Teknologi ‘What’ Banyak…Mencari Teknologi ‘How’?

Jika diperhati banyak buku-buku turath atau khazanah Islam, ia banyak menyatakan ‘what’ atau apakah yang sepatutnya dicapai dalam menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Namun untuk mencari rujukan ‘how’, ia agak sukar. Disebabkan fokus saya kebelakangan ini ialah isu pendidikan, saya cuba menyemak reviu buku yang ditulis oleh pelbagai individu. Saya juga cuba mendapatkan sebanyak mungkin rujukan serta bertanya individu terlibat dengan pendidikan. Saya amat setuju dengan pendapat saudara Hafiz Firdaus dalam lamannya yang memberi komentar pada buku karangan John Gray yang bertajuk ‘Child From Heaven – Positive Parenting Skills for Raising Cooperative, Confident, and Compassionate Children’.

Apa yang jelas, karya monumental Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk Tarbiatul Aulad memang menjadi rujukan ‘what’ yang amat bagus. Yang saya sedang dalami sekarang juga amat bagus bertajuk ‘Minhaj Tarbiah An-Nabawiyah Lit Tifl’ atau dalam bahasa Melayunya ‘Metodologi Pendidikan Nabi untuk Anak’karya Muhammd Nur Abdullah Hafiz Suaid. Apa maksud rujukan ‘what’? Apa beza dengan rujukan ‘how’?

Antara ‘What’ & ‘How

Karya monumental  Abdullah Nasih Ulwan atau Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid adalah karya ulama yang menyatakan ‘apa’ yang perlu dibuat untuk mendidik si anak. Ia berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Ia menjadi rujukan ‘apa’ atau ‘what’ untuk dilakukan. Cabaran untuk mengamalkan buku begini ialah bagaimana proses ia dilaksanakan. Adakah terus dilaksanakan atau bagaimanakan proses ia dilaksanakan? Adakah anak perlu diajar solat terus menerus setelah mencapai 7 tahun? Bagaimana kalau si anak liat dan tidak mahu bangun solat ? Kalau anak pertama bangun dan yang kedua tidak bangun lagi, apakah yang patut dibuat? Kalau si anak pertama tidur lewat menyiapkan kerja rumah, siapakah yang perlu dikejut dahulu? Atau kejut sahaja tanpa mengambil kira tidurnya yang kurang? Persoalan-persoalan ini agak ‘simple’ bagi sesetengah orang tetapi ia amat penting untuk mewujudkan suasana pendidikan yang konstruktif di rumah.

Sebagai contoh dalam buku Minhaj at-Tarbiyah An-Nabawiyah Lit-Tifl, ada dinyatakan tentang Menyambut Anak dengan Baik pada Bab Membina Perasaan.  Daripada bahagian tersebut:

“Sesungguhnya perjumpaan dengan anak merupakan sesuatu yang mesti. Yang terpenting lagi adalah ketika berhadapan kali pertama kali. Maka apabila seseorang dapat memberikan sambutan pertamanya dengan baik, anak pun akan mudah untuk diajak bercakap dan berbincang dengannya. Dengan demikian, hatinya akan terbuka dan selanjutnya mah mengungkapkan segala isi hatinya, menerangkan segala masalahnya dan bercakap mengenai angan-angannya. Ini semua akan berlaku bila anak itu disambut dengan sebaik mungkin dengan penuh keceriaan, kecintaan dan canda ria. Inilah yang dibimbing oleh Rasulullah agar dilakukan oleh umatnya.”

Dalam sedutan di atas, ia menerangkan suatu tuntutan yang baik dan praktikal untuk diamalkan.  Namun jika si anak menangis, atau tidak suka, atau ada masalah ketika kita bertemu dengannya, apakah yang perlu dilaksanakan ? Ini dapat diterangkan oleh konsep ‘how’ yang lebih luas, bukan sekadar memberi fokus pada aspek ‘what’ semata-mata. Berbanding ‘what’ yang menunjukkan apa yang perlu dicapai, rujukan ‘how’ akan memberi tunjuk ajar ‘bagaimana’ ia dicapai. Kalau ia tidak dicapai pun, tidk mengapa kerana usaha kitalah yang lebih penting berbanding keputusan atau result. Jika kita dapat mencapai result yang dikehendaki, kita syukur pada Allah.

