Mengapa ia berulang dan diulang?

Seniman seperti Alfred Jensen dan Robert Smithson menggunakan kemampuan mereka mengulangi apa yang berlaku pada alam untuk menghasilkan karya yang hebat. Dalam biologi dan ilmu sains, pengulangan (repetition) menjadi bukti tentang hipotesis yang berjaya.  Dalam ilmu genetik, ia melibatkan proses replication, trancription dan translation. Semua ini melibatkan unsur pengulangan dengan kesan akhir yang berbeza – dan itulah yang mencengangkan dunia saintis. Lantas tercengangkah anda mengulang sab’ul-mathaani ( 7 ayat yang berulang-ulang) – surah al-Fatihah – paling tidak 17 kali sehari semalam ? Mari kita hayati beberapa manfaat pengulangan.

Dalam al-Quran, perkataan ‘berulang-ulang’ ini dikaitkan dengan perkataan mathaani . 2 kali perkataan ini digunakan.

39-23

[39:23] Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

Selain itu pada ayat berikut:

15-87

[15:87] Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

Menurut hadith riwayat Abu Hurairah, Nabi bersabda:

«أُمُّ الْقُرْآنِ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيم»

Maksudnya: Ummul Quran ialah 7 ayat berulang-ulang dan al-Quran yang hebat.

Menurut Quraisy Shihab, seorang ulama tafsir, mathaani atau berulang-ulang ini disebabkan kandungan pesanan setiap ayat terulang-ulang dalam ayat-ayat al-Quran yang lain.

Satu Perkara, Diterangkan Ayat Yang Sama atau Berlawanan

Pengulangan yang dimaksudkan dalam ayat di atas boleh dijelaskan oleh ayat lain dalam al-Quran dan kekadang Allah meletakkan lawan kepada perkara yang sama. Ini dijelaskan oleh Ibn Katheer dalam tafsirnya:

ayat tertentu di dalam al-Quran merujuk kepada satu perkara – ada ayat yang menyerupai yang lain, dan pada masa lain menerangkan satu perkara diikuti lawan kepada perkara tersebut.

Sebagai contoh untuk satu perkara dengan dua ayat berlawanan bagi menerangkannya, kita boleh perhatikan ayat berikut:

[82:13]
(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
[82:14]
Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

Manakala bagi satu perkara yang diterangkan oleh ayat-ayat yang sama isi kandungan topiknya:

[83:7]
Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin”.
[8]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia “Sijjiin” itu,
[9]
Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa).
[10]
Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan –
[11]
Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan.
[12]
Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka!
[13]
(Sehingga) apabila ia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata:” Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala!”
[14]
Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
[15]
Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.
[16]
Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka.
[17]
Akhirnya dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu.”
[18]
Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam” Illiyiin”.

Apabila sesuatu perkara diulang-ulang dalam bentuk yang berbeza, ia akan menjadi pedoman yang kukuh dalam diri manusia. Inilah yang berlaku pada al-Fatihah.

quran5Ulang membawa perspektif baru

Cuba perhatikan ar-rahman ar-raheem pada kalimah Bismillah (kali pertama) dan ar-rahman ar-raheem selepas ayat Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (kali kedua). Salah satu sebab ia diulang pada surah yang sama kerana pada kali pertama, ia menekankan nama Allah yang baik (asmaullahul husna). Manakala bagi kali kedua, ia dinyatakan kerana pentadbiran dan penjagaan Allah pada alam (rabbil alamin) ini bukanlah untuk mendapatkan ganjaran seperti manusia mendidik serta menjaga sesuatu. Tetapi Allah menjaganya atas kasih sayang – merujuk kepada ar-rahman ar-raheem.

Bukankah kita nampak Allah mengulang ar-rahman ar-raheem pada surah yang sama sahaja sudah memberi perspektif baru. Apatah lagi apabila diulang berkali-kali. Inilah yang berlaku pada al-Fatihah jika misterinya diungkap.

Mengulang menimbulkan makna mendalam

Apakah tazkirah? Peringatan yang berulang-ulang. Apabila seseorang berzikir, ia mengingat Allah berulang-ulang – dan ia menimbulkan ketenangan. Zikir sukar memberi ketenangan kalau dibuat hanya sekali sahaja.

Dalam Surah az-Zariyat, Allah berfirman:

[51:55]
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.

Peringatan memberi manfaat kerana ia berulang-ulang dan menyentuh kepada hati orang beriman. Mungkin kali pertama, sesuatu itu hanya lalu di telinga sahaja. Kali kedua, ia difahami pada minda. Kali ketiga, ia mungkin akan menyentuh perasaan. Dan kali seterusnya, ia akan menimbulkan getaran pada jiwa lantas menggenangkan air mata. Ini yang diterangkan pada ayat berikut:

[8:2]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Inilah yang berlaku pada al-Fatihah yang difahami maksudnya.

