Belajar bercerita…
Saya memerhatikan orang yang suka berfikir ini banyak baik dan buruknya. Saya juga memerhatikan orang yang kurang suka berfikir ada baik dan buruknya. Namun pastinya, orang yang berfikir itu lebih baik. Cuma sejauh mana seseorang itu dikategorikan berfikir dan tidak berfikir? Adakah kalau sudah menulis teori tertentu tentang pemikiran, barulah dianggap berfikir? Tentu tidak. Cuma yang pasti, orang yang ‘berfikir’ biasanya akan dikaitkan dengan teori atau penulisan atau gaya percakapan yang berbeza. Dalam al-Quran, kebanyakan perkataan berfikir dinyatakan sebagai ‘verb’ – kata kerja, bukannya ‘noun’ – kata nama. Jadi apabila seseorang itu berfikir, dia sudah berfikir. Bukannya menanti ada buku, teori atau gaya tersendiri – membentuk ‘noun tersendiri – barulah dikatakan berfikir. Ini yang banyak disilap pandangkan oleh ramai orang.
Atas dasar itu,
jika sudah menulis buku – tidak semestinya orang itu mahir dan terus berfikir
jika sudah membina teori, tidak semestinya orang itu masih berfikir
jika sudah kita perhatikan gaya percakapan yang tertentu dan formal – tidak semestinya kini dia masih berfikir
jika seseorang sudah ada degree atau PhD, tidak semestinya dia masih kuat berfikir
lantaran mungkin suatu masa dahulu dia berfikir sehingga menghasilkan karya tertentu , tetapi setelah satu sela masa tertentu, dia sudah tidak berminat berfikir atau dia merasakan kaedah berfikirnya betul sehingga tidak perlu belajar daripada individu lain. Dalam al-Quran, kalimah berfikir sering digunakan dalam bentuk present tense– jadi ia sentiasa berlaku dan sepatutnya ‘sedang berlaku’ pada setiap insan.
Bagaimana menterjemahkan idea berfikir?
Kekadang ada individu yang suka mencatat dalam jurnal personal
Kekadang ada individu yang suka mencatat dalam blog
Kekadang ada individu yang menulisa artikel dan dihantar ke surat khabar
Ada yang menghantarnya kepada pensyarah untuk dijadikan assignment
Ada yang menulis buku
Ada yang menyampaikan pada orang ramai
Ada yang menterjemahkannya dalam bentuk amal personal
Ada yang menterjemahkannya dalam bentuk tindakan sosial
Yang pasti ia perlu dipindahkan kepada tahap yang lebih baik. Penyampaian ini sewajarnya dalam pelbagai bentuk. Dan kepelbagaian ini akan membina pola yang menarik dalam kehidupan.
Ada penulisan teori, ada penulisan makalah atau cereka
Jika kita perhatikan dalam penulisan ramai, ada individu yang suka menulis dengan kaedah penyampaian teori. Dalam bentuk penyataan. Seperti makalah yang anda baca dan tatap sekarang ini. Ia berbentuk teori atau penyataan. Agak formal. Sehingga pencinta cerita atau novel, tidak gemar dengan penulisan sebegini.
Ada juga penulisan yang berbentuk cereka atau cerita. Kekadang penulisan ini agak panjang. Bagi sesetengah orang yang sukakan bacaan formal atau teori, cereka atau cerita tidak sesuai untuk mereka lagi. Cerita atau cereka ini dianggap berkualiti rendah berbanding makalah atau jurnal yang mereka baca. Anggapan ini sama sekali silap.
Hakikatnya dalam al-Quran, kedua-dua bentuk ayat ini memang diguna pakai kaedah atau gayanya. Mari kita perhatikan dalam Surah al-Baqarah:
“
2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.
4. dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yYang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
“
Dalam ayat di atas, ayat yang disampaikan adalah dalam bentuk penyataan. Manakala dalam ayat berikut pada Surah Yusuf:
“
4. (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya Aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.
5. bapanya berkata:” Wahai anakku! janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana Aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
6. Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
”
ia mencatatkan kisah Nabi Yusuf – bukan dalam bentuk penceritaan penyataan – atau diistilahkan sebagai oleh sumber ketiga tetapi terus kepada watak-watak utama. Ia semacam ‘filem’ dalam al-Quran.
Apa beza gaya penyataan dan bercerita?
Kedua-dua gaya adalah relevan. Cuma ia mungkin akan menarik perhatian golongan berbeza. Ini sudah dikenalpasti. Secara umum, anak-anak sukakan cerita manakala dewasa sukakan artikel formal. Bukanlah bermaksud si dewasa tidak suka cerita, tetapi kehidupan alam dewasa memerlukan pemahaman pada artikel atau teks berbentuk penyataan atau teori.
Penulisan yang berbentuk penyataan atau penerangan sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri. Ia boleh menyampaikan sesuatu perkara dalam bentuk ringkas dan tidak perlu berada pada alam ‘realiti ‘ lagi kerana ia adalah penerangan .
Manakala bagi cerita, ia menarik perhatian kerana ia melibatkan satu senario yang praktikal – serta boleh diambil ibrah atau pengajaran daripadanya.
Belajar bercerita
Lantaran itu, ramai yang boleh menyatakan penyataan tetapi tidak ramai yang mampu menyampaikan cerita dengan baik. Individu yang boleh bercerita dengan mengambil pelajaran daripada cerita itulah yang menepati konsep ilmu misal – satu kaedah penyampaian dalam al-Quran.
Atas dasar itu, carilah dan belajarlah untuk bercerita kerana pada cerita itu ada pengajaran praktikal. Cuma yang pasti, ada individu yang memang mempunyai kelebihan bercerita seperti wayang kulit dan ada yang mampu bercerita seperti filem Jacky Chan. Anda tahu perbezaannya….