Koleksi ST-GalleryPOTENSI

Tahap Kecerdasan Fizikal (Physical Quotient)

Bagaimana pula dengan tahap kecerdasan fizikal kita? Anda mempunyai kekuatan fizikal? Anda mampu berlari, mendaki, memanjat, berenang dan sebagainya, dengan menggunakan kekuatan fizikal anda? Sudah pasti anda mempunyai potensi itu. Mari kita lihat apakah potensi diri manusia ini secara fizikal.

Pada saat bayi dilahirkan di dunia ini, apakah yang biasa dilakukan oleh bayi. Atau cuba anda bayangkan ketika anda sedang baru sahaja dilahirkan di dunia. Apakah perkara yang sering dilakukan oleh anda pada waktu tersebut? Anda tidak mampu melakukan apa-apa selain hanya menangis! Betulkah? Kemudian anda bayangkan pula, apabila anda sudah berumur satu bulan, ada mula menggerakkan fizikal anda, tangan, kaki dan segalanya. Anda juga mula memukul-mukul ibu anda dengan lembut. Ibu dan ayah terhibur dengan gerak geri anda. Kemudian, umur ada mula meningkat dan kini anda mula merangkak. Anda bersusah payah untuk merangkak. 

Tidak lama kemudian, anda mula ingin berdiri dan anda mula membiasakan diri anda untuk berdiri dengan bantuan objek yang terdekat atau mungkin ayah anda membelikan kerusi roda agar anda dapat berdiri dengan menggunakan kerusi roda tersebut. Tidak lama kemudian lagi, anda sudah pandai berjalan! Tahniah! Itu membuktikan anda telah menggunakan keupayaan fizikal anda dari keadaaan yang lemah kepada suatu keadaan yang kuat! Anda juga mampu berlari malah menjadi juara pecut 100 meter di sekolah malah di peringkat kebangsaan! 

Jika kita lihat situasi di atas, bukankah potensi fizikal ini asalnya dari lemah kepada keadaan yang kuat? 

Kapasiti di dalam fizikal manusia juga turut berkembang dan mampu membawa manusia ke suatu tahap yang lebih dinamik. Mari kita lihat aspek fizikal seorang tentera. Mereka dikerah serta dilatih sehinggakan mampu menghasilkan suatu keadaan dan rupa badan yang sasa. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Inilah yang dinamakan dinamik. Keupayaan fizikal mampu berubah dari satu keadaan yang lemah kepada suatu keadaan yang kuat! Itulah fizikal anda. 

Bagaimana pula keupayaan fizikal seorang pemain bola? Ronaldo? Becham dan sebagainya? Hebat bukan fizikalnya? Badan mereka mampu memberikan satu bentuk ‘lenggang-lenggok’ yang dinamik dan akhirnya mereka dapat menampung bola dengan kehebatan dan fleksibeliti fizikal mereka. 

 

Kisah Si Pendayung Sampan

Secara peribadi, saya amat meminati cerita si pendayung sampan ini kerana ia mempunyai pengajaran yang cukup hebat. Saya perolehi cerita ini dari seorang kawan dan kisah ini bermula dari sebuah kampung. 

Pada suatu hari, ada seorang profesor dari suatu universiti hendak membuat kajian di tengah laut. Oleh kerana tidak mempunyai masa dan kewangan yag banyak, beliau terpaksa menyewa kapal-kapal kecil untuk beberapa jam di laut. Tujuan beliau untuk ke laut adalah hanya untuk membuat pengukuran air laut. Beliau berhajat untuk menyewa bot-bot kecil yang ada di pesisir pantai dan akhirnya beliau tidak berkesempatan untuk menyewa bot kecil kerana kawasan yang di pilihnya itu merupakan kawasan nelayan. 

Oleh kerana para nelayan ini tidak memiliki bot yang baik, professor itu terpaksa menyewa sebuah sampan yang dimiliki oleh Pak Abu. Maka, pak Abu pun terimalah tawaran untuk menyewa sampannya dari profesor itu. Pak Abu membantu profesor tersebut mengangkut beberapa peralatan penting yang dibawa oleh profesor ke atas sampannya. Memang bersungguh –sungguh Pak Abu membantu profesor itu.

 Maka, mereka pun bergerak ke tengah laut. Pak Abu terpaksa menggunakan pendayung untuk menggerakan sampannya dan setelah hampir 30 minit mendayung, maka Pak Abu pun berhenti seketika. Setelah berehat selama 10 minit, maka Pak Abu pun meneruskan lagi mendayung sampan tersebut. Kemudian, setelah 20 minit mendayung, maka Pak Abu pun berhenti mendayung kerana mereka sudah sampai di tempat yang profesor itu ingin pergi.  

