayai kewujudan Tuhan, perlu meyakini bahawa Tuhan sentiasa ada bersama dirinya dan sentiasa membantunya.

 

Terperangkap dalam persepsi masa dan tempat Memandang merentasi masa dan tempat. Ada masanya untuk seseorang menempuhi kesulitan, dan perlu positif bahawa Tuhan sentiasa memberi jalan keluar dari masa dan tempat yang sulit itu dengan cara yang indah dan unik.

 

 

Kecenderungan untuk kembali kepada landasan kebenaran merupakan batu loncatan untuk mengeluarkan diri dari perangkap emosi negatif. Kecenderungan yang kuat ini akan membolehkan Ali kembali berurus niaga dengan Ah Chong, dan Halimah kembali berinteraksi dengan baik bersama suaminya.

‘Vertigo’ boleh menjadi penghalang selama-lamanya ke arah perundingan yang lebih berkesan kerana konflik dalaman yang belum selesai. Justeru, mari kita doakan agar manusia cepat cenderung kepada kebenaran untuk membina masyarakat yang harmoni dan aman damai.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Tribe Effect

"Kalau awak minta elok-elok,saya akan tolong. Dah awak tak hormat saya,macam mana saya nak hormat awak?" marah wanita yang menguruskan

Close