Umum

Marah dan ‘pause’

Dalam kajian yang dibuat pada Meeting of the Associated Professional Sleep Societies LLC , tidur dikaitkan dengan kemampuan untuk membuat penilaian kognitif dan emosi yang tepat. Apabila seseorang tidak cukup tidur, ia boleh menyebabkan mudah marah dan bertindak menyalahkan orang lain dalam sesuatu masalah.

Nampaknya tidur ada kaitan dengan marah, dan marah ada kaitan dengan cara seseorang membuat keputusan.

Tingkatan marah

Menurut Imam Ghazali, ada 3 jenis manusia dalam bercakap hal marah.

  1. Tingkatan rendah: ketika naluri menjadi lemah atau hilang. Ia tidak mempunyai keghairahan dan inilah yang tercela dalam arti buruk. Imam Shafie menyatakan “Barangsiapa yang dirangsang marahnya, lalu dia tidak marah, dia itu bagaikan keldai. Dan bagi orang-orang yang terlampau lemah naluri marahnya, mereka tidak merasa enggan terhadap sesuatu yang hina, yang tidak dapat diterima oleh orang yang merdeka.”
  2. Tingkatan melampau: apabila naluri marah itu keluar dari garis bimbingan akal dan agama. Kumpulan ini tidak mendengar nasihat,  membabi buta mengikut nafsu,  melakukan kerosakan dan mungkin membunuh.
  3. Tingkatan terpuji: sederhana iaitu kemarahan yang sesuai dengan petunjuk akal dan agama.
Apa yang berlaku ketika marah?
Ketika marah, potensi intelek dan emosi kita tidak berada pada tahap maksimum positif. Ketika marah, intelek kita akan bertindak pantas mencari jawapan balas. Emosi yang positif dengan sabar atau berlapang dada (hilm) akan menjadikan keadaan terkawal – malah intelek akan diarahkan untuk mencari cara bagaimana menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik.
Lantaran emosi kekadang terganggu, pause amat penting untuk menstabilkan keadaan. Sunnah Rasul ialah dengan menukar posisi badan atau mengambil wudhuk. Yang penting pause perlu berlaku dengan fizikal (tukar posisi), intelektual (berhenti mencari sebab salah dan memusnahkan serta tidak melampau batas), emosi (sabar dan tidak cenderung kepada kezaliman dan orang yang berbuat zalim) dan spiritual (berdoa dan bergantung kepada Allah).
Apabila marah, sesuatu berlaku dengan cepat. Intelek dan emosi yang bertindak segera tanpa asas spiritual akan menyebabkan keputusan yang dibuat tidak sesuai. Mungkin ia menyebabkan tangan memukul, mulut mengeluarkan kata-kata kurang benar, atau emosi akan menengking dan merasakan diri lebih betul atau kuat dari rakan yang seorang lagi. Ini akan mewujudkan pelbagai masalah selepas itu.

Manfaat menahan marah

Apabila ada sesuatu perkara yang melibatkan hak diri sendiri yang boleh menyebabkan kita marah dan membalas, ada berita gembira jika ia dapat dikawal.

“Barangsiapa dapat menahan marah, padahal ia mampu untuk melakukannya, Allah akan memenuhi hatinya dengan ketenangan dan keimanan” (Hadith riwayat Abu Dawud)

Ketenangan dan keimanan inilah yang dicari dalam kehidupan. Hak Allah dan orang lain bukanlah sesuatu yang boleh kita maafkan begitu sahaja. Dengan menahan marah, tenaga yang ada itu boleh dialurkan kepada memaksimumkan kapasiti intelek dan emosi bagi melaksanakan kebaikan.

Apakah yang perlu diisi dalam waktu marah?

Pause. Kawal emosi dengan melaksanakan CASIC pada anak atau pelajar atau rakan yang sedang berkomunikasi dengan kita. CASIC akan membantu seseorang untuk melambatkan tindakbalas marah – kerana CASIC adalah aktiviti dominan emosi yang positif, bukan intelektual atau fizikal yang dominan.

Jika ketika marah, intelek atau fizikal yang dominan, ia akan menyebabkan ada individu yang dipukul dan dicerca dengan pelbagai perkataan yang sempat diproses oleh minda. Emosi yang sudah melaksanakan CASIC pasti akan berhubung dengan Pencipta dahulu, kemudian barulah berhubung dengan insan di hadapan.

