Al-Fatehah mengajar erti mengenal kewujudan diri

Dalam bukunya The Presence, Peter M Senge berkongsi pengalamannya bagaimanakah untuk mencari erti ‘kewujudan’ dan ‘kehadiran’ pada diri. Jika sesiapa pernah membaca bukunya The Fifth Discipline yang banyak menyatakan teori pengurusan, The Presence lebih membawa kepada kaedah menentukan kebenaran dan kepastian kebenaran itu sendiri. Inilah yang menimbulkan detik kepada hati saya: mengapa orang-orang ini perlu berusaha sejauh ini? Tidak cukupkah hidup mereka?

Dalam pengalaman lain, saya bertemu dengan seorang ibu yang juga menyatakan: “di mana Tuhan? Bagaimana saya ingin merasakan kehadiran Tuhan dalam diri saya? Bagaimana saya mampu mendekati Tuhan?” Ini juga persoalan ‘kewujudan’ dan ‘kehadiran’. Apabila seseorang itu merasakan kosong dalam diri, realiti kewujudan dan kehadiran ini akan dicari sesungguh mungkin.

Adakah umat Islam sudah kenal ’kewujudan’?

Sepatutnya umat Islam adalah kumpulan yang tidak ada masalah dengan persoalan ’kewujudan’ dan ’kehadiran’ ini. Namun ia bukanlah jaminan kerana dalam Islam, ada tiga aspek yang mendasari agama ini:

1)      Aqidah – dikaitkan dengan rukun Iman

2)      Syariat – dikaitkan dengan rukun Islam

3)      Akhlak – dikaitkan dengan rukun Ihsan

Antara akidah, syariat dan akhlak, manakah yang lebih utama? Sirah membuktikan kepentingan akidah ini dibina dahulu. Akidah akan menghasilkan akhlak yang mulia. Syariat adalah unsur yang banyak dijelaskan di Madinah lantaran untuk akidah dan akhlak, masing-masing boleh bertindak sendiri. Namun hal kehidupan harian serta pengendalian manusia ini perlukan kepada undang-undang yang mantap – dinamakan syariat dalam Islam.

Apabila akidah menjadi teras utama, ia boleh menjadi kayu ukur untuk kita mengenalpasti sudah kenalkah umat Islam pada erti ’kewujudan’ sebenarnya? Masalah sosial dan kemunduran umat Islam ada kaitan dengan akidah yang dianutinya. Kalau inilah hakikatnya, jawapan kepada persoalan kenal atau tidak boleh disimpulkan dengan: ramai yang tidak kenal ’kewujudan’ diri sendiri.

Soalan-soalan kenal ’kewujudan’

Kalau seseorang itu kenal ’kewujudan’ yang sebenarnya, ia berada dalam keadaan sedar.

Sedarkah kerja yang perlu dilaksanakan sekarang untuk menuju negeri abadi?

Sedarkah negeri abadi itu amat berharga?

Sedarkah Tuhan yang mempunyai 99 nama ?

Sedarkah bagaimana mengamalkan secara praktikal 99 nama Allah itu ?

Sedarkah Tuhan yang perlu kita ’nampak’, jika tidak Dia tetap nampak apa yang kita laksanakan?

Perlunya kenal ’kewujudan’

Kewujudan kita adalah jatidiri kita. Jika kita kenal, banyak natijahnya:

  • Seseorang akan menyedari potensi dirinya
  • Seseorang akan menjadi amat bersemangat dalam kehidupan
  • Ia akan menyebabkan kita cepat membaiki diri daripada kesilapan
  • Ia akan menjadikan kita hamba yang efisien
  • Ia akan mengelakkan masalah yang banyak dan keresahan tidak kunjung padam
  • Ia akan menyebabkan diri mampu dikawal dengan izin Allah dan tidak hanya berharap sumber luar untuk memberi motivasi dan semangat.
  • Dan banyak lagi kesan apabila seseorang itu tahu di mana dirinya dalam usaha untuk menuju kepada negeri abadi

Tips praktikal mengenal ’kewujudan’ diri

Ternyata surah al-Fatehah ada menyatakan tips ini yang perlu diulang-ulang bacaannya setiap hari agar ia terpahat dalam diri sehingga seseorang itu sedar kewujudan dirinya.

1)      Kenali dan puji Tuhan yang layak diberi segala pujian. Ia memerlukan tafakur yang mendalam sehingga setiap kali kita mengulang ayat Alhamdulillahi rabbil alamin, akan bergetar dalam jiwa kehebatan Allah. Getaran dalam jiwa memerlukan resonan dengan peringkat yang lebih rendah – fizikal, intelek dan emosi. Barulah resonan apabila mengingati nama Allah mampu dikecapi.

2)      Bukan setakat puji, ia perlu dilaksanakan dengan memberi dan memberi dan memberi kebaikan. Berilah kasih, sayang, senyum, nasihat dan banyak lagi. Ia akan menyebabkan ’resonan’ pada kewujudan makin jelas dan tiada tolok bandingnya.

3)      Buat sesuatu itu bukan sekadar dalam bentuk amalan pada sesuatu masa dan ditujukan pada fizikal tertentu sahaja, namun perlu dijuruskan kepada hari akhirat. Individu yang tidak sedar dirinya ke akhirat akan menjadikan hidup ini cepat kosong atau tidak bermaya.

4)      Kenallah bahawa diri perlu beribadah atau beramal dan dalam masa yang sama perlu menuntut pertolongan daripada Allah, bukan dari manusia yang ada had pertolongannya. Jika ada beramal dengan sesuatu perkara untuk menguatkan diri, pastikan amalan itu berunsurkan akidah yang mampu dilaksanakan ketika berseorangan atau berjemaah. Jika hal ini tidak diambil kira, ia akan menyebabkan seseorang itu akan cepat kosong dan lost dalam pencarian serta mengenalpasti ’kewujudan’.

5)      Minta petunjuk dari Tuhan dengan keyakinan. Manusia hanya sebagai pemandu – bukan sebagai tujuan untuk didekati apatah lagi menjadi sebagai ’hamba’.

6)      Cari contoh daripada orang beriman yang sudah terbukti keimanannya, bukan daripada individu yang tidak pasti dalam kehidupan – terutama di kalangan orang Yahudi dan Nasrani. Yahudi dan Nasrani adalah archatype individu yang ada ilmu tetapi dilanggar dan individu yang kurang jelas (kurang ilmu).

Semoga kita menjadi individu yang sedar jatidiri kita agar tidak mudah tersasar dan lemah dalam kehidupan.

Facebook Comments:

3 thoughts on “Al-Fatehah mengajar erti mengenal kewujudan diri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2009-10-25

in iowa airport...langkah diteruskan # now in iowa airport. waiting to board to chicago and nashville. #

Close