Quranku Berfungsi

“Aku perhatikan pelajar di sini bersih dan berakhlak.”

“Pasal mereka menghafaz Quran.”

“Tapi mengapa di tempat satu lagi, tetapi berbau dan akhlaknya tidak semanis tempat ini.”

“Pasal mereka menghafaz al-Quran.”

“Eh sama sahaja jawapannya…”

“Menghafaz Quran satu amalan yang baik. Kuantiti berapa juzuk dihafaz amat bagus. Cuma sejauh mana ia fokus kepada isi kandungannya dan berkualiti mencapai fungsi al-Quran itu sendiri. Tanpa mengetahui fungsi, seseorang akan menggunakan telefon untuk kisar gandum menjadi tepung.”

Fungsi al-Quran

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (٥٧

  1. Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman. (Surah Yunus 10:57)

Apakah fungsi al-Quran? Dalam ayat di atas tersenarai 4 fungsi al-Quran:

  1. Peringatan
  2. Penawar
  3. Petunjuk
  4. Rahmat

Peringatan diperlukan ketika seseorang itu mengalami kesilapan.

Penawar diperlukan ketika sakit.

Petunjuk diperlukan ketika menghadapi kekeliruan.

Rahmat diperlukan ketika mengalami kelemahan.

Seorang hamba akan sentiasa mengalami perkara-perkara ini – biar bijak, berpangkat, kaya atau sihat manapun dirinya. Hakikatnya semua itu tidak kekal dan ia milik Allah.

Bagaimana al-Quran berfungsi dalam diri

Untuk itu, apabila setiap ayat al-Quran dibacakan, ia adalah bertujuan untuk mencapai fungsinya yang sebenar seperti dalam ayat Surah Yunus ayat 57. Memakai telefon pintar hanya untuk SMS tidak memanfaatkan gajet tersebut dengan sebenar-benarnya. Jika dalam ayat ini ada 4 fungsi al-Quran, ia perlu dioptimumkan bagi setiap orang yang berinteraksi dengan Quran.

Al-Quran akan berfungsi dengan baik apabila proses Surah Saad ayat 29 diambil perhatian:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الألْبَابِ (٢٩)

  1. (Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Surah Saad ayat 29)

Dua proses tersebut ialah Tadabbur dan Tazakkur.

Tanpa 2 proses tersebut, Quran tidak memberi fungsi yang sebenarnya.

Ia hanya 2 langkah – amat mudah kerana Allah sudah mudahkan.

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (١٧)

  1. dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah al-Qamar ayat 17)

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Duduk makan lebih sejam…

"Jom mengeteh." "Lama ke sekejap?" "Jom je lah. Banyak isu dan topik hangat." Pasti setiap orang ada pengalaman berada di

Close