Umum

Nak mengaku ke tidak?


Siang tidak selalunya cerah. Ada mendung dek awan yang menutupi dan hujan yang menerjah. Dalam diri manusia, tiada siapa pun yang sempurna. Kesilapan adalah ciri manusia yang pelupa dan tersilap – namun itulah juga doa kita kepada Allah seperti mana tertera di akhir Surah al-Baqarah. Apabila kita tersilap atau terkurang dalam melaksanakan sesuatu, jiwa tergoncang. Apatah lagi di kala jiwa tidak cukup kuat menghadapinya. Apakah kaedah terbaik untuk menanganinya? Mari kita ikuti kisah Abdullah bin Umar.

Abdullah bin Umar berkata, “Aku pernah bergabung dalam satu pasukan yang dikirim Rasulullah. Orang-orang banyak yang lari, dan aku pun ikut lari bersama. Kami saling bertanya-tanya , ‘Apa yang sebaiknya kita lakukan? Kita sudah melarikan diri. Tentu kita akan kena marah besar. Andaikan kita kembali ke Madinah, tentu kita akan dijatuhi hukuman mati. Tapi ada baiknya jika kita menghadap Nabi dan menyatakan taubat, atau lebih baik kita pergi entah ke mana.”

Akhirnya kami putuskan untuk menghadap beliau sebelum solat subuh. Ketika kami sudah menghadap, beliau bertanya, “Termasuk golongan manakah kalian?”

“Kami termasuk orang-orang yang melarikan diri,” jawab kami.

“Tidak, tapi kalian termasuk orang-orang yang menyerang. Aku termasuk golongan kalian dan golongan orang-orang Muslim,” sabda beliau.

Lalu kami mendekati ke arah beliau dan kami menciumi tangan beliau. Dalam riwayat al-Aswad disebutkan , “Dan aku termasuk golongan setiap orang Muslim.” Begitulah yang disebutkan dalam al-Bidayah, 4/248. (Sirah Sahabat oleh Syeikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawy ms187)

Itulah Abdullah bin Umar yang hebat

Abdullah bin Umar bukan calang-calang insan. Beliau adalah sahabat Rasul dan antara sahabat utama kepada Rasulullah, selain ayahnya Umar al-Khatab. Ketajaman pemikiran dan ilmu yang ada pada Umar tidak menjadikan dia sempurna. Walaupun fikiran tahu samada perlu lari atau tidak dari medan perang, namun emosi dan rohani kekadang dipengaruhi  oleh hembusan syaitan dan godaan hawa. Beliau lari. Beliau berbuat silap dan menyesal.

Kata Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Awaiq (Rintangan)

Orang yang berjaya ialah mereka yang tidak melampau ketika di puncak ketaatan dan tidak terlanjur apabila daya ketaatannya jatuh; dengan berpandukan sabda Rasulullah saw:

Maksudnya: ” Setiap amalan ada kemuncaknya, setiap kemuncak akan menurun barang siapa yang menurun (tetapi masih berpegang) kepada sunnahku sesungguhnya dia mendapat petunjuk.” Imam Ahmad.

Allah ialah Yang Maha Berkuasa. Allah ialah Yang Maha Penerima Taubat. Apalah erti Yang Maha Penerima Taubat jika tiada makhluknya yang bertaubat. Sabda Nabi di atas menjelaskan bagaimana membina emosi dengan panduan spiritual yang positif ketika terjelepuk untuk mentaati Allah. Ada masa kita berbuat kesilapan dan tidak disedari oleh manusia lain. Namun ada masa, kita tersilap, dan ada manusia lain yang sedar.

Abdullah b Umar juga bingung. Kalau balik ke Madinah, akan dimarah besar. Amat memalukan. Tetapi kalau pergi ke tempat lain, adakah ia menyelesaikan masalah? Psikologi atau emosi individu yang berbuat silap berada pada paras yang lemah lantaran ia berbuat dosa atau kesilapan. Dosa akan melemahkan jiwa. Emosi yang lemah akan terus lemah jika tidak disokong dengan keimananan sedia ada kepada Ilahi. Itulah kekuatan spiritual yang perlu dibina hari demi hari.

Ketika bersalah, pada siapa yang kita malu? Memang kita akan malu pada manusia. al-Hayaa’ minal eeman. Malu itu sebahagian dari iman. Namun pada siapakah yang layak malu? Malu pada manusia sahaja akan menimbulkan syirik kepada Allah – kalau Allah tidak diendahkan sama sekali ketika bersendirian. Apabila jiwa dibina dengan emosi dan intelek semata-mata, kita hanya akan malu pada manusia. Namun kalau jiwa dibina oleh spiritual yang mendalam, kita bukan malu pada manusia sahaja. Yang lebih layak kita malu ialah kepada Pencipta kita – yang memberi amat banyak nikmat tanpa meminta balasan.

