Agar hati tidak kosong
Apabila saya banyak berinteraksi dengan Model Bisnes yang dipelajari di Singapura, ia amat menarik. Ia menjadikan idea membuak-buak. Ada beberapa projek yang dilaksanakan sekarang adalah aplikasi kepada ilmu yang dipelajari tersebut. Saya juga mengendalikan beberapa program untuk menyampaikan ilmu tersebut. Antaranya ialah program di UIA dan program di Akademi Sinergi.
Namun ia tidak cukup berhenti di situ sahaja. Model Bisnes yang dibincangkan itu targetnya ialah RM dan $. Semua perkara samada percuma atau berbayar, dialurkan kepada $. Pada satu perspektif, ia menarik. Kita boleh berborak pasal wang bila-bila masa dengan 1001 idea. Namun ia tidak mampu memenuhi kekosongan dalam diri. Ada ruang yang perlu diisi. Ruang intelek, emosi dan spiritual yang target hujungnya bukanlah $. $ hanya menjadi alat untuk mencapai spiritual itu sendiri.
Model Pendidikan, Kepimpinan dan Dakwah
Dalam artikel Inovasi dalam Model Bisnes, saya mengutarakan idea model pelbagai yang berpaksikan potensi intelek, emosi dan spiritual manusia.
Target fizikal ialah duit. Target intelek ialah ilmu. Target emosi ialah kasih sayang. Target spiritual ialah keridaan Tuhan.
Apabila banyak sangat bercakap pasal duit, isi akan diisi dengan duit. Ia penting, tetapi bukan sebagai tujuan. Ia adalah alat. Fizikal, intelek dan emosi adalah alat untuk menjadi nilai spiritual yang tinggi – taqwa di sisi Tuhan.
Dos untuk spiritual ini amat penting. Kalau ia tidak diisi dan diingatkan selalu, ia akan makin cepat sakit. Tidak seperti mana kasih sayang yang tidak perlu diisi 100% masa kita. Apatah lagi duit dan makanan. Makanan hanya perlu diisi beberapa kali sehari. Duit – kalau ada masukan setiap bulan pada kadar yang sesuai, ia sudah berpada. Tidak perlu masuk satu juta setiap bulan kerana tidak termakannya. Namun ramai yang bimbangkan sejuta berbanding pahala apa yang ingin dibawa di hujung sana nanti.
Model dakwah
Jika kita berbincang model dakwah, ia ada kaitan dengan MEMBERI. Hidup cemerlang dengan memberi ialah dengan mengharapkan balasan dari Tuhan. Ia akan memberi kepuasan. Apabila setiap pemberian dinilai dengan RM, ia akan menyebabkan beberapa perkara:
- hati akan gersang
- lambat laun akan sakit dan sengsara
- diri mencari makna hidup yang sebenarnya
- orang lain juga akan tertanya-tanya dan segan untuk memohon bantuan dari kita
- orang lain tidak melihat kita sebagai punca manfaat yang besar kerana semuanya perlu atas nilai RM

