Si Kecil Berjaya
Saya mungkin kecil, tapi saya mampu memimpin diri sendiri dan membantu orang lain.
Saya tujukan ini kepada si kecil yang berumur 5 tahun kebawah. Mereka yang sedang memulakan proses belajar erti hidup dengan cara penuh keseronokan, cabaran yang dilihat sebagai satu permainan dan risiko yang dianggap sebagai satu hadiah kemenangan.
Dalam proses menyiapkan modul dan memberikan latihan di Total Success, saya jadi teruja dengan golongan kecil ini. Setiap kali, saya memandang mereka seperti anak-anak sendiri, atau mungkin sebagai adik sendiri (umur baru 24, bagaimana kalau saya ada anak berusia 6 tahun sekarang agaknya ya? ;p).
Namun itulah perasaannya. Saya sangat ingin melihat mereka berjaya dalam kehidupan bermula dengan mereka belajar memimpin diri sendiri melalui cara yang menyeronokkan.
Dikalangan ibu bapa dan juga guru, mereka mungkin tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk anak-anak kecil mereka apabila besar nanti menjadi seorang CEO, Perdana Menteri, jutawan, ketua pengarah ataupun ahli sukan terkenal.
Tetapi saya yakin ibu bapa dan guru-guru pastinya mahukan anak-anak kecil mereka mampu untuk berdisiplin, mempunyai kata hati yang baik dan kuat, mampu mengawal emosi sedih atau gembira serta melaksanakan amalan kebaikan dengan kehendak sendiri.
Amalan Berjaya Dengan CASIC
CASIC adalah akronim bagi Connect, Acknowledge, Serve, Inquire dan Choice. Bagi yang pertama kali mendengarnya pasti melihat ini sebagai prinsip atau amalan baru untuk berjaya. Namun sebenarnya amalan CASIC telah lama berada dalam kehidupan kita, hanya mungkin kita terlepas pandang atau terlupa mengaplikasikannya didalam kehidupan.
Selain CASIC ada juga beberapa teknik yang diajarkan kepada golongan kecil untuk membina kejayaa. Yang saya amat terkesan idea dan aplikasinya adalah melalui buku The Leader In Me oleh Stephen R Covey.
Apa yang dilakukan Stepehen R. Covey adalah mengajarkan teknik 7 Habits of Highly Effective People kepada kanak-kanak ini. Dengan menggunakan teknik dan tunjuk ajar yang betul daripada ibu bapa dan guru, dalam usia yang amat muda mampu membuat perubahan yang besar.
Perubahan yang besar bukan bermakna mereka menjadi kanak-kanak genius yang mempunyai IQ yang tinggi, tetapi mereka berubah menjadi kanak-kanak yang lebih pandai meguruskan diri sendiri.
CASIC Bagi Si Kecil
Mari kita impikan bagi setiap anak kecil melaksanakan prinsip-prinsip CASIC ini. Dan apa yang akan mereka lakukan jika mereka mengamalkan prinsip CASIC dalam kehidupan mereka.
Connect– Saya akan buat kebaikan kepada setiap orang yang saya jumpa. Saya akan menyayangi ibu ayah saya, adik beradik saya, kawan-kawan, guru-guru dan setiap orang yang saya kenali. Saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya orang-orang yang saya sayangi ini sentiasa sihat dan kuat. Saya pohon Tuhan juga akan menjadikan saya manusia yang baik agar saya mampu terus menyayangi mereka.
Ackwoledge– Saya akan mengucapkan terima kasih kepada orang yang membuat kebaikan kepada saya. Saya tahu mereka semua mengambil berat tentang saya, jadi saya mahu membalas kebaikan mereka dengan sentiasa mendengar nasihat dan teguran yang diberikan.
Serve– Saya mahu menjadi orang yang berdisiplin. Saya akan membuat kebaikan walaupun tanpa suruhan daripada ibu ayah atau cikgu. Saya akan menolong rakan-rakan saya jika mereka ada kesusahan. Walaupun tenaga saya ini kecil, saya akan sentiasa ringan tulang membantu mereka yang memerlukan.