CASIC mewakili kepada Connect, Acknowledge, Serve, Inquire & Choice.

Sebagai contoh, kita boleh perhatikan contoh pada Nabi dalam sabar dan mengawal marah berikut:

Ketika peperangan Uhud, para sahabat memohon kepada Rasulullah agar beliau berdoa untuk menghancurkan orang-orang musyrik yang melukai wajah dan memecahkan giginya, sehingga darah mengalir di wajah beliau, tetapi beliau berkata,

“Sesungguhnya aku diutus tidak untuk melaknati, tetapi aku diutus sebagai dai pemberi rahmat. Ya Allah, ampunilah kaumku, sesunggunya mereka tidak mengetahui.”

Apabila Rasul ada peluang untuk membalas atau berdoa untuk kehancuran, beliau tetap berhubung dengan Allah dan mengiktiraf kaumnya sehingga baginda membantu dengan doa kepada mereka agar diampunkan. Permintaan itu sebagai satu pertanyaan Rasul kepada Allah tentang cadangan penyelesaian terbaik – dan pilihan tertakluk kepada kaumnya untuk mendapat hidayah atau tidak. Rasul tidak memaksa mereka begitu sahaja.

Dalam peristiwa lain Rasul bersama seorang Arab Badwi yang menarik baju baginda sekuat-kuatnya, Rasul tetap membalas dengan baik.

“Hai Muhammad, taruhlah harta Allah yang ada padamu di atas punggung kuda ini, sesungguhnya Anda bukan memberikan hartamu dan harta bapamu.”

Rasulullah terdiam, kemudia berkata “Harta itu memang milik Allah dan aku adalah hamba-Nya.” lalu beliau menyambung kata-katanya, “Dan engkau harus aku balas atas kelakuanmu yang kasar terhadapku.”

“Orang Badwi itu berkata “Tidak.”

Beliau bertanya, “Mengapa?”

Orang Badwi itu menjawab, ” Kerana sesungguhnya Anda tidak suka membalas kejahatan dengan kajahatan.”

Rasul ketawa lanta smeminta Anas r.a untuk memberikan Badwi itu dengan gandum dan kurma.

Apa yang dibuat sebelum Rasul respon kepada badwi itu ? Diam. Pause.

Selepas itu, Nabi  berhubung dengan mengiktiraf si badwi itu dan membantunya dengan bertanya soalan. Bagaimana Rasul membantu ? Sabar dengan bertanya, kemudian mengikuti pilihan yang baik atas dasar sabar dan hilm Rasul.

Kalau saya sabar, nanti mereka pijak kepala

Kita khuatir orang lain akan pijak kepala apabila kita merasakan mereka tidak boleh dibaiki atau rosak akhlaknya. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ghazali, jika kita tidak sabar dengan ketidaksenangan, ia melambangkan akhlak diri kita yang buruk.

Pelajar atau rakan kita akan naik kepala kalau kita kita sabar dengan hanya mengiktiraf (Acknowledge) apa yang mereka ingin buat sahaja. Namun kalau ia dilengkapkan dengan Serve, Inquire dan Choice kepada pelajar tersebut, ia pasti tidak berani untuk memijak kepala kerana mereka sedar apakah implikasi pada masa akan datang.

Sabar penting – lawan kepada marah

Menurut Imam Ghazali, hakikat sabar ialah tahan menderita gangguan dan tahan menderita ketidaksenangan orang. Oleh itu, barang siapa yang mengeluh dari buruknya kelakuan orang lain, hal tersebut menunjukkan buruknya kelakuannya sendiri. Hal ini kerana akhlak yang baik ialah sanggup menderita yang tidak disenangi. Nilai emosi perlu amat positif pada diri sendiri apabila diumpan dengan emosi negatif oleh orang lain. Inilah kesabaran. Inilah teknologi pause yang perlu diusahakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Saya ingin bina cerita sendiri

"Dah banyak buku yang ditulis, buat apa saya tulis lagi." "Bukankah kajian ini sudah ramai yang buat. Tidak perlulah saya

Close