Profesor itu pun mulakan kerjanya dengan menggunakan alat yang dibawanya tadi. Kelihatan seperti sibuk dan tidak sempat berkata sepatah pun dengan pak Abu. Profesor itu menurunkan alat pengukurannya ke dalam air, kemudian ditariknya ke atas semula. Kemudian, kaedah yang sama dilakukan beberapa kali. Pak Abu kelihatan begitu hairan dengan kelakuan prosfesor tersebut.

 Setelah satu jam profesor itu melakukan kerjanya, profesor itupu kelihatan penat. Maka, profesor itupun berehat sebentar. Sambil profesor itu berehat di hujung sampan, profesor itu pun berkata kepada Pak Abu sambil minum air yang dibawanya, ’Pernahkah kamu menggunakan alat seperti ini?’, tanya profesor itu dengan bangga. Jawab pak Abu, ’Aku tidak pernah menggunakan alat ini dan aku tidak tahu apakah fungsi alat ini’

Profesor itu pun menjawab, ’Kasihan, engkau telah mensia-siakan 20 peratus keupayaan hidup engkau!’ . Pak Abu tersentak dengan jawapan profesor tersebut dan  pak Abu terus membisu. Kemudian, profesor itupun bertanya lagi,

 ’Tahukah bagaimana untuk mengukur kemasinan air laut ini?

 Jawab Pak Abu, ’Tidak tahu’ dan jawab profesor tersebut

 ’Amat malang engkau ini. Engkau telah mensia-siakan 30 peratus kepandaian engkau!’

 Pak Abu terus membisu dan kemudian mengalihkan pandangannya ke arah yang lain. Pak Abu terasa dirinya kurang pandai seperti profesor tersebut. Pak Abu merasakan IQ-nya rendah berbanding profesor tadi. Maka, setelah puas profesor itu tadi merendah-rendahkan pak Abu, maka profesor itu tadi meneruskan semula kerjanya dan pak Abu terus membisu.

 Setelah hampir empat jam berada di atas sampan, tiba-tiba cuaca berubah. Awan semakin gelap dan tiupan angin semakin kencang. Pak Abu dan profesor berasa panik dan mula mempersiapkan diri mereka untuk pulang ke darat. Pak Abu pun mengambil pendayungnya dan mengayuh akan pendayungnya. Manakala profesor itu pula sibuk mengemas peralatan-peralatannya. Sambil sibuk pak Abu mendayung sampan, dan profesor itu pula sibuk mengemas peralatan-peralatannya, tiba-tiba ombak laut semakin besar. Cuaca pada hari tersebut tiba-tiba bertukar dan tidak dapat diramalkannya.

Tiba-tiba, datang satu ombak yang kuat dan besar menghempas sampan mereka dan akhirnya sampan itu terbalik. Pak Abu dan profesor telah jatuh ke dalam laut. Maka, profesor dan pak Abu terpisah dengan jarak yang agak jauh. Pak Abu menggunakan kemahirannnya dengan berenang ke arah profesor kerana Pak Abu melihat profesor itu tadi dalam keadaan cemas dan terkapai-kapai. Apabila Pak Abu sampai berenang ke profesor dan bertanya,

 ’Tahukah kamu berenang? ’ tanya Pak Abu kepada profesor

 ’Tidak, Aku tidak pandai berenang. Tolonglah aku!’ jawab profesor itu dan Pak Abu pun menjawab,

 ‘Amat malanglah kamu ini, kerana kamu akan mensia-siakan 100 peratus hidup engkau!’

 Lalu pak Abu meninggalkan profesor itu dan kemudian berenang ke arah darat.

 

 

 Apakah kesimpulan dari cerita ini? Sudah pasti kita dapat melihat bahawa di dalam situasi itu tadi, kecerdasan IQ sudah tidak menjadi satu perkara yang penting lagi untuk menyelamatkan diri tetapi kecerdasan fizikal (PQ) menjadi penyelamat. Profesor itu tadi mempunyai kekuatan dari segi IQ tetapi lemah dari sudut PQ, manakala Pak Abu pula mempunyai kelemahan di dalam IQ-nya tetapi hebat dari segi PQ-nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Tahap Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient)

EQ  merupakan satu potensi di dalam diri manusia yang berhubung kait dengan emosi. Manusia mempunyai perasaan atau emosi bukan? Maka

Close