Inquire– Saya mesti sedar betapa ibu ayah amat menyayangi saya. Saya mesti sedar dan tahu bagaimana cara menjadi anak yang baik. Saya akan sentiasa belajar dan bertanya kepada guru bagaimana saya boleh menjadi pemimpin yang lebih baik lagi.
Choice– Saya mahu berjaya! Saya mahu semua orang gembira dengan perangai dan perlakuan saya. Saya akan sentiasa berhati-hati memilih kawan dan hiburan supaya tidak lari dari cita-cita saya.
Apakah itu masih tidak cukup bagi anak-anak kecil ini menjadi seorang yang matang dalam usianya? Ianya sudah lebih dari mencukupi jika ianya sentiasa diulang-ulang dan diamalkan dengan tunjuk ajar dari kita yang dewasa.
Bersama Mewarnakan Dunia Si Kecil
Kejayaan si kecil amat bergantung kepada orang yang lebih dewasa mencorakkan keperibadian mereka. Dalam usia ini, dua golongan dewasa yang paling dekat dengan mereka adalah ibu bapa dan guru-guru. Dan mereka ini lebih banyak belajar erti hidup disekolah. Mereka berkawan, bergaul dengan ramai orang, bermain dalam suasana tersendiri dan menyerap persekitaran yang diwujudkan di sekolah.
Setiap sekolah mempunyai sumber, matlamat dan keperluan tersendiri untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik dan peribadi. CASIC hanya sebagai alat untuk membantu. Programnya mungkin berbeza dengan sekolah lain tetapi falsafahnya menyeluruh dan dikongsi bersama.
Jadi walau dimana berada dan bagaimana keadaan sekolah itu, warga pendidik hanya perlu mencari jalan melaksanakan amalan berjaya itu. Komitmen bagaimana untuk melaksanakan lebih penting daripada hanya melihat amalan itu sesuai atau tidak dijadikan panduan.
Bagi ibu bapa langkah awal membantu si kecil kesayangan mereka adalah dengan lebih banyak terlibat dengan aktiviti di sekolah anak mereka. Amalan berjaya CASIC yang dimulakan disekolah perlu lebih utama untuk diteruskan ketika si kecil ini balik kerumah. Ianya akan menjadi lebih effisien apabila ibu bapa tahu dan turut menggunakan amalan berjaya di rumah.
Kesannya, anak-anak kecil ini akan lebih sihat emosinya serta dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran didalam kelas. Kemahiran sosialnya juga akan meningkat. Kebolehan mereka untuk bercakap, berkongsi pendapat, menyatakan pendirian dan juga memimpin rakan sebaya akan dapat ditingkatkan. Yang lebih utama masalah disiplin dan buli jika tidak dapat dihapuskan sekalipun akan dapat di kurangkan ke tahap minimum.
Guru-guru juga akan lebih seronok untuk melaksanakan tugasan mereka, tidak dibebani masalah disiplin yang kritikal dan lebih fokus menjalankan tugasan mereka membimbing hal ehwal akademik.
Bagi ibu bapa pastinya tiada yang lebih menggembirakan selain melihat anak mereka membesar dengan kebolehan menguruskan hidup yang cemerlang. Biarlah mereka meletakkan apa sekalipun cita-cita mereka dan apa kerjaya sekalipun yang mereka ingin kejar di masa hadapan. Kerana yang lebih penting adalah pengisian nilai yang ingin ditanamkan dalam sanubari mereka.
Saya Dan Si Kecil Saya.
Saya juga mahukan yang terbaik untuk si kecil-si kecil yang disekeliling saya ini. Saya mahukan yang terbaik untuk mereka dan dalam masa sama untuk yang lain-lain juga. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya menganggap mereka sebagai ahli keluarga saya sendiri yang perlu diberi lebih perhatian dan kasih sayang.
Dan, oh! jika saya tergarang sedikit maafkan saya. Bersama askar-askar kecil ini memang amat mencabar juga. Harapnya saya akan menjadi lebih baik untuk si kecil saya dan juga si kecil yang lain. :0)
p/s: Untuk si kecil saya (anak buah ya) Adam, Adib dan Aufa serta si kecil setahun jagung Raikhal. Uncle Joe doakan kejayaan kamu semua.
” Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” ( Surah al-Baqarah, 2: 128)