Hidup penuh pilihan akan melumpuhkan?

Dalam otak manusia, ada pelbagai tautan terbina apabila seseorang berfikir dan memasukkan info ke dalam minda. Makin luas pengalaman dan ilmu, makin banyak pilihan yang terhidang. Banyak pilihan sering dikaitkan dengan kebebasan. Tapi benarkah ? Dalam ayat terakhir Surah al-Fatihah, Allah ‘meletakkan’ 3 ‘pilihan’ yang sebenarnya menjelaskan manakah jalan yang perlu kita lalui. Lantas, perlukah kita banyak pilihan?

Soalan mewujudkan pilihan

Salah satu teknik untuk membanyakkan pilihan ialah dengan menyoal. Dengan soalan, kita akan terbuka kepada pelbagai potensi dan pilihan. Ada baik dan buruknya. Jika anda diberi pilihan untuk membaca artikel ini sehingga habis, apakah yang anda akan buat? Mungkin baca atau tidak. Namun kalau anda tiada pilihan kecuali membaca, ‘paksaan’ tersebut boleh membawa kepada hasil pasti di hujung pembacaan tersebut.

Mengapa pilihan dianggap bagus

Apabila kita bercakap tentang ciri orang dewasa, pilihan lebih ‘disukai’ kerana ia melambangkan ‘tidak ada paksaan’. Masing-masing suka menganggap diri dewasa dan tidak dipaksa. Masing-maisng suka membuat keputusan atas pilihan masing-masing.

Apabila pilihan diberikan, ia mewujudkan ‘kebebasan’ pada individu. Tetapi  ‘kebebasan’ itu sendiri adalah relatif pada setiap individu. Bagi individu yang berkaca-matakan fizikal seperti wang, banyak duit dianggap kebebasan. Bagi yang mementingkan intelektual, lebih banyak mazhab dan cara pandang dianggap kebebasan. Bagi yang mementingkan perasaan, banyak kegembiraan atau keyakinan yang diberikan dianggap kebebasan. Bagi yang mengutamakan spiritual, mengikut kepada tujuan sesuatu perkara – paling utama kepada Maha Pencipta – akan dianggap kebebasan.

Pilihan hadir dengan tanggungjawab

Pilihan yang ada pada setiap manusia bukanlah hadir dengan percuma. Ia ada kesannya. Ada tanggungjawab di sebalik setiap pilihan. Makin banyak pilihan yang diberikan, makin banyak ‘jawapan’ yang perlu disediakan.

Sebagai contoh, jika anda tiada pilihan kecuali membaca artikel ini, anda tidak perlu ‘menjawab’ apa-apa kepada yang menyuruh anda. Namun jika anda diberi 2 pilihan samada baca atau tidak, anda perlu ‘menjawab’ mengapa anda ingin membaca atau tidak ingin membaca. Paling tidak, jika anda tidak disoal oleh orang lain, anda perlu menjawab pada diri sendiri ‘saya tidak membaca kerana sibuk dan dengan itu saya tidak dapat mengambil manfaat daripada artikel ini.’

Kalau diberi 3 pilihan, anda perlu sedia menjawab paling kurang 2 atau sebab mengapa anda membuat pilihan pertama, kedua atau ketiga.

Pilihan tidak semestinya ‘kebebasan’

Bagaimana kalau saya beri 4 pilihan:

  1. Baca artikel ini sepenuhnya sekarang
  2. Baca artikel ini kemudian
  3. Baca artikel ini jika anda ada masa lapang sekarang
  4. Baca artikel ini jika anda ada ayah atau ibu yang pernah memaksa anda.

Pilihan di atas hadir dengan pilihan ‘untuk baca’. Pilihan-pilihan yang diberikan makin banyak, namun ia tidak membuka peluang kepada anda untuk ‘tidak membaca’.  Makin banyak pilihan tidak bermaksud anda makin ‘bebas’. Malah ia mungkin menyebabkan anda makin ‘tidak bebas’. Menurut seorang pakar psikologi, Barry Schwartz, ia mewujudkan ‘lumpuh’ jika pilihan terlampau banyak (http://www.youtube.com/watch?v=VO6XEQIsCoM)

Pilihan boleh banyak pada aspek fizikal, intelek atau emosi

Hakikatnya, pilihan boleh dibanyakkan pada aspek fizikal seperti kewangan dan tubuh badan. Pilihan boleh dibanyakkan pada aspek intelek seperti pendapat siapa dan ilmu bagaimana. Pilihan boleh dibanyakkan pada aspek emosi seperti kegembiran sedikit aau lebih. Namun pada aspek spirituil, 1 pilihan sahaja. Untuk Allah dan mengikut Nabi.

Jika niat hanya untuk Allah dan mengikut Nabi (menurut syariat), maka sebarang pilihan yang sudah dianalisis secara sedar akan membawa kekuatan.Sebagai contoh, kita berhadapan BMW, Kancil atau Mercedes. Kalau ikut perasaan, mungkin BMW bagus kerana ia amat menarik serta menggiurkan orang keliling kita. Kalau ikut kepada duit, Kancil lebih bagus. Kalau ikut intelek yang mengalisis maintenance dan jangka hayat, Mercedes lebih bagus. Namun kalau iman atau spirituil diambil kita, tujuan pembelian kenderaan akan diutamakan. Bertanya pada Allah dengan istikharah tentang manakah yang terbaik – pasti akan menatijahkan keberkatan jangka masa panjang.

Qadha qadar berkait dengan pilihan

Lebih dari itu, keimanan kepada qadha qadar ada kaitan dengan ‘pilihan’ berasaskan sesuatu yang tidak kita nampak atau mampu fikirkan – kerana ia ada kaitan dengan masa depan. Memang banyak ‘pilihan’ dalam memahami qadha qadar, namun ada teknik standard untuk memastikan pilihan itu tidak melumpuhkan. Ibn Qoiyim membahas panjang hal ini dalam kitabnya Syifaul Alil. Tanpa pedoman yang mantap, seseorang akan lumpuh melihat hakikat kehidupan ini yang diberi pilihan oleh Allah – bagi menunjukkan keadilan-Nya.

Moga Allah sinari kita dengan pilihan yang terang – agar dapat membezakan antara yang haq dan batil serta dijauhkan daripada pilihan amat banyak yang tidak bermanfaat – dengan dikurniakan baseerah pada jiwa kita. Ameen

Facebook Comments:

2 thoughts on “Hidup penuh pilihan akan melumpuhkan?

  • December 12, 2010 at 8:06 am
    Permalink

    Salam..terima kasih krn memberi pilihan kpd sy utk membaca artikel ini dgn izin Allah.

    moga Allah setiasa memandu dgn petunjuk dariNya..

    Reply
  • December 17, 2010 at 7:09 pm
    Permalink

    Sudah termaktub dalam Qadha’ dan QadarNya saya baca artikel ni? huhu. Alhamdulillah artikel yang baik. Merangsang minda dipagi hari. Jazakumullahu khayran katheera

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Antara idea personal, idea untuk umum

Ada idea yang amat personal - namun ia boleh dijadikan satu agenda dalam kehidupan. Ada idea yang sememangnya untuk umum....

Close