Segera Kembali Kepada Tuhan
(Satu peringatan yang ingin diberi kepada diri. Moga sang karyawannya lebih cepat bertaubat sebelum mengajak rakan-rakan dan masyarakatnya ke jalan Allah s.w.t.)
Hadis qudsi yang diriwayatkan dari Abu Dzar, Allah berfirman:
“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu sentiasa berbuat dosa pada malam dan siang hari, sedang Aku mengampuni dosa seluruhnya. Barangsiapa mengerti dan menyedari bahawa Akulah berkuasa mengampuni dosa-dosa, niscaya Ku ampuni dia dengan tidak ambil peduli”
Allah Yang Maha Pengampun dosa-dosa manusia sentiasa membuka pintu keampunanNya. Walau sebesar manapun dosa itu. Walau sekerap manapun dosa itu dilakukan. Jika ada yang melakukan dosa pada malam hari, Allah bersedia mengampunkannya pada siang hari. Jika ia melakukan dosa pada siang hari, Allah bersedia mengampunkannya pada malam hari.
Katakanlah: “Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Zumar, 39: 53)
Kita semua sudah sedia maklum bahawa setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Hanya yang perlu diambil perhatian adalah bilakah pelaku dosa akan kembali kepada Tuhannya? Disini ada dua pilihan. Pertama terus bertaubat sejurus melakukan dosa dan kesilapan. Kedua menangguhkannya sehingga datang peringatan daripada Tuhan.
Pilihan pertama adalah pilihan terbaik seperti yang telah ditunjukkan Nabi Adam a.s. Sebaik menyedari kesilapan yang dilakukannya, baginda terus meminta keampunan dan mengakui kesilapan melanggar arahan Allah s.w.t. Sesiapa yang terus bertaubat setelah melakukan dosa lebih disukai Allah
Pilihan kedua pula amat merbahaya kerana kita tidak akan tahu bilakah ajal akan menjemput kita. Ianya tidak dapat dijangka dan boleh datang ketika kita tidak pun dalam kondisi untuk bertaubat, na’uzubillah.
Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi. Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya (al-Zumar, 39: 54-55)
Ayat kemudiannya Allah sambung dengan gambaran dialog penyesalan mereka yang bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Mengapa Allah memberikan gambaran tersebut? Allah boleh terus sahaja menyeksa mereka yang engkar dan degil kerana itu adalah hak Allah. Bukankah itu adalah kesilapan kita sendiri, jadi sendirilah yang menanggungnya?
Namun kerana Maha Kasih Allah melebihi sifat Maha Keras dan Maha Penyiksa kepada hamba-hambaNya, disini peringatan diberi untuk mengelak manusia terjerumus kedalam azab yang pedih. Sudah tentu Allah lebih suka menerima taubat daripada menyiksa hamba-hambaNya. Namun jika masih ada yang menolak atau melambat-lambatkan taubat, penyesalannya esok adalah penyesalan keatas diri sendir.
Supaya jangan ada orang yang menyatakan: “Amat besar penyesalanku keatas kelalaianku terhadap Allah, sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang meperolok-olokkan (agama Allah).
Atau supaya jangan ada yang berkata: “Kalau sekiranya Allah memberi petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang yang bertakwa”.
Atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab: “Kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku akan termasuk orang-orang yang berbuat baik”.
(Bukan demikian) sebenarnya telah datang keterangan-keteranganKu kepadamu lalu kamu mendustakan dan kamu menymobongkan diri dan adalah kamu termasuk orang-orang yang kafir”
(al-Zumar, 39: 56-59)
Maka wajarlah bagi manusia yang ingin dekat kepada Tuhannya untuk sentiasa kembali kepada Allah dalam setiap waktu. Jadikanlah istighfar dan solat sebagai peringatan seharian untuk kita sentiasa menuju kepadaNya.
Dan aku sekali lagi memohon agar diri ini memiliki jiwa yang baik sebelum mengajak manusia kearah kebaikan yang sama.
Wallahu a’lam.