Umum

Ujian Tahap 2970 Celcius

“Tidak bersemangat dan kegagalan adalah 2 langkah pasti untuk menuju sukses – kata Dale Carnegie.”

“Eh ye ke? Kalau dah gagal, gagal sahajalah. Kalau tak semangat, macam mana nak Berjaya?”

“Apakata kita lihat ayat ini?”

 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (٦٩)

Surah al-Ankabuut 29:69. Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) pada Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.

Kaitan dengan awal Surah al-Ankabut

Pada awal Surah al-Ankabut, Allah menyatakan tentang ujian.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢)

Surah al-Ankabut 29:2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

 

Dalam ayat di atas, Allah mengingatkan kepada sesiapa yang menyatakan ‘Kami beriman’ pasti Allah akan memberi ujian demi ujian. Bukan sekadar satu ujian.

Ketika UPSR, ujian amat susah. Lepas dan Alhamdulillah.

Datang ujian PMR / SRP / PT3. Ia menyulitkan. Lepas dan Alhamdulillah.

Datang ujian SPM. Ia menyukarkan hidup pada usia sweet 17. Lepas dan Alhamdulillah.

Datang ujian di kolej atau universiti. Lepas dan Alhamdulillah.

Sudah selesai ujian?

Hadir ujian di tempat kerja. Lepas satu, hadir satu lagi ujian.

Kalau begitu, tak payahlah cakap saya beriman

Walaupun tidak menyatakan ‘Kami beriman’ dunia ini memang penuh ujian. Yang tidak beriman juga akan diuji. Allah menyatakan:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢)

Surah al-Mulk 67:2. (Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,

 

Allah menjadikan kehidupan ini penuh dengan ujian dan kepayahan. Setiap insan itu sendiri memang serba kepayahan.

 

لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي كَبَدٍ (٤)

Surah al-Balad 90:4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.

 

Dengan istilah kabad, ibtila’ dan fitnah, ia membawa kepada maksud ujian yang pelbagai ragamnya. Ia bukan sekadar kepada orang beriman. Orang beriman juga melaluinya dengan pakej masing-masing. Adalah lebih berbaloi hidup di dunia ini dengan iman untuk diuji oleh Allah – untuk menuju ke daerah sifar ujian iaitu syurga Allah.

 

Bekalan menghadapi ujian

Allah membekalkan kita untuk menghadapi ujian demi ujian. Apabila seseorang menghadapi ujian yang berat, akan mudah terpacul:

“Orang lain tak faham. Mereka tak rasa.”

“Ya Allah, mengapa berat sangat ini? Mengapa aku?”

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”

Allah menyatakan bahawa orang sebelum ini memang telah diuji untuk membezakan mereka yang benar dan dusta. Orang yang berada dalam ‘state of denial’ atau dusta adalah mereka yang gagal dalam kehidupan.

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣)

Surah al-Ankabut 29:3. Dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

 

Apabila seseorang tidak sedar orang lain juga diuji, ia akan menyebabkan diri mudah mendustakan. State of denial:

“Aku je yang susah. Tak de orang lain”

“Kami sahaja dilanda banjir. Orang lain atau negeri lain?”

“Aku sahaja yang kena macam-macam. Orang lain aku tengok bahagia sahaja.”

Untuk menjadi orang benar dan mampu menghadapi ujian, elakkan berada dalam ‘state of denial’. Mendustakan.

Sejarah Nabi dan orang terdahulu yang berjaya perlu menjadi panduan. Ini dibekalkan oleh Allah dalam al-Quran.

Langkah menuju kejayaan dengan ujian.

‘Dalam dunia ini, ada orang yang sering melontar batu dalam jalan anda. Ia bergantung kepada anda samada mahu menjadikannya DINDING atau JAMBATAN.’

Kata-kata di atas makin dijelaskan oleh Allah dalam ayat terakhir surah al-Ankabut

 

 

 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (٦٩)

Surah al-Ankabuut 29:69. Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) pada Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.

Ujian memerlukan kesungguhan. Kesungguhan ini dimaksudkan dengan jihad. Sering difahami jihad ialah perang – tetapi sebahagian ahli tafsir menyatakan dalam ayat ini ialah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu dalam diri untuk tetap berada dalam apa yang Allah suruh.

Mendidih perasaan tahap 2970 Celcius.

Jihad berasal dari perkataan yang membawa maksud proses mendidihkan emas hingga tersisa kotoran dalam emas dan terhasillah emas tulen. Ia bukan tahap didih air pada 100 Celcius, bukan tahap didih besi pada 2862 Celcius. Emas adalah lambang satu logam yang amat berharga – hanya apabila ia berada dalam keadaan yang asli.

Usaha insan untuk menghadapi ujian akan mendidihkan hati dan perasaan seseorang. Kehilangan seseorang, sengketa yang berlaku, kutukan dan fitnah serta banyak kategori ujian yang boleh melanda. Ia adalah proses pembersihan Allah untuk hamba-Nya sebelum dimasukkan dalam syurga. Allah meletakkan janji bahawa Allah sudah amat pasti bersama orang yang bersih – muhsin. Muhsin ialah orang yang amat baik – sanggup melakukan kebaikan hatta kepada orang yang berbuat keburukan sebagaimana ditunjukkan contoh oleh tentera Uhud selepas kalah dan terbunuh hamper 70 orang. Allah menyatakan dalam Surah ali Imran:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٣٤)

Surah ali Imran 3:134. (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Selepas dididih, akan mendapat pencerahan

Setiap kali kita dididihkan oleh Allah, Allah berjanji akan memberi petunjuk dan pencerahan kepada pelbagai jalan Allah.

Dulu sukar untuk solat, dengan kesungguhan – kita mampu untuk solat.

Dulu mampu solat tetapi asyik lewat, dengan kesungguhan – kita mampu solat pada masanya

Dulu sukar solat sunat, dengan kesungguhan – kita mampu solat sunat celup-celup

Dulu celup-celup solat sunat, dengan kesungguhan – kita istiqamah melaksanakannya

Dulu sukar untuk tahjud hatta 1 rakaat, dengan kesunguhan – kita mampu menunaikannya

Dulu sukar 2 rakaat jam 5 pagi, dengan kesungguhan – kita mampu melaksanakannya.

Jika ada dulu yang kurang baik, dengan kesungguhan – kita akan ditunjukkan ke jalan Allah menuju syurga.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
‘Push the limit’ awal

Amat berbaloi untuk 'push the limit' di peringkat spiritual seawal yang mungkin agar diri menyerah diri kepada Allah. Elemen intelek

Close