Tadabur

Duduk makan lebih sejam…

“Jom mengeteh.”

“Lama ke sekejap?”

“Jom je lah. Banyak isu dan topik hangat.”

Pasti setiap orang ada pengalaman berada di kedai makan atau meja makan. Pasti juga ada pengalaman duduk di restoran lebih 30 minit atau 1 jam.

Apakah sebab untuk duduk selama itu?

Dalam program, saya sering bertanya perkara ini. Jawapannya pelbagai.

  • Makanan sedap
  • Makanan lambat sampai
  • Banyak menu di restoran, jadi boleh pilih pelbagai makanan
  • Tengok bola
  • Borak bisnes
  • Main internet
  • Ada wifi untuk dimanfaatkan
  • Isu hangat
  • Gosip
  • Jumpa kawan lama
  • Kongsi masalah
  • dan pelbagai sebab lain untuk duduk lama di restoran

Itulah asas ‘syok’ di restoran atau kalau di meja makan ketika berada di rumah.

Ayat ‘syok’ dalam al-Quran

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq (derhaka). (57:16)

Ayat di atas dalam Surah al-Hadeed menceritakan tentang rayuan dan peringatan Allah kepada orang yang beriman. Sering wujud orang beriman yang hatinya keras atau tidak khusyuk kepada mengingati Allah atau kebenaran yang datang dari al-Quran. Ia wujud kerana ada banyak perkara dosa yang dikekalkan. Inilah intiasari daripada ayat ini.

Jika seseorang itu khusyuk dan ‘syok’ dengan mengingati Allah dan al-Quran, pasti seseorang mampu untuk zikir atau baca Quran lebih 30 minit atau sejam. Apakah formula untuk jadi demikian?

Makanan sedap

Apa yang sedap dalam al-Quran? Ia adalah makanan kepada spiritual. Iman perlukan hubungan kasih sayang dengan Allah, sepertimana manusia juga memerlukan hubungan kasih sayang dengan sesama manusia. al-Quran ialah ‘makanan jiwa’ yang amat sedap kepada mereka yang ‘lapar’ kasih sayang Allah. Allah Yang Maha Pemurah yang akan mengajarkan al-Quran itu sendiri.

(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1)Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) (55:1-2)

Adakah anda ingin makanan sedap setiap hari untuk iman? Baca Quran.

Makanan lambat sampai

Kalau makanan lambat sampai, anda pasti terseksa di restoran. Jika makanan iman tidak sampai, pasti iman akan meronta-ronta untuk mendapatkan makanan untuk jiwa ini. Sanggup menunggu agar ‘santapan iman’ ini akan tiba dan akan dinikmati dengan baik untuk kesihatan diri.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Banyak menu di restoran, jadi boleh pilih pelbagai makanan

Kata Ibn Mas’ud, “Quran itu ialah Ma’dubatullah (jamuan buffet dari Allah). Maka nikmatilah mana yang kamu sukai”

Ada 114 menu dalam al-Quran. Ada menu semut, labah-labah, gajah, lembu betina dan banyak lagi. Ia amat menggiurkan kepada iman. Jika satu menu anda boleh nikmati 10 minit, bayangkan berapa panjang boleh dinikmati dengan 114 menu yang tersedia.

Malah lebih dari itu, menu 114 surah dalam al-Quran mempunyai mukjizat yang besar – sehinggakan apabila dibaca hari ini, ia akan membawa pelajaran lain berbanding semalam dan akan datang.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Tengok bola

Apa yang seronok ketika menonton permainan bola? Aksi pemain dan rembatan gol. Aksi yang lincah itu akan menyebabkan kita seronok di restoran skrin besar.

Dalam al-Quran, aksi lincah orang-orang terdahulu dan bagaimana mereka ‘berjaya’ adalah perkara yang mampu diperhati. Ia amat membungkam dan menyeronokkan, dan ada kalanya ia mencemaskan.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Borak bisnes

Ketika berborak bisnes, ada ganjaran yang diinginkan. Dapat projek, dapat melaksanakan idea baru dan pelbagai sudut bisnes yang boleh menguntungkan.

Berinteraksi dengan al-Quran akan menatijahkan transaksi atau urusan dengan Allah yang tidak akan pernah rugi. Duduk meja kopi borak bisnes tidak semestinya untung. Banyak sahaja idea yang tidak dapat dilaksanakan.

Apabila membaca satu huruf sahaja daripada al-Quran, ia menghasilkan 10 ganjaran. Belum buat lagi.

Inilah pelaburan yang tidak akan rugi.

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; (35:29)

Menarik bukan dengan ‘borak bisnes yang tidak rugi’?

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Layari internet/ ada wifi

Ketika duduk-duduk di restoran, telefon dikeluarkan.

“Mamak, password?”

Inilah kebiasaan di kedai mamak atau restoran bagi yang tidak punya talian internet. Whatsapp atau Facebook atau email menjadi ‘sop’ apabila menyemak telefon. Tidak lagi SMS atau panggilan – yang hadir sesekali sekala.

Dengan internet, banyak perkara terhubung. Dengan membaca al-Quran, banyak perkara terhubung bukan sahaja pada perkara yang dekat, tetapi dengan perkara yang jauh samada ke belakang atau ke depan. Ke belakang merujuk kepada berita atau kisah sirah yang banyak manfaat. Ke depan ialah masa depan dan akhirat yang perlu diambil perhatian.

