Perlukah Mewah untuk Bersinergi?


“Ahmad, boleh share dengan Sarah?”
“Tak nak, nanti Sarah ambil banyak.”
“Kalau Sarah bagi biskut lain?”
“Ahmad nak 🙂 “

Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang kita inginkan daripada orang lain. Ini ialah standad bagi jiwa manusia yang suka dan seronok menerima hadiah, ilmu dan pujian serta kasih sayang. Namun apabila sampai kepada masa untuk memberi, ia dirasakan janggal dan sukar kecuali individu yang nampak kesan dan manfaatnya.

Jika diperhati kepada Surah al-Baqarah, ciri orang yang bertaqwa dipenuhi dengan penekanan kepada worldview atau sisi pandang kepada pelbagai perkara: perkara ghaib, kitab dan akhirat. Dua perkara praktikal yang boleh dilaksanakan bagi membuktikan seseorang sedar akan Allah ialah: solat dan memberi (infaaq). Memberi adalah manifestasi spiritual dalam kehidupan harian jika ditemani sisi pandang yang benar. Ini ialah aktiviti ibadah yang ditekankan dalam awal Surah al-Baqarah. Adakah ia dilaksanakan bersendirian atau secara kolektif?



Ibadah Secara Kerjasama

Jika direnung dan diperhati kepada konsep ibadah dalam Surah al-Fatihah, Allah menggunakan istilah “na’budu” yang bermaksud “kami beribadah”. Penggunaan kata jamak ini memberi kesan yang sungguh besar dalam usaha kita mendekatkan diri kepada Allah. Usaha untuk ke arah-Nya bukan kerja berseorangan. Ia adalah usaha yang bersifat kolektif atau sinergi.

Kembali kepada usaha untuk bekerjasama ini, ramai yang tidak selesa untuk bekerjasama kerana ia akan melibatkan perkongsian dan pemberian. Perkongsian dipandang menjadikan apa yang sedia ada makin‘sedikit atau kurang.’ Benarkah begitu ?

Penjelasan kepada mereka yang berkongsi dan memberi

Jika kita perhatikan kepada sebuah kereta, kita dapati ada bahagian yang dinamakan steering, tayar, cermin dan pelbagai komponen lain. Adakah setiap komponen mempunyai fungsi yang sama? Tidak, kalau dilihat pada komponen yang berbeza. Namun secara umum, semua komponen ini bekerjasama dan bersinergi untuk membina sebuah kereta. Semua komponen jika digabungkan dengan bagus akan menghasilkan satu tujuan yang hebat. Berfungsi sebagai sebuah kereta.

Apakah yang hebat pada sebuah tayar? Tiada apa kecuali getah asli atau sintetik yang diadun menjadi bentuk bulat. Namun jika ia bergabung dengan steering dan pelbagai komponen lain, ia akan mewujudkan kesan dan impak yang besar. Seorang insan dapat dipindahkan dari Singapura ke sempadan Thailand dengan mengambil manfaat daripada beberapa biji tayar yang tiada apa jika ia bersendirian. Inilah manfaat sinergi. Sinergi memerlukan perkongsian dan pemberian. Menuju satu hala tuju yang lebih besar untuk dilaksanakan. Inilah manfaat berkongsi dan memberi dalam bentuk sinergi.

Mewah dahulu dan baru boleh sinergi?

Dalam dunia kehidupan seharian terutama dalam hidup berkeluarga atau lapangan karier, ada yang sanggup berkongsi dan memberi hanya apabila ‘saya ada satu juta dan saya akan berikan kepada rumah anak yatim.’ Ada pula yang berpendapat, ‘bila saya sudah mencapai umur 50 tahun, saya akan dermakan sebahagian wang gaji saya untuk dibuat amal jariah.’

Benarkah perspektif begini ? Sesuaikah kalau kita tidak mahu dan segan bersinergi sekarang, dan kita hanya akan berkongsi dan memberi selepas kejayaan dan pulangan dapat dilihat dekat dan depan mata ? Kepentingan percaya pada sesuatu yang kemudian lebih baik daripada apa yang ada sekarang amat penting perhatian.
Allah berfirman dalam al-Quran:

93:4 Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya

Individu yang mampu bekerjasama adalah individu yang mampu melihat hasil pulangan selepas satu tempoh masa. Jika dianalisis individu hebat dan berjaya sepanjang sejarah daripada awal kejadian manusia hingga kini, kita akan dapati bahawa ada satu ciri yang dikongsi oleh mereka – samada Michael Faraday atau Nabi Muhammad: mereka sanggup bersabar menunggu kemudian untuk melamar kejayaan.

