Hidayah…Mencari Tuhan 3
Pagi itu, aku turun untuk mendapatkan makanan sarapan. Hmm…banyak pilihan yang ada dan aku tertanya, ‘betapa hebatnya manusia diberi kreativiti oleh Penciptanya untuk mencipta pelbagai jenis kuih-muih yang ada. Bagaimana manusia nampak hal ini dalam kehidupan seharian?’.
Adakah zaman dahulu, mereka ini mengingat Allah sepanjang masa sebagaimana yang sepatutnya aku fikirkan sekarang ini? Atau mereka ini tidaklah se’strict’ itu. Namun aku merasakan kerana kelemahan iman, penyakit dalam hati dan terlibat dengan dunia materialistik yang amat kuat, tasawur serta pemahaman kita hanyalah berkitar pada aspek fizikal. Semua kejayaan dinilai pada aspek fizikal – bukannya pada aspek spiritual yang kekadang disampaikan sebagai sesuatu yang abstrak, ke belakang atau tidak cepat.
"Kalau ya pun, makan tetap makan. Memang le kena sembahyang. Tapi solat tak akan mendatangkan rezeki pada kau…. Tengok orang-orang di luar sana tu. Kerja kilang, setiap bulan dapat gaji, gembira je hidup mereka. Kalau tak duit pun, bukan kau boleh hidup senang pun walaupun kau solat!"
Astaghfirullah! Ada orang yang nampak begini. Ia bukan jawapan yang pelik zaman ini. Syam berkata sedemikian ketika aku berborak-borak tentang mengapa usaha untuk menjaga solat itu penting.
Aku membalas, "Tapi tak semua orang gembira dengan gaji yang mereka perolehi. Ada yang tak cukup-cukup atau keinginan nafsu yang kuat menyebabkan mereka habiskan duit untuk gembira, berfoya-foya.Kau tak nampak ke?"
"Alaa..kau ni. Bila lagi nak seronok-seronok. Zaman muda nie le.Kalau dah tua nanti, duduklah kat surau atau masjid. "
Seyakin itu dia berkata dia akan hidup sampai ke tua? Sememangnya ini cabaran untuk meyakinkan manusia bahawa hidup ini tidak lama. Namun keyakinan ini perlu mendasari segenap kehidupan. Bukan sekadar dalam beberapa saat dan kemudian ia hilang semula. Mengingati Tuhan ini penting setiap masa dan perlu ‘dipaksa’kan dalam diri yang penuh dengan karat dunia yang menipu.