02 TOTI

Repitition Compulsion

“Berhenti, rasanya kita tak patut teruskan, awak sudah diluar kawalan.” kata Aminah.

“Eh, kenapa saya pula yang dipersalahkan. Awak yang mulakan dahulu.” balas Hani.

“Apa maksud awak saya yang mulakan dahulu?” Awak jangan melampau, pandai-pandai nak menuding jari pada saya pula.” Aminah memandang Hani dengan perasaan risau akan rakannya itu terus melakukan kesilapan, namun dalam masa yang sama terus melayan perasaan geramnya pada Hani.

Pergeseran antara keduanya nampak seperti akan berlarutan walaupun pada awalnya, sudah ada respon positif dari Aminah. Isu sebegini sering berlaku bila seseorang sudah terbiasa dan selesa dengan sesuatu keadaan. Daniel Shapiro menamakannya sebagai ‘repetition compulsion’. Sigmun Freud pada awalnya melihat situasi seperti ini sebagai ‘pleasure principle’ di mana seseorang akan meneruskan apa yang disenanginya. Namun, bila keadaan bertambah teruk dan ia semakin sukar untuk di atasi, seperti sesuatu hubungan mulai bergeser, kemudian diikuti dengan rasa dianayai, kemudian rasa terasing, dan hubungan akhirnya musnah. Ia mula dikenali pula dengan‘demonic force’ atau ‘repetition compulsion’

‘Repetition compulsion’ adalah suatu keadaan di mana seseorang mengulangi corak sikapnya yang tidak bermakna. Ia lebih kompleks dari tabiat di mana tabiat juga boleh membawa kepada kesan yang baik bagi tabiat yang baik.  ‘Repetition compulsion’ adalah satu corak yang lahir dari perasaan takut seperti kerisauan, cemburu, dan rasa diasingkan di mana ia akan menjadi sukar diubah bila sudah menjadi darah daging.

Corak yang berulang ini berlaku biasanya tanpa disedari oleh pelakunya. Saya teringat sebuah cerita di mana seorang isteri bergaduh dengan suaminya akibat cemburu si suami. Pada mulanya, si suami menampar isterinya, kemudian si isteri membalas dengan menumbuk suaminya, kemudian si suami menyepak isterinya dan dibalas oleh isteri dengan membaling barang-barang kesayangan suaminya, dan sehingga akhirnya si isteri hampir mati dikerjakan si suami. Walhal keadaan itu dapat dihentikan pada peringkat awal sekiranya mereka tidak mengikut kepada perasaan masing-masing.

Begitu juga bila ada sepasang kekasih yang sering berhubung melalui telefon. Namun, ada masa tertentu kekasihnya tidak mengangkat atau membalas panggilannya. Ia akan mula bersangka-sangka dengan menyatakan bahawa kekasihnya itu sedang curang dengannya, atau sudah mula tidak ambil berat tentang dirinya lagi dan lain-lain perasaan negatif yang timbul.

Hal ini dapat diatasi sekiranya ‘corak’ ini dapat dikenalpasti pada peringkat awal. Seperti seorang polis, ia sudah dapat mengenali seorang penjenayah berdasarkan karakter yang kebiasaannya dimiliki seorang penjenayah. Begitu juga bagi setiap individu, corak ini perlu diketahui agar ia dapat dikenalpasti lebih awal. Langkah seterusnya adalah dengan mula melihat akan kesan dari perkara tersebut. Seterusnya perlu memasukkan tenaga baru bagi mengatasi situasi tersebut dan akhirnya mengubah sikap tersebut kepada sikap positif yang baru.

Mengenalpasti corak ini amat penting agar kita tidak termasuk dalam situasi ini berulang kali. Allah melarang manusia untuk menuruti jejak langkah syaitan yang diketahui membawa kepada kebinasaan. Jejak langkah syaitan, jika tidak dikenal pasti, akan menyebabkan manusia hanyut dengan langkah syaitan yang mengasyikkan. Begitu keadaan yang berlaku kepada Hani dan Aminah, walaupun sudah ada usaha untuk berhenti dari pergaduhan, namun tetap meneruskannya kerana membiarkan sahaja perasaan itu berterusan. Firman Allah swt yang bermaksud:

dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Surah Al-Baqarah, 2 (186)

Bila dapat dikenalpasti corak dan melihat akan kesannya, perlu dimasukkan dengan tenaga baru. Saya mencadangkan agar bertenang seketika dan beristighfar kepada Allah swt. Atau boleh dilakukan dengan cara masing-masing di mana kita menfokuskan kepada tenaga baru yang positif. Oleh kerana corak ini adalah perkara yang berlaku berulang-ulang, maka amat penting untuk mengisi sikap yang lama dengan sikap yang baru. Ia bagi memastikan sikap positif pula yang akan dilakukan pada masa akan datang.

Membiarkan corak ini berterusan boleh melahirkan konflik yang banyak dan berpanjangan. Ia adalah hasil dari perasaan takut akan kehilangan sesuatu. Apakah konflik dapat diselesaikan jika perasaan ini tidak diatasi? ‘Repitition compulsion’ membentuk nilai yang mampu meletakkan sesuatu situasi dalam keadaan sukar. Semoga kita dapat mengenalpasti corak sikap diri yang tidak bermakna ini dan dapat menfokuskan kepada tabiat yang mulia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Vertigo

"Asyik saya sahaja yang mengalah, mentang-mentanglah saya ini isteri, cakap apapun bukan awak tidak mahu dengar. Malas saya nak cakap

Close