As-Siyaam Junnah…Siri 1
Saya suka menulis tajuk ini agar ruuh ibadah ini difahami dan diusahakan bagi melayakkan diri kita mendapat ijazah taqwa. Ramai yang berminat dan akan masuk universiti Ramadhan. Namun tak semua layak masuk ke dalamnya kerana syarat utama ialah:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Tidak berada dalam keadaan haid atau nifas
Oleh itu, bagi siri pertama ini saya ingin menerangkan pemahaman tentang kata-kata Rasul: as-siyaam junnah atau maksudnya "puasa itu ialah perisai". Mengapa perisai?
Bagi memahami lebih mendalam, mari kita dalami apakah perisai. Perisai adalah alat perlindungan yang hanya berguna apabila digunakan dengan baik. Bagaimana menggunakan perisai dengan baik?
- Tidak sesuailah digunakan perisai hanya untuk menutup makanan seperti fungsi tudung saji
- Tidak sesuailah perisai dijadikan sebagai penutup periuk di dapur
- Tidak sesuailah perisai dipuji dan diletakkan di meja tamu sahaja
- Tidak sesuailah perisai diletakkan di muzium atau digantung di masjid bagi melambangkan keberanian Islam
- Hebat macam mana pun perisai, ia tidak berfungsi maksimum kalau ia tidak diangkat kerana lemahnya individu tersebut.
Tetapi perisai hanya mampu mencapai fungsi sebenarnya apabila ada beberapa perkara berikut:
- Dengan selalu berlatih menggunakannya dengan baik
- Menyiapkan diri dengan kekuatan yang layak untuk kita mampu mengangkat perisai sambil menunggang kuda atau ketika kita berlawan dengan musuh
- Perisai digunakan ke depan atau posisi di mana musuh menyerang kita. Bukan sekadar dijadikan alat kemegahan dalam peperangan.
Daripada beberapa perkara di atas, tentu kita sedar bahawa kehidupan kita adalah perjuangan yang menuntut agar kita menyediakan diri dengan perisai bagi menangkis segala serangan atau fitnah seperti anak, harta, isteri atau pasangan, pangkat dan sebagainya.
Bagaimana menangkis serangan tersebut? Salah satunya dengan perisai yang dinyatakan oleh Nabi: PUASA.
bersambung Siri 2