Saat akhir itu pasti
“Saya terkilan. Hari pertama beliau sakit, saya sibuk tidak sempat ziarah. Hari kedua, hari ketiga juga saya sibuk urusan pejabat. Rupanya dia dipanggil dahulu oleh Tuhan minggu lepas,” sambil deraian manik panas di mata.
“Saya terkilan, tuan,” diulangnya lagi.
Saya dengar. Membiarkan beliau bersama perasaan. Untuk menenangkannya.
Banyak peristiwa begini berlaku. Waktu ada, tidak diendahkan. Bila sudah tiada, sesal menjelma.
“Tuan, apa sebab saya menangis tadi ya ?”
Saya mencari jawapan. Saya yakin itu saat spiritual melambung tinggi dari-Nya.
Perkataan spiritual
Saat akhir adalah perkataan dan detik spiritual. Waktu itu, akan terbangunlah ruh dari lena yang panjang. Selama ini sibuk, penuh aktiviti harian dengan pelbagai perkara. Jika penuh itu diisi dengan ‘memberi’, sesal itu berkurang. Namun makin banyak ‘dapat’ dan ‘pungut’, sesal itu akan makin menggunung.
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “. (63:10)
Saat itu sudah terlambat.
Saat ini perlu bersedia
Nabi bersabda:
“Banyakkanlah mengingati sesuatu yang menghacuri kelazatan dunia”
Apabila ingat saat akhir itu, kita akan bersedia sekarang untuk terus memberi dan memberi.
Formula ‘memberi’ ini akan membawa kesan baik pelbagai lapis. Masalah individu, rumahtangga atau organisasi akan banyak selesainya dengan ‘memberi’ bantuan, senyum, bantuan dan pelbagai jenis pemberian.
Saat itu pasti. Pengalaman spiritual itu perlu dibina bukan sekadar di saat hujung itu sahaja.