Pendakwah Air Kacang Soya 24
Setelah puas mandi, mereka berlima bersembang, menceritakan perkembangan diri masing-masing. Din dan Nas memberitahu bahawa kini mereka sedang berniaga air kacang soya dan burger. Mereka berkongsi sedikit sebanyak pengalaman mereka.
Terasa ingin membantu, salah seorang dari junior mereka, Lokman mencadangkan supaya Din dan Nas membuka gerai pada Hari Kantin yang akan diadakan di sekolah merka pada minggu akan datang.
Din dan Nas menunjukkan minat terhadap cadangan Lokman. Tambahan pula, pada tahun lepas, ketika mereka masih lagi pelajar, mereka pernah ada pengalaman membuka gerai di sekolah dan berjaya mendapat keuntungan yang besar.
Bersetuju dengan cadangan Lokman, keesokan paginya Din dan Nas terus pergi ke sekolah untuk berjumpa dengan kaunselor sekolah, Puan Dahlia untuk menyatakan hasrat mereka. Mendengar penerangan dari Din dan Nas, Puan Dahlia merasakan merasakan perlu menyokong usaha anak muda ini.
”Bagus, saya berasa cukup bangga dengan usaha kamu berdua ini. Tambahan pula kamu adalah bekas pelajar sekolah ini. Kejayaan kamu dalam bidang ini akan menaikkan nama sekolah ini. Baiklah, saya akan tempahkan satu lot gerai untuk kamu berdua dengan sewa separuh harga sahaja memandangkan kamu adalah bekas pelajar sekolah ini. Insya Allah, jika ada lagi peluang-peluang perniagaan untuk kamu, saya akan hubungi kamu” Kata Puan Dahlia
Din dan Nas berasa cukup gembira dengan sokongan dari Puan Dahlia. Mereka menyatakan ucapan terima kasih dan berjanji akan sentiasa menjaga nama baik sekolah. Setelah mengisi beberapa borang dan menyerahkan duit deposit, mereka pun pulang ke rumah dan bersiap untuk berniaga seperti biasa.
Namun begitu, kini mereka lebih bersemangat. Peluang sebegini sememangnya dinantikan oleh mereka. Mereka berasa begitu bermotivasi untuk memajukan lagi perniagaan mereka.