Kejayaan tertangguh – keperluan untuk sinergi

Dalam kajian Marshmallow yang dilaksanakan oleh Walter Mischel di Stanford University pada 1972, kanak-kanak yang dapat bertahan daripada makan marshmallow di hadapannya – lebih berjaya dalam kehidupan mereka dalam akademik, karier dan kehidupan. Kajian ini menunjukkan penghargaan tertangguh (delayed gratification) amat penting untuk berjaya dalam kehidupan. Ia mewakili kemampuan untuk mengawal nafsu dan keinginan yang inginkan sesuatu segera.

Dalam hal ini, perhargaan tertangguh ini boleh berbentuk fizikal (seperti mendapat makanan atau duit), intelek (mendapat ilmu yang segera) ,emosi (mendapat kawan atau pujian segera) atau spiritual (untuk mencapai hala tuju yang berjangka masa pendek sahaja). Jika apa yang diperoleh kini lebih sedikit, perlukan mewah dahulu dan kemudian barulah idea sinergi ini mampu dilaksanakan?

Rezeki luas, anugerah Yang Maha Pemberi Rezeki

Kalau perlu ditunggu mewah wang ringgit untuk berkongsi dan menderma, maka hidup ini pasti tidak cukup. Jika diberi satu gunung emas, yang kedua akan dicarinya.

Kalau perlu ditunggu sampai mewah intelek dengan PhD bergulung-gulung, kemudian barulah ilmu akan dikongsi dan didermakan, ia pasti akan makin tidak cukup kerana ilmu ini tiada tepiannya.

Kalau perlu ditunggu sampai mewah emosi dan hubungan sosial dengan menjadi pemimpin besar untuk membuat perubahan dengan berkongsi semangat, tahap ego akan makin meningkat dari semasa ke semasa. Ini menyebabkan amat sukar untuk berkongsi setelah makin tinggi jawatannya.

Kalau perlu ditunggu sampai ikhlas dan mengikut syariah 100% baru akan berkongsi dan mengajak orang lain untuk ke arah kebaikan, ini tidak mungkin terjadi kecuali apabila sudah dipanggil Allah.

Menunggu diri sampai mewah pada aspek di atas adalah perkara yang perlu diuruskan dengan baik kerana sumber rezeki datang dari Allah Yang Maha Luas dan Maha Pemberi Rezeki. Sumber itu ada di mana-mana sahaja, tetapi ia tidak akan diberikan begitu sahaja tetapi kecuali ada sebab ia diturunkan atau disampaikan. Kekadang rezeki itu tersekat kerana dosa kita, namun ia dimudahkan sampai pada kita kerana adanya kawan kita yang soleh dan berdoa kepada Allah selalu.

Kalau kita tidak mewah di sini, perhatikan kemewahan lain yang ada di sana

Lantas itulah, jika kita merasakan bakhil sudah mula ingin menyusup dalam diri untuk berkongsi dan berderma dengan apa yang kita ada, tangani masalah ini dengan melihat apakah kemewahan sedia ada untuk dikongsi dan diberi. Kalau kita tidak mewah duit, pastikan ada kemewahan pada akhlak dan pemikiran kita. Kalau ketika kita tidak mewah duit, ada peluang lagi untuk mewah pada aspek intelek, emosi atau spiritual. Dengan perkongsian dan pemberian itu , ia akan mencambah dan bertambah.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (2:261)

Apa kaitan kalau ketika kita tidak mewah duit, kita juga tidak mampu membina kemewahan dalam intelek, emosi atau spiritual ? Maksudnya semua potensi yang ada sudah mati. Potensi yang sudah mati ini layaknya dikuburkan bersama kelesuan pada diri empunya badan.

Sebagai pasangan atau penjaga, si ibu atau ayah boleh bersinergi dengan semua ahli keluarga untuk membina satu kerja dan tugas yang lebih besar membawa setiap potensi dalam keluarga kepada satu aras lebih tinggi dan baik. Sebagai rakan atau pengurus, sinergi boleh dilaksanakan apabila ada kesanggupan untuk menerima perbezaan, cuba untuk menghubungkan apa yang boleh dihubungkan, iktiraf perbezaan, rangkaikan dengan minda untuk berkhidmat, sentiasa bertanya manakah aspek yang boleh dioptimumkan dan sering memberi pilihan kepada mana-mana komponen dalam kumpulan yang ada.

Jika ditunggu semua sempurna atau mewah, dunia ini akan penuh dengan orang yang menunggu untuk perubahan dan kerjasama. Ia akan melesukan dunia yang sudah bersifat sinergi mengikut peraturan Yang Esa.

Artikel ini ialah sebahagian pengisian dan konsep dalam program Kem Sinergi Remaja Gen-I yang akan diadakan awal Jun 2011. Untuk info lanjut, layari www.akademisinergi.com

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Artikel almuntalaq.com di Majalah Zuriat

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan artikel almuntalaq.com yang diterbitkan di Majalah Zuriat terbitan satu syarikat di Singapura, boleh download

Close