Hal ini dinyatakan oleh Saudara Hafiz Firdaus dalam reviu beliau. Beliau menyatakan dalam buku karangan John Gray tersebut ada 5 perkara atau tajuk besar sebagaimana dikomentar oleh beliau:

 


1. It’s okay to be different. –
Setiap manusia itu berbeza itu sunatuLlah, kanak-kanak pun begitu juga. Kesilapan kita ialah sering menganggap keupayaan anak-anak serupa dengan kita atau anak kita mesti sama dengan anak jiran atau anak rakan kita. Penulis memberikan tiga kategori kanak-kanak ‘walker’, ‘runner’ dan ‘jumper’. Mengakui dan memahami setiap kanak-kanak itu berbeza adalah langkah pertama ke arah positive parenting.

2. It’s okay to make mistakes. – Manusia belajar dari kesilapan, ini juga hukum Allah. Dari kesilapan kita belajar kesan dan implikasi dan bagaimana membetulkan kesilapan atau tidak mengulangi kesilapan. Anak-anak yang membesar tanpa mempelajari bahawa kesilapan itu lumrah sebenarnya akan cacat daya juang dan daya saingnya serta tidak akan bersifat kompetitif. Mereka akan sentiasa takut mencuba kerana takut salah.

3. It’s okay to express negative emotions. – Sebagaimana emosi positif itu baik untuk dizahirkan begitu juga emosi negatif tetapi haruslah dengan suasana terkawal dan kaedah yang betul. Peranan ibubapa dalam positive parenting ialah untuk memantau dan mengawal emosi positif dan negatif anak-anak. Kesilapan biasa ibu bapa ialah menafikan emosi negatif anak-anak contohnya tidak boleh menangis, tidak boleh merajuk, tidak boleh menjerit sedangkan ini adalah cara kanak-kanak melepaskan geram secara tabi’i, mereka tidak tahu cara lain. Adalah tidak adil bila kita menafikan hak anak-anak ini sedangkan kita sendiri kadang-kadang pun akan marah, geram, bengang dan sebagainya.

4. It’s okay to want more. – Bab ini menceritakan tentang bolehnya anak-anak untuk meminta lebih atau meminta sesuatu tetapi haruslah dikawal dan dipantau secara bijak oleh ibubapa.

5. It’s okay to say no, but remember mom and dad are the bosses.

Biarpun seorang penjaga ingin menyambut anak dengan baik, tetapi jika tidak jelas teknik sebagaimana yang ada di atas, ia mungkin sukar dilaksanakan dengan penuh rasional dan yakin. Inilah pentingnya ada rujukan ‘how’ untuk mencapat ‘what’ dalam proses pendidikan dan apa jua yang kita laksanakan dalam kehidupan seharian. Kita memerlukan banyak lagi sumber rujukan ‘how’ untuk hidup kita menjadi lebih praktikal dan tidak penuh dengan ‘hukuman’ dalam kehidupan seharian.

Kekadang apabila ‘how’ tidak difahami, ia akan menyebabkan si penjaga ‘amat kecewa’ apabila anak tidak menjadi padahal isu ‘how’ tidak pernah disemak sama sekali. Tujuan ulama dahulu menulis ‘what’ adalah sebagai petunjuk dalam kehidupan serta perlu dicerna lagi, bukan terus dilahap begitu sahaja sehingga ada yang tersedak, terkejut atau sakit perut lalu menderita dalam mengamalkan petunjuk Ilahi. Moga kita diberi petunjuk tersebut. Ameen!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Dakwah zaman nabi dan zaman kini

Sejak kebelakangan ini, saya banyak membuat kajian kepada sistem pendidikan dengam merujuk kepada pelbagai sumber rujukan. Saya amat berminat dengan...

Close