Jejak Kembara Nabi Muhammad SAW : Hilang Semangat?
Sedih? Kecewa? Hilang semangat?
Lumrah sifat manusia ada kadang-kalanya naik dan turun.
Rasulullah turut bersedih di uji kewafatan isteri dan bapa saudaranya dalam satu masa. Kemudian dakwahnya pula di Thaif ditolak dan Baginda dibaling dengan batu.
Kita baru diuji dengan sedikit ujian, mudah patah semangat.
Mungkin ada yang menjawab, “Itu Nabi”.
Ya, memang benar. Tetapi Baginda juga sama seperti manusia lain, punya hati dan perasaan. Cumanya dia diangkat martabatnya menjadi kekasih Allah.
Kita tidak mahu juga jadi kekasih Allah?
Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang.
Kasihnya Nabi Muhammad SAW
Kesedihan yang menimpa diri Rasulullah di atas kewafatan dua insan yang tersayang seakan merasakan ruang dakwahnya di Kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri seakan terancam. Keaadan tersebut mendorong Rasulullah SAW berpindah ke Thaif dengan harapan dakwah Baginda diterima oleh penduduknya.
Tetapi alangkah sedihnya, Nabi SAW bukan sahaja dihalau, malah dicaci, dihina dan dibaling dengan batu sehingga berdarah. Kemudian Allah SWT telah mengirimkan malaikat datang untuk menghancurkan penduduk Thaif. Tetapi Nabi SAW menolak dan berdoa kepada Allah SWT agar akan ada yang lahir dari keturunan mereka mentauhidkan Allah.
Itulah akhlak lemah lembut Rasulullah SAW yang agung dalam Surah Ali-Imran ayat 159. Saat dibalas dengan perlakuan buruk, Baginda memberi maaf malah mendoakan kebaikan ke atas umatnya.
فَبِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ( ١٥٩ )
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.
(Surah Ali-Imran 3:159)
Benarkan Nabi SAW kasih dan sayang pada umatnya?
Bagaimana pula kita kasih dan sayangkan Nabi?
Ibrah Kembara Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW
Dalam kesedihan itu, Allah hadiahkan kepada Nabi SAW Israk dan Mikraj untuk menghibur dan menguatkan imannya. Pelbagai peristiwa yang dilalui Nabi SAW sepanjang penjalanan. Jelas dilihat balasan azab neraka dan syurga.
Dalam kembara Rasulullah SAW ini, Allah SWT menganugerahkan solat sebagai binaan yang menghubungkan hamba-Nya terus kepada Penciptanya.
Kerana kasihkan umat, Nabi SAW sanggup memohon keringanan sebanyak 9 kali dari 50 waktu solat dikurangkan menjadi hanya 5 waktu sehari. Tetapi itu pun masih sukar dipenuhi. Kenapa? Sama-sama fikirkan.
Jika Nabi SAW minta dikurangkan lagi kali ke 10, apakah binaan yang akan menghubungkan terus hamba-Nya kepada Penciptanya? Apakah yang akan jadi pada manusia? Apakah mungkin manusia itu akan ingat pada Allah dalam sehari?
Allah itu Maha Mengetahui.
Justeru, syukur dan lihatlah. Betapa kasihnya Allah. Dengan solat, ia jambatan yang menghubungkan hamba-Nya terus tanpa sebarang caj dan ‘appoinment’. Tidak kira masa. Tidak kira tempat. Mohonlah pertolongan dari Allah dengan solat dan penuh kesabaran. Agar hati yang lemah kembali bersemangat.
Firman Allah SWT;
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”.
(Surah Al-Baqarah 2: 153)
إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُون
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri”.
(Surah Ali-Imran 3:160)
Allah. Itulah sumber kekuatan bagi seorang insan. Hatta sekalipun meminta nasihat dari pakar, jika Allah tidak sentuh hati seseorang itu, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghilangkan sebarang kesedihan dan resah di dalam jiwanya.
Kesimpulan
Dengan peristiwa besar kisah kembara Israk Mikraj Nabi ini, ia bukan sekadar penceritaan tetapi manusia perlu berfikir dan mengambil ikhtibar agar insaf dengan kebesaran Allah SWT.
Sebagaimana yang telah diceritakan, Nabi SAW telah ditimpa kesedihan sebelum peristiwa Israk Mikraj. Kemudian dalam keadaan demikian, didatangkan perintah untuk Nabi SAW bertemu dengan Allah.
Dari peristiwa tersebut, ia memberi pengajaran kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah ketika didatangi musibah dan pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Bukan hanya ketika kesusahan sahaja malah ketika dalam kesenangan juga sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya.
Selami dan hayati penceritaan perjalanan perjuangan Rasulullah SAW di dalam al-Quran agar ruh semangat yang hilang itu dapat diubati dan kembali terinspirasi.
Letakkan cinta Allah melebihi yang lain,
Inshaa Allah semua perkara akan dilihat mudah.
Sebab apa… Aku ada Allah.
So, don’t worry.
Moga diri terus BERSEMANGAT memburu KEJAYAAN menuju ke SYURGA!