Mengapa perlu buat dan ajar selepas tahu sesuatu?
Apabila anda habis mengikuti suatu program, anda perlu laksanakan apa yang dirancang. Jika anda tidak mampu laksanakan lagi, ajarkanlah kepada orang lain. Mengapa ia penting? Tidak lain tidak bukan, kita adalah seperti transfer function. Setiap input mesti ada outputnya. Kalau tidak, ia akan menyebabkan diri kita akan musnah oleh tenaga yang perlu ditukarganti setiap masa. Anda makan, anda keluarkan dalam bentuk tenaga atau tinja. Kalau tidak dikeluarkan? Anda akan sakit.
Begitulah realiti kehidupan. Setiap input perlu ada outputnya. Anda perlu cari banyak input untuk memastikan anda tidak tertinggal dengan dunia yang memerlukan input yang banyak. Anda perlu cari duit yang banyak, tetapi ia bukan sekadar disimpan. Kalau simpan sahaja, anda akan sakit jiwa. Begitu juga dalam dunia ekonomi, negara akan menjadi lesu kalau setiap rakyat tidak berbelanja.
Jadi laksanakan apa yang diketahui dan ajarkan pada orang lain. Mengajar orang lain juga mempunyai cabaran tersendiri kerana ia sudah tidak lagi hanya berlegar di dalam kepala. Menulis juga salah satu kaedah mengajar. Atas dasar itu, kalau anda menulis dan tidak ramai yang memahaminya, maksudnya pengajaran anda itu perlu dibaiki lagi.
Apa pun, ingatlah kaedah atau prinsip Bismillah. Berilah, dermalah, bagilah. Kerana ia akan mencontohi sifat Yang Maha Memeberi Rezeki, Yang Memberi Kasih Sayang. Nanti apabila anda memberi, pasti anda akan menerima semula habuan anda samada di dunia mahupun di akhirat.