Jika kita ditegur oleh seseorang, walau mungkin dimarah sekalipun, apakah yang patut ada dalam fikiran kita untuk berani menghadapinya? Saya berani hadapi perkara ini, kerana inilah harga taubat saya. Inilah harga keimanan saya kepada Allah. Inilah harga untuk saya masuk syurga Allah dan mendapat redha-Nya. Saya bukan mencari redha manusia.

Untuk yang menegur

Bukan mudah untuk mengakui kesilapan. Hanya jiwa dengan spiritual yang menyerah pada Allah mampu mengakui kesilapan dan memohon maaf. Kalau kitalah individu yang menegur, atau disalahi oleh individu lain tadi, belajarlah ilmu ikhlas dan ittiba’ (mengikut) kepada Rasul. Itulah intisari yang ditunjukkan dalam kisah Abdullah bin Umar di atas.

Apakah yang Rasul laksanakan? Rasulullah tidak menghenyak Abdullah bin Umar. Ketika silap, jiwa yang bersalah dalam keadaan lemah. Jangan dihenyak lagi dengan daya tambahan sehingga jiwa yang lemah itu terus jatuh dan tidak bangkit-bangkit lagi. Rasul faham hal ini. Cara Rasul menegur ada tahapnya. Kesilapan Kaab b Malik ketika tidak ikut perang – diberi teguran yang berat. Ketika Rasul bersama Arab Badwi yang kencing di masjid – diberi teguran yang amat lembut. Ketika bersama Abdullah b Umar, Rasul bertanya soalan berat “Termasuk golongan manakah kalian?” tetapi diakhiri dengan kelembutan ” Tidak, tapi kalian termasuk orang-orang yang menyerang.” Rasul tidak menyalahkan mereka 100%. Cukuplah penyeksaan dan rintihan hati mereka untuk taubat kepada Allah. Tidak perlu ditambah dengan soalan-soalan yang menghenyak jiwa yang bersalah.

Ketika kita menegur dengan menggunakan kaedah Rasul bersama Abdullah b Umar, gunalah kaedah “Apa yang anda lakukan?” tetapi diikuti “Saya yakin awak ingin melaksanakan kebaikan.” Perkataan yang hujung itu akan memberi nafas baru dan semangat kepada yang ditegur – agar ia mampu untuk membaiki kesilapan dan tidak merasakan dunia ini sudah berada di penghujungnya.

Bukannya dihenyak dan dilantak habis-habisan

Yang jelas dalam kisah Rasul bersama Kaab b Malik, Arab Badwi yang membuang air dan Abdullah bin Umar, Rasulullah tidak menghenyak si pesalah habis-habisan. Rasulullah tidak marah kerana individu tadi tidak mengikut kata-katanya 100%, tetapi Rasul menegur mereka kerana inginkan mereka taat kepada Allah. Kalau mereka sudah mengaku dan kembali pada Allah (taubat), itu sudah cukup.

Individu yang ingin dirinya ditaati, akan rasa tidak puas hati dan akan menghenyak-henyak si pesalah sampai tidak bermaya. Malah ia akan bertindak tidak memaafkan, memusuhi, membuat hukuman yang tidak tentu pasal malah lebih buruk dijaja kesilapan si pesalah di mana-mana sahaja. Itu bukan sunnah Rasul.

Moga Allah beri hidayah kepada kita agar diberi kekuatan menjadi individu yang mengikut sunnah, ketika menegur dan ditegur. Siapalah kita insan kerdil untuk bongkak untuk ditegur dan menegur…

One thought on “Nak mengaku ke tidak?

  • Kisah Abdullah bin Umar ini wajar dijadikan teladan. Lari tetapi kemudian menyesal atas perbuatannya menyebabkan RSAW mengatakan beliau adalah dikalangan orang yang menang.

    Kadang2 suasana membuatkan orang itu lari. Apapun, sedarlah Allah SWT Pemilik Hati hambaNya, yang berupaya membolak balikkan diatas kehendaknya. Doa2kan istiqamah sahaja. 🙂

    Pintu taubat sentiasa terbuka. Better late than never.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2009-05-17

@nass_sare teruskan nasir..ia akan menjadi satu yang syok kalau dah practise + PIES theory # @annkays ada buku yang sedang

Close