10,000 kali diulang

10,000 hour rule adalah istilah yang digunakan oleh Malcolm Gladwell dalam bukunya Outliers. Jika 10,000 jam digunakan untuk berbuat sesuatu kemahiran, individu akan menjadi pakar. Bill Gates memperoleh peluang untuk ‘programming’ sejak usia muda – lebih awal dari individu lain. Ketika usia masuk kolej, beliau sudah pun berpeluang menjejak 10,000 jam untuk melaksanakan aktiviti programming. Inilah formula untuk menjadi pakar dalam sesuatu perkara.

Berapa lama anda sudah tadabur dan memerhati maksud al-Fatihah? Walaupun tidak semestinya mencapai 10,000 , namun jika ia diulang-ulang setiap hari dengan pemahaman selama 1 jam (sekitar 10 minit setiap kali solat), maka ia pasti akan memberi lonjakan kepada diri seseorang selepas solat 10,000 hari atau 27 tahun hari (hanya kiraan jika al-Fatihah hanya dibaca bagi solat wajib dalam kehidupan). Kalau diikuti solat sunat, anda hanya perlukan minimum 13 tahun bagi menjadi expert untuk beramal dengan al-Fatihah.

Persoalannya bagaimana saya dan anda mengulang-ulang al-Fatihah tersebut? Jika ia diulang tanpa kefahaman, kita akan menjadi ‘pakar’ tahap tanpa kefahaman. Namun jika kita ‘pakar’ dengan kefahaman mendalam tentang al-Fatihah, ia akan memberi jawapan pelbagai cabaran bisnes, kehidupan, akademik, keluarga, masyarakat, ekonomi dan pelbagai aspek kehidupan.

Di sinilah seruan untuk mendalami Ummu al-Quran. al-Quran itu perlukan tadabbur  – istilah yang menunjukkan kita ‘merenung berkali-kali’.

Quran itu Bacaan Yang Diulang-Ulang
Perkataan Quran itu sendiri bermaksud bacaan yang diulang-ulang. Jika seseorang tidak membaca isi kandungan kitab mukjizat ini berulang kali, ia sebenarnya tidak memenuhi maksud Quran yang sebenar-benarnya. Malah Saidina Abu Bakar ada menekankan kehebatan al-Quran:

Siapa yang dianugerahi al-Quran kemudian menganggap ada seseorang yang dianugerahi kenikmatan duniawi yang lebih utama darinya, maka dia telah meremehkan yang agung dan mengagungkan yang remeh.

Jikapun kita tidak lagi memahami 100% al-Quran, mendalami al-Fatehah yang dikenali sebagai juga as-Sab’al Mathaani oleh sebahagian ulama ini sudah cukup untuk memberi kehebatan bagi yang beramal. Hadith diriwayatkan at-Tirmizi menjelaskan Nabi bersabda:

Demi Tuhanyang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, Allah tidak menurunkan di dalam Taurat, Injil mahupun Zabur dan al-Quran suatu surah seperti as-Sab’al Mathaani

Apakah yang special dalam surah ini? Inilah yang perlukan usaha dan kesungguhan kita. Kalau untuk mengembangkan bisnes, ramai boleh meluangkan masa menghadiri workshop bagaimana menjadi jutawan. Kalau untuk mendapatkan pekerjaan bagus, ramai sanggup luangkan masa 4 tahun untuk mendapatkan sekeping ijazah. Sudah tentu untuk memahami surah yang hebat ini, ia perlukan masa anda untuk diluangkan.

Ya Allah, jadilah kami orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran. Serta jadikan al-Quran sebagai nuur kepada diri kami. Serta al-Fatihah kami difahami serta terjelma dalam kehidupan.

Artikel ini adalah sebahagian dari kandungan Warkah Cinta Berulang yang akan disampaikan pada program AIFR dan IFR di Michigan State University, Minnesota University, Iowa State University dan Vanderbilt University, Insha-Allah. Maklumat program di Vanderbilt boleh diperoleh di sini.

Facebook Comments:

One thought on “Mengapa ia berulang dan diulang?

  • June 26, 2010 at 7:14 pm
    Permalink

    subhanallah…jzkk atas pencerahan…mohon copy ye^_^

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2009-10-04

combining al-fatehah with MasterPIES - between 9 and 17, which one is greater ? # now in a training for

Close