Membuat keputusan agar tidak ‘hang’ – berkorban
Apabila saya makan, saya akan pegang makanan dengan tangan (fizikal), memastikan makanan yang betul (intelek), mengawal perasaan (emosi) dan memulakan dengan Bismillah (spiritual). Hidup begini memerlukan keseimbangan. Namun dalam merancang sesuatu yang besar, bolehkah kita ‘menggondol’ semua perkara sekali gus ? Sudah tentu pada perkara yang besar, ada konflik berlaku pada elemen PIES.
Bukan P tidak penting
Dalam merancang kehidupan, bukan P atau I atau E atau S tidak penting. Tetapi perlu ada keutamaan yang diberikan. Kalau pada satu-satu tahun, merancang bisnes atau projek sosial, ada perkara yang perlu diletakkan lebih tinggi keutamaannya. Kaedah dalam menyelesaikan sesuatu masalah di dalam kejuruteraan ialah idea Degree of Freedom. Kalau ada 4 pemboleh ubah, maka tinggalkan 1 untuk menjadi 3. Kemudian selesaikan masalah yang ada.
Lantas, kalau ada PIES, pilih salah satu yang perlu diletakkan lebih rendah. Kalau Allah dan Rasul sudah meletakkan dunia sebagai nilaian tidak lebih sebelah kepak nyamuk, maka P perlu ditinggalkan dalam mencapai sasaran. Set-kan yang minimum atau kalau terpaksa berkorban, korbankanlah walaupun tidak perlu sampai tergadai IES kerana asas P yang diperlukan. Itulah harga sebuah kejayaan.
Dalam membina syarikat atau organisasi
Sebagai contoh, kalau seseorang ingin menjayakan sesebuah organisasi, banyak wang akan dilaburkan untuk memandaikan ahli atau meluaskan jaringan. Wang yang dilaburkan atau P yang kurang itu adalah satu pelaburan. Ia perlu diletakkan sebagai gadaian mendapat sesuatu yang lebih besar. Boleh sahaja memperoleh P, tetapi ia memerlukan usaha yang besar. Kalau aspek P tidak mampu digadaikan atau dikorbankan, maka ia akan menyebabkan kejayaan akan menjadi sesuatu yang jauh.
Kisah Nabi Ibrahim menunjukkan betapa aspek fizikal perlu dikoorbankan sebagai bukti cinta dan keimanan. Apabila beliau ‘berkorban’ dan ia sudah terbukti, Allah gantikan dengan kibasy. Baginda berjaya meletakkan aspek fizikal si anak sebagai bahan korban kerana Nabi Ibrahim tahu bahawa untuk mendapat status khalil, ia adalah satu misi yang besar. Tidak mungkin dapat cinta semua aspek fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Perlu ada yang dikorbankan.
Lantas apa misi anda ? Kalau misi anda besar dan jauh, bersedia untuk mengorbankan salah satu dari aspek PIES. Kalau ia tidak dilaksanakan, ia akan menyebabkan misi itu jauh atau mungkin tidak mampu dicapai dengan segera. Berkorban aspek fizikal amat berbaloi jika ia akan meningkatkan aspek intelek, emosi dan spiritual kita. Jangan berkorban sampai terkorban IES!