Apabila Ustaz Sudah Sampai Ke Syurga


“Ana betul.”

“Mengapa ustaz sentiasa ada jawapan tetapi gayanya dalam hidup semacam belum ada jawapan atau hidup tak perlu ikut janji yang diucapkan?”

Itu cabaran menjadi ustaz atau ‘ustaz’.

Proven-truth thinking dan scientific thinking.

Proven-truth thinking dan ustaz

Sang ustaz belajar ilmu agama. Berinteraksi dengan wahyu. Semua itu adalah kebenaran. Semua itu adalah truth. Semuanya seperti ‘sudah siap’ – tidak perlu diproses lagi. Tidak perlu mencari seperti Imam Bukhari yang bermusafir bertahun-tahun.

Kesan perkara ini, si ustaz hanya memahami dan menghafaz. Ketika belajar, proses itu diajari. Namun tidak kurang yang terlepas ‘proses’nya, hanya dapat outputnya. Buku-buku dibawa pulang dari belajar – sebagai panduan untuk merujuk ‘jawapan’ ketika ceramah atau diminta fatwa.

Ia penting tetapi ia membina satu kemelut ‘aku benar dan aku ada kebenaran.’ Pada kadar ekstrem, setiap kali berinteraksi dengan rakyat marhaen bukan ustaz ‘saya ada kebenaran. Awak berani persoalkan?’.

Yang Maha Benar ialah Tuhan. Yang masih dalam proses mencari kebenaran dan ada silapnya ialah makhluk Yang Maha Benar.

Scientific thinking dan golongan profesional

Berbeza dengan individu yang belajar sains, kedoktoran atau ilmu pengurusan. Semua ini ilmu sunnatullah – yang menitikberatkan proses.

Ingin belajar peneutralan? Tunggu berpuluh atau beratus kesilapan untuk menunggu satu titik ‘kebenaran’ – ketika cukup asid bertambah dengan alkali. Proses ini diikuti dan menjadi agenda kehidupan seorang ahli kimia atau sains.

Bagaimana dengan ilmu pengurusan atau sosial? ‘Saya ada jawapan tetapi tertakluk kepada apakah tindakbalas atau respon daripada umum. Saya sanggup kumpul data secara empirikal untuk membuktikan saya betul atau salah.’

Inilah mentaliti saintifik. ‘Saya tidak semestinya betul kerana kebenaran ada satu titik sahaja.’

Kesan dari mentaliti ini, apa-apa sahaja cabaran dalam hidup, ia adalah titik kesilapan yang makin dekat dengan kebenaran. Jangan mudah putus asa. Teruskan usaha. Bukan mudah menyerah dengan doa sahaja. Sanggup bertahan.

Apabila ustaz sudah sampai ke syurga

Ada beza antara mentaliti ‘proven truth’ dan ‘scientific’.

Proven truth thinking: saya sudah sampai ke syurga, saya ingin berpatah ke dunia untuk memahami apa yang ada di sana.

Scientific thinking: saya sudah biasa dan faham dengan bergelumang dengan dunia, kini saya ingin menuju ke syurga.

Ada ustaz yang ingin ke dunia dengan belajar sejarah, matematik, ilmu pendidikan atau pengurusan. Ada ustaz yang tidak mahu ‘berpatah’ balik ke dunia.

Bagi rakyat marhaen dan golongan profesional, ‘Kami sudah nampak dunia dan selok beloknya. Kami belum sampai ke syurga. Kebenaran pada kami amat sedikit. Kami sedang mencari dan harapnya kami sampai ke syurga.’

Dunia dihinggapi sekularisme dalam pendidikan dan cara berfikir. Terpisah sang ustaz yang memahami ilmu pengurusan atau sains atau biologi. Terpisah sang engineer yang memahami fiqh dan ibrah Surah dalam al-Quran.

Adakah dunia memerlukan orang yang bertolak dari dunia ke syurga. Atau sebaliknya? Jangan sampai si engineer memahami dan menjadi ‘ustaz’ hingga terlepas kemahiran ‘saya salah beribu kali dalam eksprimen’ dulu yang dipelajari 4 tahun di peringkat sarjana muda.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Ujian litmus CSR

"Kami ada duit banyak yang akan kena tax. Kami ingin laburkan untuk dapat tax exemption." "Kami buat program amal ini...

Close