Umum

Laptop $30 dan Gaoyong

Disebabkan saya tiada kenderaan, saya berjalan kaki sekitar 15 minit ke lokasi tempat individu ini tinggal. Beliau seorang Cina – berasal dari kawasan pergunungan di China. Namanya Gaoyong Ou. Saya agak lambat sampai kerana mencari Ellendale Place yang saya tidak biasa lagi. Memang setelah sebulan lebih di Los Angeles ini, saya masih tidak biasa dengan jalan di sekeliling. Keluar berjalan pun kalau ada kawan yang berasal dari Indonesia – membawa kami berempat ke Islamic Centre of Southern California.

 

Sesampainya saya di apartmen Gaoyong, beliau menunjukkan laptop Sony Vaio Pentium II yang masih elok. Cuma diisi dengan Windows XP berbahasa Cina – yang saya tidak faham. Cuma boleh teka-teka. Dan Gaoyong menjangkakan saya juga berbangsa Cina. Saya tersenyum. Saya bertanya sekali lagi, "$30?" Dia angguk. Diberinya saya CD dan wireless receiver. Saya uji laptop tersebut dan tanpa banyak bicara, sayasetuju. Kalau di Malaysia, saya yakin harga laptop begini paling kurang RM 600. Ini tidak sampai RM 100.

 

"You accept check?"

 

"No, I accept cash only," katanya sambil tersenyum.

 

"I don’t bring cash. Do you mind following me to get cash at home? This is my wife’s check. I can’t cash it at the bank."

 

Dia setuju walaupun dia terpaksa berjalan kaki.

 

Sesampainya di rumah, saya dapati memang tiada juga  cash. Saya perlu ke bank – keluarkan wang. Dia sanggup juga mengikut saya berjalan kira-kira 15 minit.

 

Sepanjang perjalanan, Gaoyong bercerita tentang negara Cina-nya. Sebelah utara makan gandum atau bubur manakala dia yang datang dari kawasan agak ke selatan, makan nasi sebagai makanan ruji. Katanya kawasan barat Cina, orangnya banyak bertani dan kawasan industri tidak banyak. Kos kehidupan lebih rendah berbanding kawasan timur di mana banyak kawasan industri. Orangnya moden berbanding barat Cina -hatta ramai yang tidak tahu langsung dan takut menggunakan komputer.

 

‘In Christ, Jesus is Lord’ tertera pada beg yang diberikannya kepada saya. Saya bertanya dia: ‘what is your religion?’ Dia berkata dia beragama Kristian. Dulu dia tidak beragama – sebagaimana ramai di kawasannya di China. Cuma setelah sampai di US dan didekati oleh kawannya yang beragama Kristian, dia sekadar ikut ke gereja dan memeluk agama tersebut. 

 

"I am a Muslim.  My religion is Islam. So today you are not going to church?" saya bertanya kerana hari ini hari Ahad.

 

Dia tersenyum dan berkata, ‘Today I am busy." Saya ingin berceloteh panjang pasal agama, tetapi masa tidak mengizinkan. Setidak-tidaknya saya sudah memberitahunya agama Islam.

 

Saya beratur untuk mengeluarkan wang dari teller machine. Setelah saya keluarkan $140, $40 diberikan kepadanya . Jumlah keseluruhan $35 kerana saya juga membeli mouse terpakai. Perlu berjimat di negeri yang agak mahal ini. Kerja pun belum lagi.

 

Dia cuba mendapatkan wang tukar. Dia berjumpa seorang demi seorang individu di sebuah restoran makan, Yoshinaya. Saya memerhati, agak segan untuk berbuat demikian. Dalam hati saya, ‘inilah rahsia Cina. Cash dan tidak malu pada tempat yang tak perlu pun untuk dimalukan – tukar wang $20 dengan wang yang lebih kecil.’

 

Saya belajar sesuatu. Saya perlu rasa tidak malu dengan orang lain untuk kebaikan dan kebenaran. Dan ada tugas yang belum selesai…

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
PAKS, Marketing dan Dakwah

Mungkin ada di antara anda yang pernah membaca bahagian-bahagian awal karya saya di laman ini atau web lain yang bertajuk...

Close