Umum

Belajar Menjadi Hamba

“Kita fikir dan analisis. Selepas berusaha, barulah berdoa.”

“Tapi bukankah kita perlukan bantuan Tuhan setiap masa?”

“Ya, tapi kena usaha dulu. Dah berusaha, baru berdoa. Asalkan kita doa dan solat, ok apa?”

“Untuk berusaha yang tepat juga perlukan bantuan Allah. Apa Allah nyatakan betul, kita ikut setiap masa. Bukan pilih-pilih apatah lagi melibatkan hak ramai.”

Dalam bukunya The Fifth Discipline, Peter M Senge menekankan istilah ‘learning organization’. Ada 5 perkara yang dinyatakan beliau dalam buku tersebut untuk menjadikan sesuatu organisasi mampu untuk belajar atau tidak dari kesilapan. Kesilapan adalah ciri seorang hamba. Untuk menjadi hamba yang cemerlang, kesilapan dapat dipelajari dan dibaiki – ditunjukkan oleh Nabi Adam ketika tersilap makan buah khuld. Iblis adalah ‘archetype’ atau simbol makhluk yang silap dan tidak mengakui kesilapan. Malah Iblis menyalahkan Allah kerana menyuruhnya bersujud.

Learning – belajar

Untuk menjadi Bani Adam yang menjejak kehebatan moyang manusia Nabi Adam, kita perlu belajar. Ada istilah unlearn (perbaiki apa yang telah dipelajari), learn (belajar) dan relearn (belajar semula). Belajar ini adalah satu proses – diajarkan oleh Yang Maha Esa.

Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah al-Alaq 96:5) 

Apakah syarat untuk menjadi seorang yang mampu ‘baca dengan nama Tuhan’? Allah memberi panduan: Perlu elakkan daripada melampau batas dan merasakan diri bagus (96:6-7). Petanda seseorang ‘baca dengan nama Tuhan’ ialah seseorang itu mampu menafikan perkara yang melampau batas, membanyakkan bersujud dan melaksanakan amalan yang mendekatkan diri kepada Yang Menciptakan (96:19)

Belajar subjek apa?

Apa-apa subjek boleh dipelajari. Yang penting ia membawa kepada tujuan manusia diciptakan – menjadi hamba yang sebenarnya. Inilah tazkirah dan motivasi penting dalam kehidupan seharian untuk lebih maju ke depan.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah az-Zariyat 51:56)

Jika seseorang belajar kejuruteraan, ia akan makin menjadi hamba. Inilah ciri ‘learning individual’.
Jika seseorang belajar kedoktoran, ia akan menjadi hamba. Inilah ciri ‘learning individual’.
Jika seseorang belajar ilmu kekeluargaaan, ia akan menjadi hamba. Ini ciri ‘learning individual’

Jika dengan belajar ilmu pengurusan, dapat Ijazah atau PhD akan makin membongkakkan diri, ini petanda ‘individu tidak mampu belajar’ atau ‘learning disability’. Ia akan menjadi seperti ‘mati katak dalam bikar’ di makmal.

Mati katak dalam bikar

Apakah yang akan berlaku kalau katak dimasukkan dalam bikar yang ada air panas? Ia akan melompat keluar.

Kalau dimasukkan dalam bikar yang ada air sejuk? Ia akan berenang.

Apa jadi kalau diletakkan penunu bunsen di bawah bikar tadi? Katak masih berenang. Panas makin bertambah namun dianggap kerana haba dari badan si katak. Suhu makin meningkat: 30, 40, 50, 70, 100 darjah Celcius. Air mendidih dan akhirnya si katak mati.

Mengapa berlaku sedemikian? Tidak belajar daripada apa yang berlaku. Sering menidakkan kebenaran dan akhirnya berada dalam keadaan mendustakan – state of denial.

frog-heat-beaker

Hatta ketika berdakwah dan dapat kebenaran

Bilakah Allah menyatakan sesuatu kumpulan boleh berpecah dan  bertelingkah ?

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (3:104) Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (3:105)

Selepas ayat dakwah. Selepas datang keterangan.

Bukan kerana buat jahat atau tidak ada ilmu sahaja. Selepas dakwah dan ada keterangan yang jelas nyata. Berpecah dan bertelingkah ini diseru agar dielakkan dalam ayat di atas. Ia adalah lambang bukan hamba.the fifth discipline

Apa-apa sahaja larangan Allah dalam al-Quran dan yang ditunjukkan oleh Nabi ialah sesuatu yang bersalahan dengan ciri seorang hamba. Jika Peter M Senge menggariskan self-mastery (kemahiran pengurusan diri) sebagai perkara penting sebelum memahami sistem bagi membina organisasi yang boleh berjaya, panduan Ilahi untuk menjadi pakar pada diri ialah dengan mengawal hawa nafsu dan kembali pada Allah.

Inilah intipati solusi yang dinyatakan oleh Allah bagi mereka yang melampau dan lupa diri hamba:

(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan). (96:8)

Moga kita terus mampu belajar menjadi seorang hamba pada bila-bila masa: ketika bersendirian (self mastery) atau ketika bersama orang lain (team learning). Mana mungkin untuk terus cemerlang kalau diri sendiri pun gagal untuk mengawal diri untuk belajar menjadi hamba kepada Yang Berkuasa. Kesan kalau gagal? Dunia dipenuhi individu yang mempertuhankan dirinya sendiri. Firaun diabadikan jasadnya sebagai lambang menuhankan diri sendiri. Nauzubillah.

Bagi sesetengah orang, legasi Firaun kekal hingga sekarang. Namun legasi kezaliman dan kebobrokan itu bukan harapan seorang insan yang ingin bertemu dengan Penciptanya. Nabi Musa adalah contoh teladan yang Allah abadikan dalam al-Quran – membina legasi sampai ke syurga. Pilihan untuk berubah sudah disediakan oleh Pencipta hamba-hamba untuk kita.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Doa Itu Tanda Seorang Hamba

Doa Itu Tanda Seorang Hamba   “Siapa beliau?” “Seorang doktor. Dia merawat manusia.” “Siapa beliau?” “Seorang jurutera. Membina bangunan.” “Siapa

Close