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. (18:54)

Allah mempelbagaikan cara huraian dan kaitan bagi mesej dalam al-Quran untuk diambil sebagai pelajaran.  Apabila kita mengikutinya secara mendalam, ia akan menyebabkan jiwa tertaut kepada pelbagai perkara dalam al-Quran. Jika ia tidak difahami dengan tadabbur tazakkur, ia menyebabkan cara pandang kita pada ayat aatau surah dalam al-Quran seperti terpisah-pisah.

Cuba bayangkan tiada wifi ketika di restoran atau meja makan? Tentu resah gelisah kerana otak manusia memang mampu untuk mengaitkan dengan pelbagai perkara untuk berfikir. Apabila tidak ada topik borak dan smartphone ada di tangan, wifi menjadi perhatian. Smartphone pada minda manusia akan mencari wifi – bagaimana untuk menghubungkan sel-sel otak untuk menjadikan ia ceria dan gembira.

al-Quran akan menghubungkan pelbagai info dahulu, sekarang dan akan datang.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

 

Isu hangat

“Bagaimana ekonomi sekarang?”

“Agak merundum. Kita kena cari jalan penyelesaian”

Isu hangat di akhbar atau FB akan menjadi topik penting di kedai kopi lebih sejam. Borak demi borak adalah untuk berkongsi info dan mencari jalan penyelesaian – dengan maklumat yang anda.

Dari satu surah kepada satu surah yang ada dalam al-Quran, sudah dibekalkan dengan panduan untuk menguruskan isu hangat yang sedang diperkatakan.

Jika isu itu ialah tentang kepimpinan, Surah al-Baqarah ada menyenaraikan. Jika isu ekonomi berkaitan penipuan, ada dinyatakan dalam Surah al-Mutaffifin. Kisah dan corak masalah di dunia ini sudah di’model’kan oleh pelbagai misal dan kisah dalam al-Quran untuk menjadikan kita lebih berinteraksi dengan al-Quran.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Gosip 

“Kau tahu apa yang dia buat? Tak faham aku…”

Gosip di kedai makan berlaku dari semasa ke semasa. Ada gosip yang benar, ada gosip yang tidak benar. Gosip adalah sesuatu yang ‘tidak nampak’ – namun ia menarik.

Apa yan menarik pasal gosip? Masing-masing ingin tahu berita sensasi dan ingin turut serta dalam hal itu. Samada ia untuk kebaikan atau keburukan, gosip berlaku di mana-mana.

Dalam al-Quran, bukan sekadar gosip tetapi Allah membawakan pelbagai kata-kata hati dalaman manusia yang berbuat baik – dengan doa, dan yang berbuat jahat – mengikut kata syaitan – untuk membuat kerosakan atau keburukan.

Semua kata-kata yang ‘tidak nampak’ ini ada dalam al-Quran. Kata-kata ini adalah kata-kata yang benar, tidak seperti mana gosip kedai makan. Yang membaca dan memahaminya akan dapat mengetahui ‘gosip’ dengan lebih awal untuk manfaat diri dan orang sekeliling. Kesannya? Diri akan ‘terkena’ dengan setiap ‘gosip’ tersebut dan akan mencermatinya.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Jumpa kawan lama

“Lama kita tidak berjumpa. Dah 15 tahun.. Aku rindu masa kita beraktiviti bersama-sama.” Kata Ali kepada Asyik.

Kawan lama dirindui. Masa dan perkataan yang manis pahit akan diingati. Setelah lama tidak berjumpa, duduk berborak di kedai makan akan menjadi amat lama. Ali bertanya itu dan ini kepada Asyik. Begitu juga Asyik. Ali mendengar amat khusyuk.

Ketika bersama al-Quran, Allah bertanya banyak perkara kepada pembaca. Si pembaca juga akan sentiasa bertanya Allah akan masalah dan cabaran kehidupannya. Si pembaca khusyuk mendengar kisah dan nasihat dari Allah – benar-benar khusyuk.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

Kongsi masalah 

“Saya ingin berbincang dengan En Fazrul pasal anak saya,”kata seorang bapa kepada saya kerana anaknya tidak semangat untuk belajar malah berkata-kata di rumah. Semacam ada pengalaman trauma pada si anak selepas balik dari bumi kangaroo.

“Insha-ALlah.”

Panjang kami berborak. Masalah yang ada diselidiki dan cuba difahami.

Ketika bersama al-Quran, pelbagai masalah dan jawapannya dibekalkan oleh Allah. Dari satu topik kepada satu topik yang lain, ia akan dikaji dengan baik untuk memastikan masalah yang melanda dapat diselesaikan. Dari surah ke surah, ayat ke ayat atau dari satu konsep kepada konsep lain. Makin dalam menyelami rahsia penyelesaian masalah dalam al-Quran, makin berkesan apa yang ingin dilaksanakan.

Inilah asas syok bersama al-Quran.

 

Moga kita semua akan lebih ‘syok’ dengan al-Quran.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Mengecas Hati, Mengecas Telefon

  "Kau cari apa?" "Nyawa." Saya masih teringat ketika bermusafir di Turki pada 2013, ramai ahli rombongan dari Malaysia mencari

Close